Friday, 13 July 2012

Memahami Perubahan

Alhamdulillah.
Di samping liku-liku yang menemani sepanjang perjalanan tahun dua pengajian di Universiti Yarmouk, banyak tak terkira nikmat yang ArRahman hadiahkan.
Diizinkan melangkah ke gerbang perkahwinan, mendapat mumtaz di kuliah, sehinggalah baru-baru ini, mendapat hadiah dari seseorang yang sponsor saya ke Mesir untuk sertai conference bertemakan 'Taghyir' (Perubahan) yang disampaikan oleh ulama' dan pemikir Islam yang masyhur.

Saya patut rasakan nikmat yang dikurniakan adalah untuk membantu ummah yang kian menjadi-jadi diseksa dibunuh di Syria, Myanmar, Palestine, dan lain lagi. Turut terseksa ummah di tanah air sendiri yang saban hari diserang bertubi-tubi dengan serangan moden yang sangat halus tanpa disedari berupa hedonism, liberalism, pluralism, yang akhirnya bisa membawa manusia bertuhankan manusia itu sendiri.

* * *

Kali ini, teringin pula berceloteh pasal taghyir (perubahan). Lagi-lagi bila baru balik dari Mesir yang baru melalui satu perubahan dan juga baru habis 5 hari conference tentang 'Taghyir'.

Sehari sebelum ke Mesir, sempat meminta nasihat dari seorang Ulama' Tafsir Jordan, As-Syeikh Dr Solah Al-Khalidi tentang taghyir. Juga sempat bincang tentang thaurah (merujuk kepada Arab Spring). Beliau dengan tenangnya menjawab thaurah merupakan salah satu daripada wasilah dakwah. Beliau juga menjelaskan bahawa gerakan islam di mesir yang menyokong thaurah itu pun tetap menguatkan pembinaan peribadi dan ummah. Langsung tak terpisah daripada perkara ini. Berulang kali beliau mengatakan pembentukan peribadi itu tidak terpisah, dalam apa jua keadaan dan marhalah.



+ + +

Di Conference, terasa sangat kerdil dan jahil bila dapati bahawa saya satu-satunya peserta Melayu, di tambah lagi dengan penyampai² yang cukup hebat seperti Syeikh Rasyid Ghanoushi, Syeikh Dr Abdul Karim Bakar, Syeikh Dr Salman 'Oudah, dan banyak lagi termasuk pemimpin gerakan islam dari Turkey (wakil AKP) , Arab Saudi, Algeria, Moritania dan banyak lagi. Memang terasa diri ini sangat jahil yang tak sabar nak menggarap segala mutiara yang ada.

Muktamar 4shbab Al-'Alami 2012

Tak reti untuk celoteh panjang², mungkin cukup bagi saya simpulkan kefahaman saya dari conference selama 5 hari ini dalam bentuk point-point penting :


1) Perubahan yang kita nak gapai adalah mengubah alam ini sehinggalah Islam menjadi 'Ustaz' bagi alam ini.
Kita sibuk-sibuk berdoa nak Redha Ilahi, tetapi sedikitpun tidak berjuang ke arah ini, kena sedarlah diri.

Syeikh Ghanoushi menegaskan kalimah 'بأنفسهم' dalam firman Allah yang bermaksud "Allah tidak mengubah sesuatu kaum sehinggalah....."(surah Ar-Ra'd : 11)  bermaksud 3 perkara iaitu :- merubah diri manusia itu sendiri, keadaan sekeliling dan juga realiti di bumi sekarang ini. Ia tidak terhad pada salah satu.

