Monday, 16 August 2010

Permata Hati : Hanya Satu.

Dengarkanlah dengan Hati yang murni


Malam itu, mudir tak mendampingi. Tinggal lah saya dan kawan sekelas mengimamkan jemaah tarawih di Kampung Jeram.

" Mad, baca pendek-pendek je nak? mudir takde. hehehe "

" a ah la...hehe "

" Assalamualaikum..sedikit pengumuman, memandangkan malam ini kami..bla..bla..bla.."

Pandai kawan saya menggoreng ayat buat jemaah yang hadir. Gaya husnut-Ta'lil gitu. Hakikatnya mahu melepaskan batuk di tangga. Tak sabar menikmati morey sebenarnya.


*Tiba bulan syawal, gaji imam saya hilang lenyap dicuri orang.
Yang tinggal hanyalah kain pelikat hadiah pemberian makcik kampung Jeram.



+ + +


Di Kelas.

" mp3 siapa ni?! " Ustaz Hamdan (bukan nama sebenar) tiba-tiba bermuka bengis seraya bersuara tinggi.

Semua terdiam. masing-masing memandang sesama sendiri.

" Ana..." Sambil tertunduk saya menjawab, sambil dalam hati doa mengiringi.

Hanya Allah yang tahu betapa gemuruhnya hati.

" PANG!! "

Habis merah pipi dan sideburn kiri . Pening tak hilang hilang seharian. Dahsyat juga kesan tamparan Ustaz Hamdan.

"Ma ja'alallah lirajulin min qalbaini fi jaufih !"
(Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya)

Ustaz Hamdan memberi kata-kata akhir. Berupa FirmanNya dalam surah Al-Ahzab.

*Pagi itu, sejarah baru di Maahad Tahfiz Hira' tercipta. Saya menjadi orang pertama mendapat anugerah penampar dari Ustaz tersebut sejak 11 tahun penubuhan Maahad.


Mengulang hafazan @ Kelas Huzaifah Al-Yamani (2004)
Awal-awal masuk maahad, Ustaz (dalam gambar) pernah mengatakan yang saya macam takde harapan nak habis. Memang teruk hafazan saya waktu itu.
Namun, selepas setahun, saya berjaya memasuki kelasnya  (kelas para Al-Hafiz Al-Habis)Alhamd Lillah
Bak kata Prof Dr. Randy Pausch : "Anything is possible"

* * *

Begitulah peristiwa Ramadhan 6 tahun lalu, yang takkan saya lupakan sampai bila-bila.
Dua pengajaran penting yang Allah tunjukkan secara praktikal pada saya. Bukan lagi teori "kita kena ikhlas" "hati kena bersih" dan lain-lain.
Alhamdulillah, saya dapat belajar dari peristiwa yang tertimpa saat usia belum matang dulu.

Maha Suci Allah
Memang benar firmanNya dalam surah Al-Ahzab itu. Kita tak boleh lari.
Selalu kita perdayakan diri sendiri. Membuat itu ini yang tak syar'ie tapi menyatakan diri masih thabat atas jalan ini.

Ada saja si fulan yang mendengar lagu entah pape tapi hafiz quran. Ada saja yang berkapel tapi solat masih dijaga. Ada saja yang tak jaga batas pergaulan laki perempuan tapi masih berpuasa. Atau lagi halus, si tudung labuh meng-sms cinta cintun ''moga cinta kita sampai ke syurga" buat lelaki pilihan hati.

Ya, banyak saja perkara tadi berlaku. tapi hakikatnya ia telah memperdaya diri sendiri.
Sudah terang lagi tersuluh Allah firman bahawa Dia takkan jadikan dua hati dalam dada kita.
Kalau hati kita bersih murni. Maka itulah kita ketika itu.
Kalau hati kita jahiliyyah, Maka itulah kita ketika itu. Tak perlu lah susah susah berlapikkan benda-benda islamik.

Ayuh, Ramadhan ini, koreksi balik hati kita. Hati mana dalam dada sekarang ini?

Kalau ada sisa sisa jahiliyyah (dengar lagu entah pape ke, chatting sampai lewat malam dengan bukan muhrim ke, tak hormati orang tua ke, tak suka baca quran ke)
Sama-sama kita perbaiki dan ubah diri kita ke arah yang baik.

Ingat, hanya dua pilihan hati. tiada tengah-tengah. tiada yang ketiga.
Hanya satu yang tertanam di dada.

Ramadhan Kareem ! :)

Thursday, 29 July 2010

Diari Julai : BTN di Sisi Positif

Saya tak hairan orang katakan BTN membosankan. Yalah, dengar ceramah berjam-jam, dengar sampai tepu kepala dengan perlembagaan, ditambah aktiviti kawad di pagi hari sambil dimarahi itu ini, malah handphone dan mp3 juga terpaksa diserahi. Siapa suka terhimpit sebegitu?


Namun, saya teringat kata-kata yang biasa didengari :
"Happiness depends upon ourselves" -Aristotle-
+ + + +

Alhamdulillah, 5 hari di BTN bagi saya agak mengembirakan biarpun hakikat suasananya adalah sebaliknya.
Mengapa bahagia?
Nah, ada 3 hal yang membuatkan saya tersedar dari lamunan indah selama ini.


Biasiswa & Tanggung Jawab
Ketika program Pre Departure BNM dulu, saya sempat berbincang dengan kawan non-muslim saya. Isu yang diperbincangkan sekitar Jihad & Pengganas. Walaupun pendapat yang saya lontarkan berlainan dengan pandangannya, beliau tetap menghormati.  Hubungan mesra tak putus hingga kini.


Minggu lalu di Kem BTN pula, sempat saya berbincang panjang lagi dengannya. Cuma isunya lebih spesifik, terkena pada saya sendiri selaku orang melayu yang dapat kecapi nikmat biasiswa yang terangkum dalam hak istimewa orang melayu (55%) .


Apa yang beliau ketengahkan ialah : orang melayu ni seolah-olah selesa dan senang dengan hak istimewa yang dikecapi. Kenapa tidak beri biasiswa mengikut merit? adakah orang melayu diberi banyak biasiswa kerana kuasa ketuanan mereka atau kerana mereka lemah? dari dulu sampai sekarang hanya mengharap dengan hak isitimewa itu sedangkan tiada perubahan ke arah yang lebih baik. Masih di takuk yang lama.


Itulah apa yang saya dapat tangkap dari luahan pendapat beliau.
Sungguh, pada masa itu, saya betul-betul tak dapat menjawab dan membidas hujah-hujahnya.
Kerana, itu memang realiti sekarang ini. Anak-anak melayu (termasuk saya lah) hanya pandai merintih sana sini tapi usahanya tak setanding. Dan bila sudah dapat apa yang mahu, tanggung jawab diketepikan. Berapa ramai pelajar tajaan agensi kerajaan yang lupa diri? habiskan duit, enjoy sana sini, seolah-olah menafikan hak beribu-ribu pelajar miskin di malaysia ini.


Aduh, tertunduk malu saya di hadapan kawan saya itu. Ya, di hadapan non-muslim, juga bakal mahasiswa Cambridge University.


Belajar Dari Kepelbagaian.
Di BTN juga, dapat saya temui pelajar-pelajar dari pelbagai jenis bidang dan negara yang akan dituju. Perubatan, Optometry. engineering, ekonomi, finance, dan lain-lain lagi yang akan terbang jauh ke UK, US, India, Aussie, tak lupa juga Indonesia.


Alhamdulillah, Allah kurniakan kesempatan pada saya untuk berborak dengan beberapa wakil pelajar dari setiap bidang dan negara seperti yang tertera di atas. Saya kira 2/3 dari peserta lelaki sempat saya jumpa personal dan berborak biarpun pendek. Syukur semuanya mesra saja dan sudi berkongsi-kongsi idea.


Ternyata memang setiap kumpulan pelajar ini punyai ragam dan niche tersendiri yang unik. Banyak yang dapat saya pelajari dari mereka semua. Semua ini menjadikan saya bertambah semangat untuk memartabatkan bidang ilmu yang sedang saya dalami. (apa kaitannya? fikir-fikirkanlah :)


Kembara Perlembagaan
Di sana juga ada permainan ala-ala treasure hunt yang berorientasikan Kontrak Sosial dalam Perlembagaan.
Dalam permainan ini setiap kumpulan perlu mengkaji setiap satu isi perlembagaan berkaitan kontrak sosial dengan perbincangan dan pembentangan.


Menariknya permainan ini, saya yang tak pernah melihat dan membaca perlembagaan dan 'khusyuk tertunduk' ketika ceramah pun sudah boleh membahaskan panjang lebar berkaitan kontrak sosial. perkara 153, 154 dan macam-macam lagi sudah lumat di hati :)
 Ya, secara automatik. (sudah tentu dengan Izin Allah)


Ketika itu saya terfikir, Alangkah baiknya kalau ada game seperti ini tetapi berorientasikan Quran dan Hadis.
Setiap kumpulan perlu berbincang Ayat sekian sekian. Bersumberkan Tafsir fi zilal, tafsir ibn kathir, tafsir Al-Azhar, dan lain-lain lagi. dan kemudian dibincangkan bersama malah dibentangkan juga secara serius. 
Insya Allah, pelajar-pelajar yang bakal ke luar negara ini akan secara sedar tak sedar dapat memahami sumber terpenting ini serba sedikit walaupun mereka tidak selalupun menyentuh quran sebelum ini.


+ + + +


Alhamdulillah. saya rasa cukup 3 hal di atas tidak menjadikan 5 hari saya di BTN sia-sia kerana banyak memberi kesedaran dan pencerahan baru.


Oh ya,
Diari Julai saya tak berakhir dengan BTN saja.
Hari ini insya Allah akan meneruskan perjalanan jauh ke Utara pula.
Sudah tak tertahan rindu dengan sahabat-sahabat kedah dan perak sana :D


Bakal Azhariyyun : serius saya tak pernah terfikir akan berpisah dengan mereka dalam masa terdekat.
Jordan tiba-tiba memanggil T-T


Moga-moga perjalanan lepas ini akan jauh lebih baik dari BTN~. 
wasssalamualaikum

Thursday, 1 July 2010

Diari Jun : Pre Departure

Alhamdulillah. Jun tahun ini bagi saya agak unik berbanding bulan-bulan yang lain. Kerana, banyak perkara dan peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini, yang saya kira penuh pengajaran dan satu titik untuk bermulanya fasa baru dalam hidup saya. Baiklah, saya cuba kongsikan serba ringkas apa yang saya alami dan dapati pada jun tahun ini.


Keputusan Mengejut
Selepas istikharah (dengan pelbagai cara), Alhamdulillah, awal jun lalu saya telah buat keputusan muktamad untuk ke Jordan. Bukan mesir, bukan madinah dan lain-lainnya. Sebab apa? tak mahulah saya nukilkan di blog ini.
Jujurnya, hati terasa gusar kerana terpaksa berpisah dengan sahabat-sahabat baik saya semuanya.
Paling kecewa bila teringat janji saya dengan salah seorang sahabat saya ketika form 3 dulu. Kami telah berpakat untuk ambil subjek yang sama untuk spm, dan belajar medic sama-sama di mesir. namun medic dan mesir kedua-dua pakatan ini saya tak penuhi.  Maaflah sahabat :)

Pemergian Jannah ke Jannah
Sedang sibuk dengan urusan ke jordan, tiba-tiba dikejutkan dengan pemergian Sepupu saya, Jannah sani (lepasan spm08) dari dunia yang fana ini. Dari pandangan jauh saya yang tak pernah berborak dengannya seumur hidup saya, saya dapati beliau merupakan seorang yang sangat sangat baik.

Pernah suatu hari sewaktu majlis perkahwinan kakak dan abang saya baru saja selesai, semua ahli keluarga berkumpul di ruang tamu rumah saya sambil bergelak ketawa gembira. Bila saya ke dapur untuk minum, terkejut melihat beliau (Jannah) keseorang sedang membasuh pinggan mangkuk yg banyak menimbun.

Saya yakin, daripada perwatakan dan akhlaknya, beliau sudah bersedia untuk meninggalkan dunia ini. Umurnya baru saja 19 tahun, beliau tidak menangguh untuk bersedia menghadapi sakaratul maut.
Pasti Jannah sudah menanti-nanti kehadiran Jannah.
Al-fatihah.

Pemergian Atuk Isak dan Ibu sahabat saya
Atuk isak (atuk saudara saya) telah kembali kepadaNya minggu lalu. Sewaktu saya menziarahinya di hospital sebelum pemergiannya, Sempat saya memegang erat tangan beliau sambil membaca ayat-ayat Allah. Kemudian mata beliau mulai silau berkaca-kaca. Bagi saya, cukup matanya yang berkaca-kaca itu memberi isyarat untuk saya terus beramal selagi masih sehat dan muda penuh semangat.

Ibu kepada Sahabat se-batch saya, Fikri Abu Bakar, baru saja menghebuskan nafas terkakhir tadi.
Sampai sekarang saya tak mampu untuk menelefon beliau kerana takut tak tertahan tangisan beliau dan juga saya sekaligus. Allahu Akbar. Berilah kekuatan buat sahabatku ini Ya Allah..Ya Qawwiy.
Al-Fatihah.


Berprogram bersama Bank Negara Malaysia.

Kali ini mungkin panjang sedikit ceritanya. Untuk diringkaskan, saya cuba tulis dalam bentuk point.

1) Alhamdulillah, selama 5 hari saya dan pelajar-pelajar tajaan bank negara diperlakukan seperti raja.
Yalah, disediakan bilik yang mewah setiap orang, punya katil besar lagi empuk, ditambah lagi dengan wifi dan sony plasma TV. Makanan pula takyah ceritalah, rambang mata dibuatnya.
Saya kira, inilah yang biasa yang dilakukan oleh mana-mana manusia yang mahu mengumpulkan kekuatan kader-kadernya. Ia dimulakan dengan benda-benda bahagia, manis dan penuh nikmat. Supaya, suatu hari nanti kader-kadernya itu dapat menjalankan kerja yang ditugaskan dengan penuh semangat dan ikhlas. Bukan rasa terpaksa.

2) Setelah 5 hari penuh 'cabaran' berprogram dengan pelajar-pelajar tajaan bank negara, banyak perkara baru yang saya dapat hadam kali ini. Dalam keseronokan manusia sepanjang program, sempat saya berborak panjang malam-malam dan berbincang secara ilmiah dengan kenalan baru saya, Azali (pelajar no.1 SPM 2007). Saya terpegun bila dapati beliau dapat membicarakan idea-idea berkaitan kebangkitan islam di malaysia dengan bernas. Banyak perkara yang perlu saya belajar dari beliau seperti mentajmi' pelajar di kampus dan lain-lain.
Serius saya tak sangka dapat berjumpa dengan teman yang sekepala di sana. Jelas sekali borak-borak hingga jam 2 pagi itu sangat bermakna bagi saya.

3) Hidup bersama staf Bank Negara tak kurang juga 'hebat'nya. Mereka seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini seperti itulah, ceria dan peramah. Tidak nampak riak-riak masam dan tension di wajah mereka. Sempat saya lawati satu department yang paling sibuk yang mengumpulkan para genius ekonomi dan matematik. Mereka tekun berkerja dengan enjoy sambil senyum sedang dihadapan mereka berlambak-lambak skrin terpapar dengan graf, nombor-nombor dan segala macam yang membosankan.
Saya kira, inilah sifat yang patut dicontohi oleh kita sbg muslim yang ingin berdakwah. Ikhlas, dan buat kerja dengan bersungguh-sungguh.
Walaupun awalnya tampak bosan dan letih ( qiam lah, kene atur program lah, kene dengar luahan hati junior lah dll) tapi pengakhirannya, tak mampu kita bayangkan. Ya, tiada siapa boleh bayangkan betapa hebatnya Jannatul Firdaus.
Kalau mereka boleh tekun bekerja untuk mendapatkan gaji berpuluh ribu ringgit, kenapa kita tidak boleh tekun untuk mendapatkan cek kosong? boleh minta apa2 saja di syurga nanti, kan?

3) Ada juga stafnya yang lagi 'hebat'. Tak habis-habis dengan perkara yang 'hebat' bercampur sensasi.


"nanti kat jordan, take care nik madihah ya" berkali-kali adviser saya mengingatkan.
"kau nanti kat jordan ngorat lah nik madihah tau" Entah berapa kali akak staf bank negara di sana mengulang ayat yang sama. Sengaja mahu membangkitkan 'roh' cinta-cintun saya :)

Saya akui, memang jiwa muda saya ini kadang-kadang turut berkecamuk dengan hal-hal seperti itu.
Tapi saya juga perlu sedar, jiwa saya perlu dididik dan diperingatkan selalu.
Supaya tidak bertindak melulu.

Kalau tidak diperingatkan selalu, entah bagaimana ya saya sekarang ini? mungkin sudah melekat 24 jam dengan hp dan ym.
Itulah kepentingan tazkirah. tepat sekali apa yang difirmankan Allah dalam quran : "Fainnazzikra tanfa'ul mukminin"


Pengajaran Bulan Jun

  • Matilah dari sekarang. Dalam erti kata lain, bersedialah untuk mati sekarang. Jangan putus asa dalm beramal, kerana ia hanya sia-sia saja. Kehidupan ini terlalu singkat untuk disia-siakan
  • Masyarakat, sangat sangat kehausan agama. kitalah yang bertanggung jawab menyuapkannya. Kalau kita taknak, tak mengapa. Cuma, Tiadalah Jannatul Firdaus untuk manusia yang hidup enjoy penuh sia-sia saja. :) 
  • Hidup ini, tak pernah lari dari Ghayah yang satu, iaitu Allah swt. Sehebat manapun manusia itu, ia tetap tertunduk pada Allah Yang Maha Esa. Tiada beza antara yang muda dan tua, antara yang genius mahupun yang lain, melainkan Taqwa kepada Allah ^_^

Thursday, 3 June 2010

Tragedi 31 Mei '10 : Kenangan Mencari Solusi


Pagi Isnin,
Hati yang bercelaru dek terlepas tarikh tutup permohonan Universiti menjadi semakin tak menentu bila dapat mesej daripada sahabat saya Amir Syafiq. Lantas, segala urusan diberhentikan dan terus menghadap laptop membaca berita tentang saudara di perairan Palestin.

Maha Suci Allah, bertambah bilangan para syuhada', bertambah bilangan pertumparan darah. Maka bertambahlah beban yang wajib dipikul.

* * *

Bagi sesetengah manusia, mereka hanya bersemangat bila diusik. Mula menggelabah bila dicucuk-cucuk.
Mereka lantas berusaha mencapai apa yang dimatlamatkan. Namun tiada kesudahannya tiada penghujung.
Apa yang diusahakan seakan kosong tak bererti. Yang digapai, tinggal kenangan peribadi.
Lalu, apakah yang dibawa selepas Mati?

Hari ini, saat timbul isu besar seperti ini (serangan ke atas konvoi dll), dan melihat pelbagai reaksi manusia di dunia untuk menyelesaikan masalah ini, teringat akan kisah peribadi yang saya kita cukup manis kalau dikongsikan.  Saya akui perkara ini pernah terkena pada saya sendiri. Hanya menjadi Reactive. tak Proaktif.

+ + + + +


Waktu itu, saya masih muda mentah menengah rendah, tak mengerti hakikat duniawi apatah lagi ukhrawi. Namun, Sang murabbi tak jemu menasihati dan menemani. Sampailah tiba satu saat, sementara pelajar semuanya seronok menjamah makanan malam, saya diajak oleh murabbi saya untuk berborak-borak diluar dipayungi langit gelap beralaskan kerusi batu antik di tepi perpustakaan lama sekolah. Memang satu port dan panorama yang cukup baik dan romantik.

Awal-awal macam biasalah, borak-borak tanya khabar. Tanya tentang akademik, tentang jawatan itu ini. Tahun itu, saya mendapat beberapa keputusan cemerlang, no.1 dalam kelas. 5 subjek dapat 100%, merentas desa top ten, jawatan pula entah macam-macam pelbagai anek yang kadang-kadang lawak pula bila diingati. KP lah, Setiausaha kelab lah dan lain-lain. Semangat budak mentah katakan.
Namun, selama ini, beliau tidak pernah menegur akan hal ini. Hanya senyuman yang menyapa diri.

Kemudian, ditanya pula dengan lebih mendalam akan hal peribadi. Matlamat dan sebagainya.
Saya mulai resah. Barangkali Murabbi saya sudah nampak sesuatu yang lain macam pada saya.

Selang setengah jam atau lebih,

"Ahmad, apa sebenarnya tujuan anta beramal selama ni?" Beliau akhirnya direct to the point.

"Erm, untuk dapat pahala. Untuk menjadi contoh" saya menjawab.

dan bermacam-macam lagi jawapan yang dinyatakan. Semuanya semata-mata untuk melepaskan keresahan. Main bantai sajalah ala-ala jawapan skema peperiksaan.

bermula dari soalan itu, Aqal dan hati saya mula berkocak. 
Seakan baru saja dibangungkan dari mimpi indah yang panjang. 

Setelah panjang lebar matlamat dibincang dan diperdebatkan, beliau dengan lembut bertanya,

"Mad, tak pernah terfikir ke matlamat anta buat semua ini untuk mencapai khilafah islamiah??"

Aduh, tersentak saya dibuatnya.  Serius saya katakan, tidak pernah terfikir sebelum ini untuk mengembalikan khilafah.

Sungguh, itulah kali pertama saya rasakan betapa besarnya matlamat muslim sejati yang hakiki. Terasa apa yang diusahakan dan dicapai sebelum itu teramat kabur.

Saya tertunduk malu mengenangkan apa yang diusahakan selama ini hakikatnya tidak ke mana, kerana niat dan matlamat saya amatlah kerdil. Cukup mendapat nama, cukup mendapat kebanggaan diri. 
Langsung khilafah Islamiah tidak pernah diimpi jauh sekali Redha Ilahi !


Ya, cukup saya terharu pada malam itu. Bertambah pilu kerana tahun itu adalah tahun terakhir saya bersama sang murabbi tercinta. Dari situlah saya cuba mendapatkan seoptimum mungkin didikan dari beliau. Beliau tidak banyak bercakap dengan lisan, tetapi dengan kelakuan.

Tak terkira berapa kali beliau tabah kejutkan saya jam 3 pagi untuk bermunajat. Entah sudah berapa jam beliau menjadi pendengar setia pada saya, sungguhpun beliau merupakan seorang yang saya kira "syeikh" yang amat disegani, sungguhpun seorang yang sibuk dengan bermacam hal, pekerjaan dan sebagainya.

Itulah Fiqh yang saya cuba fahami. Fiqh Bina' wat-Tarbiiyah. (fiqh berkaitan pembinaan dan pendidikan) 
Kata ulama', fiqh ini hanya bisa difahami sekiranya murabbi dan mad'u hidup bersama dan sebaliknya.
Mustahil seorang itu mampu mendidik seseorang yang lain jika dirinya sendiri tidak terdidik. 

Saya sudah saksikan beberapa siri kegagalan diri saya sendiri dalam mendidik adik-adik, kerana saya sendiri begini. Begitu juga dengan manusia yang diluar sana, hanya pandai mengarah itu ini, seolah pekerjanya hamba sahya. Habis ikatan murni diketepi. 

"Siapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi"
"Siapa yang tak mempunyai apa-apa, tak mampu unutk memberi apa-apa"
-kaedah fiqh-

Maka, kini saya semakin  nampak betapa mendalamnya kaedah ini.

Dan saya yakin, dengan kefahaman ini, ia menjadi salah sebuah solusi yang amat mengesani dunia dan seisinya.

Friday, 28 May 2010

Tekad Menjelang 2 dekad

الحمد لله تملأ الميزان, وسبحان الله والحمد لله تمللآن أو تملأ ما بين السماوات والأرض

Alhamdulillah memenuhi Mizan, dan Subhanallah serta al-hamdulillah keduanya memenuhi apa yang ada diantara langit dan bumi (HR. Muslim)

+ + + +

Bagi Ahli Fizik, mungkin 24 Mei menjadi tarikh bersejarah buat mereka, kerna lahirnya Daniel Gabriel Fahrenheit si genius fizik dari German pada 1686.
Bagi pencinta IT pula, tarikh ini juga lah yang mengembirakan mereka kerna microsoft mengumumkan keluaran Windows NT pada 1993.
Begitu juga warga Lubnan, mereka mulai senyum gembira pada 24 Mei tatkala Israel mengundurkan tentera mereka pada tahun 2000 setelah 22 tahun bermaharajalela di sana.
Ini semua kegembiraan yang saya kira cukup bermakna dan penuh nostalgia berharga buat mereka.


Dan saya yakin, cukup 24 Mei mengembirakan Mak Ayah saya kerana putera kedua dan terakhir mereka berdua ini dilahirkan pada tarikh ini. Tambah menarik, puteranya ini tidak menangis saat dilahirkan. Ya, masakan tidak ia menjadi cukup nostalgic buat mereka berdua.


Alhamdulillah, kini genap dua dekad saya hidup. Bermakna, saya telah menghampiri mati sebanyak/selama dua dekad sedang Al-Mumit bila-bila saja bisa mematikan saya. mungkin sebentar lagi. Kalau Dia boleh Kata 'Jadi' maka jadilah.. Tak mustahil Dia bisa juga berfirman 'hancur' maka hancurlah..
Sama sekali tidak mustahil ! 
(ayuh, kita saling bermaafan :) 

sudah 2 dekad hidup, 2 jalan ini sentiasa terbuka luas.
moga kita pilih yang terbaik.
+ + + +

Alahai, sudah besar pun dapat hadiah birthday lagi ~ :)
tapi tak mengapalah, suka sekali saya warwarkan jutaan penghargaan buat yang memberi hadiah, material mahupun yang tak nampak yang sukar digambarkan nilainya.

Terima kasih saya ucapkan khusus kepada :

  • Ibu Bapa saya yang tercinta, yang telah menghadiahkan saya Laptop. Laptop yang cukup istimewa sesuai dengan minat saya. :) Juga cheese cake . Insya Allah membiak2 berantai2 pahala mereka kalau hadiah ini digunakan sebaiknya untuk Dakwah. Jika energy dari cake sedap tersebut dipindahkan ke gerabak-gerabak dakwah.
  • Adik beradik yang memberi ucapan2. terutama Suhaib yang sudi meminjamkan kereta sepanjang saya di KL ini dan Uswah yang telah memberi hadiah Pen Parker mahal. Insya Allah pahala kalian akan tak putus-putus, jika adikmu ini menggunakan hadiah tersebut untuk dakwah. Jazakumullah khairul jaza'
  • Murabbi semuanya, yang mendoakan dan memberi peringatan bila umur semakin tua ini..
  • Sahabat dan kenalan semuanya, yang memberi hadiah dan yang tak putus-putus mengutus mesej sambil mendoakan "moga thabat" dan macam2 lagi ayat berbunga-bunga. Sangat membantu. Maaf kalau tidak dibalas mesejnya.


dan akhir sekali, mungkin termasuk juga dalam Hadiah hari jadi,
buat pihak Bank Negara Malaysia, terima kasih kerana sudi menawarkan biasiswanya ke timur tengah kepada saya.
Setelah lama menanti, sudah genap 20 tahun juga baru kamu beritahu ya.
Alhamdulillah.

Alhamdulillah. Memenuhi Mizan.

*terima kasih juga yang mengucapkan tahniah dan bermacam bentuk ucapan lagi. Sangat saya hargai.
wassalamualaikum.

haish, Jordan merisik, Mesir Menanti, Madinah menyapa..~  T-T
Subhanallah. 

Friday, 30 April 2010

Monolog: Aku Pelajar Agama, Bangunlah


Kita sudah selalu mendengar ungkapan sebegini :
"Aku melihat Islam di negara barat, tetapi aku tidak nampak Islam di negara Islam sendiri"

Mungkin kata² sebegini biasa diungkapkan oleh orang yang banyak duit. Yang berkemampuan menjelajah satu dunia, timur dan barat sambil menilai situasi sekeliling.

Namun bagiku, yang masih tak berkemampuan mengembara sejauh itu, jadilah Malaysia sendiri tempat menilai situasi untuk dijadikan ibrah kehidupan ini.


Apa²pun, pada hematku yang cetek ini, ada juga beberapa situasi yang mirip-mirip
ungkapan familiar tadi, cuma setakat di tanah air sendiri sajalah ye..
"Nampak Islam di suatu kawasan yang tidak bernama Islampun, tapi tak nampak Islam di tempat yang dinamakan Islam"

*  *  *

Seperti lepasan STAM yang lain, aku juga tak ketinggalan meneroka jalan-jalan mencari sumber rezeki buat bekalan tak lama lagi di perantauan. Kerah tenaga juga korban duit gaji pertama, mencari-cari siapa yang sudi membiayai di sana sini.

Namun, nasibku tetap sama seperti lepasan STAM dulu-dulu. Tetap pilu.
Agensi mana lagi yang sudi membiayai melainkan zakat ataupun yayasan negeri.
Petronas? JPA? MARA? Shell? huh, dalam mimpi sajalah. Buat penat isi borangnya kalau dah tak tercatat 'bidang pengajian Islam' dalam field of study nya.

Bukan sahaja sedih dek terpinggir kesunyian dari agensi hebat, tiada pula borang permohonan untuk biasiswa agama secara online. Aduh, kenalah pula pergi sendiri ke pejabat Agama Islam memohon dermasiswa.

Sudahlah pilu kerna perlu ke sana sendirian, layanannya pula,,Masha Allah. Hanya Allah tempatku mengadu.
Tanya sepatah, jawab sepatah. 'Penat-penat' menyerikan muka sambil mengajukan soalan, si dia pula sibuk dengan komputernya sambil muka berkerut masam. Dengan takat jeling² sedikit, ingat aku ni siapa layaknya sebegitu. Nasib baik wujud juga sebilangan pekerja yang memurnikan hati ini dengan kata-kata lembut agak sopan. Itupun akak kaunter pertanyaan aras atas-atas.

Alahai, ini kah tempat yang terpampang 'ISLAM' besar-besar di dada bangunan mahupun gerbang gah pintu masuk utama. Malu. Malu. Sangat memalukan.

+  +  +

Bagaimana hebatnya perancangan Allah, tak mampu aku terangkan dengan tulisan ini.
Dalam sela-sela waktu nan sibuk mengumpul wang dan pengalaman buat bekalan di perantauan, dipanggilnya aku ke Bank Negara.Untuk ditemuduga biasiswa katanya. Subhanallah...
Tak sia-sia aku 'merungut' sambil berdoa padaNya mengadu nasibku dan sahabat-sahabat se'jurusan' ini.

Kalau tak berjaya dapatpun, apa kisah. Sekurang²nya bermula tahun ini, Allah sudah buka 'pintu hati' agensi hebat untuk menemuduga bakal siswa-siswi agama. Tahun depan harapnya akan diperluaskan lagi. Insya Allah.

Hmm,,
seharian aku di Bank Negara Malaysia(Maksudku di clubhousenya yang berdekatan dengan ibu pejabat) memberi aku 1001 macam semangat untuk berubah dan merubah.

Terlalu beza suasananya dengan tempat yang aku jejaki sebelum ini (Pejabat mewah yang tertera ISLAM besar-besar). Dari pak guardnya, cleaner²nya, usher²nya, hinggalah Human Resource Managernya, semuanya mesra² belaka. Eye-contact dijaga, senyuman manis tak lekang. Bahasa lembut kesopanan.
Wah, luar biasa ini.
Saat itu, aku terimbau-imbau balik layanan-layanan manusia di tempat yang ku jejaki dahulu. Masha Allah.

Lagi luar biasa, mereka sungguh beri sokongan moral, biarpun menyedari aku hanyalah seorang calon lepasan STAM entah dari sekolah kampung mana sementara yang lain semuanya lepasan A-Level, foundation dan lain-lain, lulusan sekolah dan kolej hebat-hebat.
Ini di Bank Negara Malaysia. Bersama pekerja² Bank Negara yang tidak adapun tertera ISLAM pada namanya.

Ya, Aku tahu suatu sikap itu terpulang pada individu untuk bertindak sebegitu. Namun Bank Negara telah membuktikan mereka berjaya membentuk "Qudwah Jama'ie". Orang pandangnya sebagai simbol kepada kemesraan dan simbol kepada perkara² lain. Pekerjanya sepakat dalam mempamerkan nilai islam yang mulia itu. bagaimana pula dengan syarikat² atau agensi² Islam?

Itulah dia. Dua situasi berbeza yang aku lihat di dua tempat yang berbeza. Seolah-olah tidak percaya kerna situasi² itu berlaku di tempat yang tidak sepatutnya berlaku. Tapi inilah realiti tanah airku saat ini.

Yang melihat dan menafsir,
Aku,
-Pelajar Agama-

~  ~  ~

*P/s:
1) Sahabat yang mahu sambung bidang Agama, Jangan Risaulah, Rezeki tetap akan ada. Ar-Razzaq akan memberikan rezekiNya selama mana kita berusaha hidup dengan namaNya Ar-Razzaq. Tidak hanya relax tak pergi kelas. Ayuh, Bangunlah dari merendahkan martabat agama dan paling kurang diri sendiri.

2) Kepada yang mahu sambung bidang professional (perubatan, ekonomi dan sebagainya). Jangan risaulah, kamu juga akan bisa 'mengislamkan' tempat lapangan kerja kamu. Bank Negara Malaysia sebagai contoh kecil yang 'aku' lihat. Tak menafikan ada juga yang masih perlu dimantapkan lagi dalam banyak aspek yang lain.

3) Kepada diri, bersabarlah. Perjalanan ini masih jauh. Perubahan hakiki tidak sama sekali berlaku sekelip mata dengan hanya berteori.
Situasi yang dilihat bukan untuk dihukum itu ini dengan kata² negatif. Tetapi untuk dijadikan pemangkin supaya terus berusaha mendidik masyarakat di samping membina jati diri. yang kian repuh.
4)Kepada semua, yang terdiri dari pelbagai macam manusia - Ustaz, doktor, jurutera, ahli politik, peniaga, penganggur -, hidup kita dimuliakan dengan Islam. Tak kisahlah kita siapa, meskipun jutawan ataupun agamawan, kita akan hina jika tidak menerapkan Islam dalam diri.

*Ops, bukan semua pejabat agama yang digambarkan seperti di atas ya.. 'aku' di situ hanya meneroka beberapa tempat sahaja. Di mana? rahsia lah. Aib..  ^_^
Mereka juga patut di-terima kasih kerna sudi menawarkan dermasiswa dan biasiswa kepada 'aku'.

Monday, 22 March 2010

KLIBF'10 : Khalifah Dalam Kenangan.

1990, saya dilahirkan tanpa bapa di sisi. Beliau masih di UK, cekal menimba ilmu arkitek dan tarbiyyah disana.
Namun bila diceritakan semula pada saya hari ini, sedikitpun ia tidak mengguris hati saya.
Yang mengguris hati saya ialah, saya dilahirkan tiada bapa, tiada bapa ummah, Khalifah gelarannya.

Masha Allah...

Hari ini, menjadi pasti, generasi-generasi pasca kejatuhan khilafah kian melupai sejarah sendiri.
Bahkan tidak pernah terbayang dan percaya bahawa suatu hari nanti zaman kegemilangan kita akan kembali. Entah betapa ramai yang sudah 'selesa' dengan hakikat yang berlaku hari ini. Boleh saja hidup bahagia dengan kemewahan sedang Syeikh Ali Tantawi kata : kesedihan yang paling perit adalah tiadanya khilafah islamiah.

Cuba kita buat survey ringkas dengan rakan sekelas, berapa ramai yang tahu bahwa dakwah Sultan Abdul Hamid II, khalifah terakhir ummah dengan seruan pan-Islamism pernah sampai ke tanah melayu, tanah air kita, sampai disebut-sebut dalam khutbah jumaat?

 Sultan 'Abdul Hamid II (khalifah terakhir 1876-1909)
selepasnya ialah Sultan Mehmed V Resad yang ditabal sbg raja boneka

Bukan di Tanah Melayu saja, seruan Pan-Islamismnya turut sampai ke Jepun. Hinggakan Maharaja Jepun, Mutsuhito Meiji (1867-1912) menghantar jemputan kepada Sultan Abdul Hamid agar mengutuskan mubaligh Islam ke Jepun.

Masha Allah...

Alahai, mudah saja musuh kita menghilangkan sejarah agung dunia islam termasuk tanah air kita sendiri lantas kita selesa dengan dunia hari ini


~ ~ ~

Saya dapati, situasi 'selesa' sebegini hampir sama ketikamana Islam datang selepas zaman jahiliyyah dulu. kemungkinan lebih parah atau baik, saya tak pasti.
Yang pasti, adalah salah satu kisah yang amat mengejutkan saya, -
bila Islam muncul membebaskan hamba-hamba, di Rom contohnya,
dari pembesar hinggalah golongan bawahan, ramai yang tak dapat menerima pembaharuan itu. Malah, Para HAMBA itu sendiri tidak biasa bila dibebaskan. Kerana sudah sebati sejak lahir dengan dunia perhambaannya.
(ruj. salah faham terhadap islam; syeikh muhammad qutb)

Bila dikaitkan dengan hari ini, saya risau,
berbillion manusia lahir dalam keadaan tiada khilafah tapi tampak bahagia selesa saja.
Entah berapa peratus saja yang sedar perlunya khilafah. Jangan-jangan perkataan "khilafah" pun tak pernah didengari.
Lebih parah,
golongan  yang sudah sedar pula, saling bersengketa sesama sendiri. Fitnah memfitnah, saling menjatuhkan.

Lalu tinggal berapa peratus pula yang benar2 tabah dan istiqamah di atas jalan yang lurus?
Ayuh sahabat, saudara saudari semua, Ayuh bangkit semula.

"Jangan biarkan ayam jantan mengalahkan kejantanan dan kecerdasan pagi mu ! Mereka berkokok seawal pagi lagi sedang kamu masih dibuai mimpi " 
(mafhum dari kata-kata Imam Al-Ghazali rasanya, maaf lupa)
+ + + +

Kali pertama saya ke pesta buku / KLIBF hampir sedekad yang lalu, buku Batman yang dibeli. Langsung tak terbayang buku-buku lain seperti Asuh, jauh sekali raheeq makhtum. Yalah, budak kelahiran abad ke-20, jarang sekali nak dicari siapa yang punyai Rasulullah, Abu Bakar ,Uthman, Ali (radhiallahu'anhum) sebagai contoh sejati.

Kali kedua ke KLIBF pula adalah pada tahun ini, baru-baru ini. Tiba-tiba teringin nak singgahinya dek terasa inilah kali terakhir saya akan ke KLIBF sebelum membawa diri ke timur tengah bertahun-tahun lamanya.
Dapat lah juga memahami situasi dan tahap perkembangan budaya ilmu di tanah air sendiri. Ternyata jauh bedanya berbanding yang pertama kali saya pergi hampir sedekad lalu.

~ ~ ~
Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan pemilihan.
3 saja buku dibeli, maka di sini saya cadangkan dan berbesar hati jika dibeli juga oleh sahabat-sahabat saya lepasan STAM dan yang akan melanjutkan pelajaran dalam bidang agama tak lama lagi. Sangat membantu menaikkan izzah dan semangat kita untuk mendalami ilmu agama mulai hari ini mahupun di Al-Azhar tak lama lagi :D
  1. Atlas Ilmu nahu ( buku nahu ringkas dan tipis tambah berwarna warni :) sesuai utk menengah tinggi dan siswa siswi agama utk revise balik ilmu2 nahu yang dipelajari.
  2. Konsep Ijtihad dalam hukum syarak - oleh Al-Marhum Dr. Muhammad Sayyid Tantawi. Saya rasa ia sesuai utk bakal mahasiswa syariah islamiah bakal ulama' mujtahid. Supaya lebih bersedia memikul beban membina umat yang kian kehilangan pegangan.
  3. Sultan Abdul Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islamiah - oleh Dr eaman Mohamed Abbas (hasil tesis Phd beliau) ha,, buku ini yang saya idamkan sejak form 2 dulu. Alhamdulillah dapat juga dibeli setelah bergaji sendiri. Jujur saya katakan, akhir-akhir ini sukar untuk saya lelapkan mata bila baca buku ini. Amat menyayat hati dan membakar semangat. Sehinggakan semalam terbawa-bawa dalam mimpi situasi genting bersama khalifah..
    Wallahu A'lam.
    Wassalamualaikum.

    Sunday, 14 March 2010

    Syukur dan Syukran

    Alhamdulillah.
    Setelah berbulan menanti, hari ini,
    salah satu stesen yang cukup besar bagi saya dan sahabat2 seperjuangan telah selamat direntasi.

    Natijah yang ditakdirkan cukup menguji kami yang masih muda mudi bakal ulama' pewaris nabi ini.
    Ada yang relax je seperti STAM ini tidak bermakna baginya, ada yang sedih, ada yang gembira, ada yang puas dengan senyuman yang menghiasi.

    Apa²pun, Yang pasti, natijah ini adalah yang terbaik Al-Adl Al-Qadir taqdirkan untuk kita, tidak ada yang tidak adil dan tiada juga yang tersilap walaupun sedikit.
    Syukur . Alhamdulillah. Cabaran sekarang ialah hendak membuktikan kesyukuran ini. Ayuh mulakan~ :)

    ~ ~

    Tahniah saya ucapkan buat semua sahabat seperjuangan saya yang bakal menjejaki bumi Anbiya' tak lama lagi.
    Tahniah juga buat adik dan sahabat-sahabat saya yang baru sahaja mendapat keputusan SPM. Semoga kalian bijak memilih jalan seterusnya. Bukan ikut-ikut. Bukan terpengaruh dengan emosi negatif.

    + + +

    Dengan setelus hati, Jutaan bahkan tak terhitung penghargaan saya ucapkan buat insan yang menjadi salah satu asbab kepada natijah STAM saya ;-
    • mak dan ayah saya, yang banyak memberi didikan dan sokongan moral mahupun material. Walaupun tidak pernah memaksa saya belajar sejak dahulu lagi, namun dari riak wajah manis mereka, sudah cukup membuatkan saya gerun untuk gagal. Yalah, siapa mahu mak ayah kecewa kan?
    • Para murabbi di Ipoh. Yang telah mendidik saya selama ini dengan didikan yang unik. Ada yang tidak jemu 'memaksa' saya untuk menghadiri kelas juga tabah mengejut saya dan sahabat² dari lena di atas meja. Ada juga yang sanggup ke rumah sewa kami malam2 demi menyampaikan ilmu, tanpa gaji tambahan.
    • Para murabbi terdahulu sampailah sekarang. Tanpa mereka, dengan Izin Allah tak terdidik saya serta sahabat semuanya. Tanpa mereka, jadilah kami golongan yang jahil tak mengerti Alif baa taa, ABC, mahupun ilmu dakwah dan tarbiyah.
    • Sahabat-Sahabat. Serius saya katakan, saya lebih banyak berkongsi masalah dan idea dengan sahabat berbanding orang lain. Saya rasa, anda juga begini dan mungkin beginilah sunnah satu dunia. Mungkin ia terjadi sebab sahabat kita sentiasa di sisi dan sgt faqih dengan perwatakan diri. Bagi saya, Allah 'hantar' sahabat2 buat saya ini bukan sahaja utk seronok bergelak ketawa, tetapi jauh lebih penting dari itu.
    • Adik beradik. Dari Suhaib Hinggalah Hanaa. Semuanya membantu secara tak langsung. terutama abang dan akak2 saya yang banyak bagi motivasi :)
    • makcik pakcik/Saudara mara/kerabat ( Serumpun DK dan Qabilah Tahir). Yang banyak memberi sokongan moral pada saya. Turut tak bosan meletakkan harapan menggunung tinggi lalu Secara automatic menjadikan saya lebih bertanggungjawab.
    • Juga khusus buat sepupu rapat saya, Ust Syamil a.k.a Tame. Beliau banyak mengajar saya erti kehidupan sejak saya tingkatan 1 lagi. Dari membuang 'homesick' saya hinggalah idea 'dakwah keluarga' yang pernah beliau cetuskan untuk dilaksanakan. Semuanya amat berharga! . Sempat juga beliau mengajar saya ilmu nahu tanpa melihat buku langsung. Dari situ saya nampak, betapa pentingnya kita berpegang teguh pada ilmu. Bukan exam-oriented.
    • Senior-senior. Yang dulu-dulu pernah membantai saya sampai lebam. Yang pernah menge-pau stok saya.Yang dulu-dulu pernah menolong saya perihal asrama. Yang banyak menceriakan hidup saya dek karenah yang mencuit hati. :) Semuanya banyak membina diri saya pada hari ini. Alhamdulillah saya bersyukur punyai senior seperti kalian.
    • Junior-junior. Jujur saya katakan, kewujudan kalian membuatkan saya dan senior2 lain lebih matang. Tanpa kalian(dengan Izin Allah), boleh jadi kami kekal manja kerana sentiasa terasa seperti 'anak bongsu'.
    • Anda semua yang sedang membaca. Ya, anda. Mungkin anda selalu mendoakan saya tapi tidak saya ketahui. Mungkin juga anda pernah memberi sokongan moral dan material pada saya tapi tak saya sedari. Maafkan la saya ya. Allah sahaja yang bisa Balas sepenuhnya.
    • Maaf kalau ada tertinggal. tolong beritahu ya kalau ada.

    Saya akui, saya lemah. Seringkali gagal menunaikan hak dan amanah pada kalian.
    Hanya Allah yang berkuasa membalas jasa baik kalian. Insya Allah.
    Jazakumullah khairan kathiran. Shukran jazilan..

    + + + +

    Oh ya,
    kelmarin, sejurus selepas melihat keputusan STAM, gembira di hati berganda-ganda dengan berita kelahiran anak buah ketiga saya. (saya seorang tahu lewat dek kerana handphone yang mati seharian)

    Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar !


    burika laki fi mauhub wa syakaratil wahib wa birruhu ala syiddatihi

      Tahniah buat Uswah dan abang ipar, Zayd atas kelahiran cahaya mata kurniaan Ilahi ini.
      Dengan muka ala-ala jepun(keturunan Zayd), semoga beliau dapat mencontohi semangat bangsa jepun yang segera membangun maju dari kejatuhan dahsyat.

      Tuesday, 23 February 2010

      Fiqh Bekerja

      Jangan risaulah. Kelibat tajuk je macam hebat, tapi saya tak berniat tulis berat² setanding 'Fiqh Aulawiyat' 'Fiqh Zakat' hasil kajian Qardhawi ulama' terhormat. 
      Namun, saya sedar saya perlu berkongsi apa yang sudah melekat sebagai ubat buat umat yang kian melarat.
      + + + + +
      Daripada sering mengelak dan tak pernah bercita² menjadi imam, percaya atau tidak,
      kini hampir masuk bulan ke-4 saya berkhidmat sbg imam dan guru di sebuah masjid yang cukup tersohor di johor bahru ini-Masjid yang pernah merangkul anugerah masjid Hadhari peringkat kebangsaan masa zaman Pak Lah dulu. 


      Dengan pengalaman singkat ini, dapatlah saya kongsikan sedikit sebanyak perkara yang memberi saya beberapa fiqh/kefahaman yang jitu sebagai bekalan untuk saya dan saudara semua.

      ~ ~ ~

      1. Hari pertama bekerja, saya sudah disediakan bilik dan pejabat yang selesa lagi lengkap dengan segala kemudahan meja kerusi ,air-cond, peti sejuk, internet dan macam² lagi. Namun semuanya tak mampu menyamankan hati yang terkenang murabbi² selama ini.  Saya terkenang seorang muallim saya dulu yang berjawatan tinggi, tetapi beliau sendiri yang mengangkat kerusi mejanya masuk ke pejabat yang dhoif.

      Saya terkenang muallim muallimah saya yang belajar tinggi-tinggi, ada sampai ke USA, Jordan, UK, dan Mesir, tapi sanggup mengetepikan tawaran hebat di luar demi kepentingan kami di sekolah ceruk kampung Jeram(Hira') mahupun Kg maju Jaya itu (sekolah hidayah). Gaji pula, lebih kurang dengan gaji saya sekarang, sedangkan mereka jauh lebih berilmu dan berkelulusan tinggi.

      Saya cukup tersentuh melihat mereka tetap istiqamah berkorban samapai sekarang. Rumah masih kecil tak besar, tak juga pindah2 walaupun anak semakin ramai. Ada yang sudah hampir 20 tahun menjadi guru, baru mampu beli Avanza.

      Saya tabik kehalusan didikan mereka. Mereka didik saya untuk berkorban bukan dengan kata-kata.
      Tapi didik dengan cara mempamerkan diri mereka sendiri sebagai model orang yang berkorban.


       ~ ~ ~
      2.  Sebelum saya keluar dari bilik imam bagi mengimamkan solat isya' buat kali pertama, badan terasa sangat sejuk walaupun kipas dan aircond awal² lagi sudah dimatikan. Denyutan jantung pula laju bukan main.
      Mujur sebelum iqamah dilaungkan, imam besar masjid sempat menjenguk saya di bilik imam.
      Melihatkan saya yang gementar dan asik merungut kecuakan dek memikirkan jemaah yang mantap dibelakang -doktor, pak arab, orang jabatan agama dll- beliau dengan serius bersuara dengan tegas :

      "Buat apa nak fikir orang² belakang. Fikir yang dihadapan kamu tu. Allah !"

      Nah, sejak dari peristiwa itu, saya sudah tak berani merungut kecuakan. Gemuruh di hati serta merta lenyap.
      Saya percaya itulah hakikat bagi setiap perbuatan kita. Tidak boleh tidak mesti Ihsan.
      Ihsan dikatakan ''kita menyembah Allah seolah-olah kita melihat-Nya. Maka jika kita tak melihatnya, Sesungguhnya Allah melihat kita  '"

      Saya yakin, kalau kita ihsan sentiasa, manusia kesemuanya tak mampu menggugat kita.
      Cuba bayangkan kita bekerja untuk Sultan Johor sebagai pembancuh teh. adakah logik kita tergugat dengan tukang masak sultan yang mengatakan teh kita tak sedap, sedangkan sultan sangat suka akan teh kita itu? Apatah lagi bila sultan melihat karenah kita dan tukang masak waktu itu. Pasti kita langsung tidak hiraukan tukang masak itu,  takde masa kita nak menjawab dan melayannya.

      Begitu juga dalam melakukan sebarang perkara sekalipun. Memungut sampah di tengah shopping mall, mengajak kawan pergi masjid, bekerja sbg cleaner di pasar, mengucap dihadapan majlis. Kalau ketika itu di fikiran kita hanya mengingati dan fokus pada-Nya, insya Allah kita takkan terkesan dengan karenah negatif dan segala pangkat manusia.
      hmm, hanya contoh simple je. Budak-budak pun rasanya bisa faham dan amati sedikit sebanyak konsep ihsan ini sedari kecil.

      ~ ~ ~
      3. Gaji pertama saya, saya gunakan untuk membeli kasut futsal adidas dan kek sebagai penghargaan buat mak ayah saya yang tak terbalas jasanya. Malangnya selang beberapa hari, separuh dari gaji pertama saya hilang. Tercicir barangkali. Perasaan waktu itu macam biasalah, bercampur baur dibuatnya. Umpama jutawan kehilangan lamborghini sebiji. (sesuailah kiasannya dengan saya yang bergaji sedikit kehilangan ratusan ringgit)

      Sejak kehilangan besar itu, saya semakin faham mengapa setiap kali ada ayat fasal rezeki dalam quran, Allah memberi arahan untuk menginfaqkannya. Saya pasti, tidak ada perkara yang lebih utama selepas peroleh rezeki, melainkan kita sentiasa berfikir untuk menginfaqkannya. Takde lah asyik fikir kasut adidas, iphone, dslr dan macam² lagi.
      "Hai Orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi."(al-munafiqun:9)

      Allah telah tampilkan contoh realistik pada saya. Akibat saya 'ter'lupa untuk infaq sedikit wang dari gaji pertama kerana sibuk dahulukan kasut adidas, Dia menaqdirkan ratusan ringgi saya hilang begitu saja.

      Saya dapat rasai seolah-olah Ar-Razzaq mahu menegur saya "Aku bagi Kau duit bukan saje², tapi untuk diinfaqkan !"


      Saya cukup terkesan dengan seorang sahabat sekelas di STAM dulu. Bila ditanya tentang gaji pertamanya, beliau jawab : "dah habis..guna untuk program"
      Juga terharu melihat kenalan officer di masjid ini. Pernah satu hari, RM500nya habis diinfaqkan. Padahal gajinya kurang daripada saya.

      Dari situasi yang berlaku ini, saya cuba sedaya boleh menanam dalam jiwa saya: Ar-Razzaq kurniakan rezeki pada kita, untuk diinfaqkan. Ini tujuan utama.
      Bak kata ulama', Inilah antara cara bagaimana ingin hidup dengan nama Ar-Razzaq.

      Bismika ya Razzaq nahya !

      Wednesday, 3 February 2010

      Satu Demi Satu

      Tak terhitung syukur saya panjatkan kepada As-Syakur. Baru saja meraih kegembiraan dengan berita kelahiran khayrat di Mesir(anak buah pertama), hari ini Allah melipatgandakan lagi kegembiraan saya dengan berita kelahiran anak buah kedua saya.
      Makanya, kesyukuran saya amat amat amat wajib dilipatgandakan jua..

      Tahniah saya ucapkan kepada Abang kesayangan saya, Suhaib dan isterinya mariam azwa atas kelahiran anak perempuan pertamanya. Mereka menjadi antara asbab kepada kewujudan bayi ini.
      Allah mengangkat tinggi martabat asbab wujud seseorang(ibubapanya), sampaikan banyak hukum syariah yang seolah² Allah bagi chance pada ayah yang membuat kesilapan pada anak cucunya : Seperti membunuh, si ayah tak dikenakan qisas (kenangan subjek Fiqh @ STAM bab pembunuhan)

      buurikalaki fimauhub wa syakaratil waahib wa birruhu a'ala shiddatihi 

      Harapan saya pada baby ini mudah je..
      Moga beliau memberi sumbangan kebaikan yang sangat besar pada kita semua.
      Lebih specific, moga² beliau berbakti pada abah dan ibunya, sanggup menolong sesiapa yang memerlukan mengikut kemampuan. dan bila dah capai Aqil baligh nanti, beliau dah bersedia untuk berkorban melaksakan kelima² rukun Islam.
      Jadi tak boleh tidak, sedari bayi lagi dan sebelum capai umur baligh lagi, abahnya, suhaib dan ibunya mariam azwa perlu jaga dan didik dia betul² supaya beliau bersedia mencapainya~

      + + + + + +
      Bila abang saya baru dapat anak ni, saya terus teringat pesanan penuh Kasih Sayang daripada Ar-Rahim dalam surah al-munafiqun, langsung menjadi pesanan khusus buat abang saya yang baru bergelar bapa dan mariam yang baru diamanahkan sebagai ibu :

       O you who have believed, let not your wealth and your children divert you from remembrance of Allah . And whoever does that - then those are the losers.

      Wallahu A'lam 
      Assalamualaikum

        © Blogger template 'Portrait' by Ourblogtemplates.com 2008

      Back to TOP