Sembang-sembang bersama Syeikh Rasyid Ghanoushi tatkala lunch selepas penyampaiannya

2) Syeikh Abdul Karim Bakar menjelaskan perubahan yang hakiki adalah yang berlaku bukan dengan tekanan. Taghyir tak sama dengan Taghayyur yang bersifat 'حتم' (tekanan/paksa). Taghyir yang dimaksudkan adalah 'مع الارادة' (dengan kemahuan). Ia mestilah berlaku mengikut sunnah perubahan alam itu sendiri. Maknanya tak lain tak bukan perlu fokus mendidik manusia secara berperingkat, di samping mengambil peluang yang ada dalam memudahkan proses perubahan tersebut.

3) Kini, mungkin ramai yang menyedari desakan Perubahan. Malangnya ramai juga yang tersilap memahami kaedah perubahan itu sendiri. Lebih malang lagi bila seseorang itu terlebih dahulu mencedok idea barat tanpa dipandu oleh Syara' yang hakikatnya sudah pun menjelaskan.

4) Ada juga yang selalu mengatakan seseorang itu terlalu simplistik, literalis, tak memahami situasi setempat. Namun tanpa disedari dia juga telah terjebak dengan kes ini. Salah satu contoh apabila dia melihat perubahan dan strategi yang dilaksanakan di negara seperti Tunisia, Mesir dan Turkey yang gerakan islamnya telah mendapat tempat di tampuk pemerintahan. Tanpa disedari dia dengan semudahnya meng'qias'kan dengan Malaysia dan mengusahakan perubahan di Malaysia mengikut acuan Turkey ataupun Tunisia atau lain-lain lagi. Timbul lah laungan seperti islamic secularism oleh pembawa perubahan di Malaysia yang seolah-olah sesuka hati meng-qiyas negara-negara hebat tadi dengan Malaysia.

5) Sepanjang conference dari hari pertama lagi, banyak kali menyebut perihal Malaysia. Malah seorang speaker dari Turkey menegaskan kepada saya secara direct bahawa Turkey bukan contoh kepada Malaysia. Satu isu yang ditegaskan (sampai beliau meninggikan suara) kepada saya adalah isu secularism dalam pemerintahan. Benda ini ramai orang salah faham dan mahu mencontohinya.

Hakikatnya AKP di Turkey sebenarnya terpaksa bermuamalah dengan secularism buat masa ini. Ia bukan matlamat. Malaysia, negara yang tidak pekat pun sekularismnya, bahkan mempunyai perlembagaan yang menjaga hak umat islam, buat apa nak berpatah balik menuju ke belakang mencontohi Turkey meraikan secularism? Kita maklum Turkey sangat pekat secularismnya, hatta sepanjang AKP yang terpaksa bermuamalah dengannya, terdapat 6 kali cubaan coup d'etat . Beliau juga menegaskan perubahan sedikit demi sedikit ke arah lebih baik sedang mereka usahakan. *Berita baik untuk tahun ini, secara rasminya, pembelajaran bahasa arab dapat dimasukkan dalam sistem pendidikan setelah bertahun-tahun disekat.


Sembang-sembang bersama salah seorang speaker dari Turkey (daripada 3 wakil dari Turkey). Beliau dengan penuh yakin dan berkarisma menerangkan tentang ekonomi Turkey. Umurnya baru 21 tahun. Merupakan pemimpin sebuah pertubuhan belia di Turkey.


6) Kita bukan hanya ingin menegakkan human right, good governance, kebebasan bersuara atau lain-lain istilah manis semata-mata. Bukanlah itu menjadi matlamat sebenar, bukanlah juga sebagai 'Tuhan' yang apa-apa hal dipersetujui oleh semua orang tak kira agama atas nama hak asasi manusia semata. Malangnya bila syariah hendak dimplementasi, ditolak ketepi.
Di mana ruang syara' bila manusia bertuhankan humanism? Matlamat kita perlu jelas, seperti mana dalam point no.1. 

7) Sempat juga berborak dengan seorang speaker, Dr Taufiq Muhammad (asal Algeria, menetap lebih kurang 15 tahun di Malaysia). Beliau menyatakan ketidaksetujuan terhadap BERSIH kerana tidak sesuai dengan rakyat Malaysia. Namun baginya Gerakan Islam yang menyokong BERSIH, adalah ijtihad masing². (*Saya tak mahu hurai panjang pasal BERSIH. Anda  lagi arif). Beliau juga memberi nasihat supaya tidak mudah mengecop orang (Liberalis, literalis, simplistik dan lain-lain).

8) Sepanjang conference juga, banyak kali saya dengar soalan-soalan berkaitan 'arab spring', 'revolusi', 'perubahan dengan kekuatan', apa syarat-syaratnya, apa disiplinnya, dan soalan lain yang sewaktu dengannya. Kesimpulan dari jawapan speaker² mengembalikan pandangan kita kepada  konsep asas perubahan.
Perubahan yang kita fahami  bukanlah datang secara drastik dengan cara revolusi kekerasan, tekanan atau sewaktu dengannya.
Ya, mungkin kita boleh buat perkara tersebut seperti demonstrasi atau revolusi. Namun kita perlu ingat, pembinaan dari bawah wajiblah dengan skala yang besar, barulah 'perubahan dari atas' boleh dibuat namun masih perlu terpandu mengikut disiplin² tertentu.

9) Sempat saya bertanya speaker wakil Turkey yang menceritakan tentang sumbangan Fethullah Gulen dalam projek taghyir : "adakah revolusi di Mesir berjaya dalam mentaghyir & islah Mesir?" dan dijawab ringkas : "Sekarang kita tidak boleh nilai. Mungkin 5-10 tahun lagi baru kita dapat lihat" (jawapan lebih kurang)."

10) Bagaimana pemerintah itu ingin mengimplementasi syara' dalam sesebuah negara kalau rakyat sendiri tidak mahukan syara'. Ketuanan syara' dan kemahuan rakyat tidak dapat dipertemukan melainkan rakyat sendiri  terbimbing sepenuhnya dan inginkan syara'.

11) Kita juga perlu bezakan marhalah dan wasilah. AKP memerintah Turkey, An-Nahdhah menerajui Tunisia, Dr. Mursi menjadi Presiden Republik Mesir, bukanlah menandakan mereka kini telah capai pada peringkat Daulah Islamiyyah. Masih jauh lagi perjalanan menuju kemenangan Islam yang hakiki dalam sesebuah negara. Tidak relevan untuk menyatakan mereka telah mencapai daulah islamiyyah sedangkan masyarakat umum masih belum bersedia menerima sistem Islam sepenuhnya.

12) Akhirnya, kita perlu fahami bahawa methodologi perubahan yang diasaskan oleh Rasulullah saw itulah yang tepat, terbukti berjaya dan memberi kejayaan besar buat Islam.
Ia bermula dengan fokus pembentukan pemuda-pemuda sebagai asas yang kuat bagi sesebuah keluarga dan masyarakat seterusnya negara.
Adakah kita di Malaysia sudah melepasi marhalah ini? Ini satu persoalan yang patut perhatikan betul-betul supaya tidak silap pertimbangan dan langkah. Dan kalaulah pun dianggap sudah melepasi, adakah bermakna fokus pembentukan, pendidikan individu boleh ditinggalkan?

Bukanlah maksud saya penafian terhadap usaha-usaha membanteras korupsi dalam kerajaan, memperjuangkan negara yang adil dan sebagainya.
Maksud saya di sini adalah fokus dengan skala yang besar itu adalah pada pembentukan peribadi, jatidiri masyarakat, membimbing mereka memahami Aqidah & Syariah & Akhlaq Islam. Tak lupa juga, wajib bersih dari segala tektik-tektik kotor yang saling jatuh menjatuhkan golongan Islam :)


Wallah A'lam.
Segala kesilapan, dari diri saya sendiri. Akan terus dipelajari dan diperbaiki.

  © Blogger template 'Portrait' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP