Thursday, 29 March 2012

Ringan atau Berat, Tetap Melangkah !

“Sorry syeikh, minggu ni ana busy sikit”


“Sorry la akhi, ana pening sikit semalam. Tak dapat nak prepare tugasan usrah”


“kau je lah yang buat, aku ada hal sikit”


“Malasnya pergi usrah, baik tengok ceramah kat youtube jek”


“Sori lah, next week ada exam”


“tak pe lah, solat sorang-sorang pun still sah jugak”

Inilah alasan-alasan ‘munasabah’ yang selalu kita dengari. Ya, memang selalu kita dengari kerana kitalah yang sering mengungkapkannya. Bermacam alasan yang tercipta sekreatif mungkin bagi memuaskan hati orang ramai.

Wahai diri yang beribu alasan,
Tidakkah kamu tadabbur Firman Allah swt ini ?

انْفِرُواْ خِفَافاً وَثِقَالاً وَجَاهِدُواْ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan ataupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (At-Taubah : 41)

As-Syahid Syed Qutub dalam Tafsir Fi Zilalnya menghurai ayat di atas : “Hendaklah kamu semua berangkat dalam apa jua keadaanmu. Berjihadlah dengan jiwa raga dan hartamu. Dan jangan mencari-cari alasan dan keuzuran serta jangan sesekali tunduk pada sebarang halangan dan justifikasi.”

Dalam ceramah, wacana, daurah mahupun halaqah usrah, mungkin sudah berulang kali dengari ayat ini. Namun bila hendak diterjemahkan pada amalan nyata, ternyata payah tak terhingga.
Ketika itulah bermacam-macam justifikasi diberi bagi mengundur diri. Apa yang dipelajari selama ini hanya tersemat kemas di hati, kekal sebagai teori.


Hakikat Orang Beriman
Ketahuilah, orang yang benar-benar beriman, adalah meraka yang terus melangkah biarpun rintangan-rintangan menghalang jalannya. Inilah yang diungkapkan Syed Qutub dalam Fi Zilal mengenai tafsir ayat ini :

وأدرك المؤمنون المخلصون هذا الخير , فنفروا والعوائق في طريقهم , والأعذار حاضرة لو أرادوا التمسك بالأعذار
“Orang mukmin yang ikhlas mengetahui bahawa inilah yang terbaik baginya. Maka dia terus melangkah berjuang sekalipun banyak rintangan  sepanjang perjalanannya, sedangkan banyak saja wujud keuzuran yang membolehkan dia mengundurkan diri kalau dia mahu.”

Sungguh, kehidupan ini memang tidak lari dari sebarang permasalahan. Kalau kita hendak mencipta alasan, memang tidak sampai sesaat pun kita boleh menge-list-kan pelbagai alasan. Pilihan terletak pada diri kita, hendak melangkah atau terus tunduk dengan pelbagai alasan.

Lihatlah Abu Bakar As-Siddiq, pagi hari menerima Islam daripada, terus melangkah laju dan pulang di petang hari dengan membawa 6 orang memasuki Islam. Tiada langsung alasan : “Ana masih baru belajar. Quran pun tak hafal lagi.Tak layak lah nak dakwah si dia”.

Lihatlah Sa’ad bin Mu’az, lantas berdakwah kepada kaumnya sebaik sahaja menerima hidayah Allah. Beliau hanya sempat hidup dalam keadaan Islam dan berjuang selama 6 tahun, namun kematiannya membuatkan Arasy Ar-Rahman bergegar !

Lihatlah Abu Ayyub Al Anshary, boleh saja beliau beralasan untuk berehat di rumah kerana umur tuanya melangkau lebih 80 tahun. Namun beliau tetap berjuang bersama tentera-tentera Islam hingga gugur syahid di tembok Kota Konstantinopel.

Penuntut Ilmu Yang Bermain-main
Syukur Alhamdulillah. Kali ini alasannya 'agak' munasabah kerana bukan lagi disebabkan isu-isu mentah seperti malas, berfoya-foya, gaming dan lain-lain.
Kali ini ia beralasan untuk mengenepikan dakwah ‘sebentar’ kerana mahu fokus pada pengajiannya ataupun fokus pada penyucian jiwanya.

Yang medic mungkin beralasan sibuk dengan lecture notenya, yang syariah sibuk dengan talaqqinya. Yang sibuk dengan jiwanya berjam-jam iktikaf di Masjid.
Lalu siapa lagi yang mahu sibuk dengan perjuangan? Siapa lagi yang mahu sibuk dengan menyampaikan islam kepada teman-teman? Siapa lagi mahu sibuk mendidik adik-adik?

Tidakkah kita terkesan dengan kisah Abdullah ibnu Al-Mubarak ?
Beliau berjaya dalam akademiknya, juga bersungguh dalam memperjuangkan islam.
Beliau merupakan ahli hadith yang thiqah lagi masyhur. Terbukti kehebatannya apabila dilihat banyak hadith riwayat beliau termaktub dalam Sahih Al-Bukhari & Muslim dan kitab-kitab sunan serta musnad. Malah beliau juga merupakan seorang pakar Fiqh yang bijaksana. Tidak lupa juga mempunyai harta kekayaan yang banyak dan dibelanjakan untuk membiayai pengajian pelajar-pelajar dan majlis ilmu di semua ibu negara Islam.

Dalam masa yang sama, sepanjang hidupnya beliau sentiasa sibuk dengan perjuangan berjihad di Jalan Allah. Saban tahun beliau berjihad di Rom sehinggakan beliau mempunyai tempat tinggal di Selatan Turki.
Beliau dengan berani menegur sahabatnya Al-Fudhail bin Iyadh yang juga merupakan seorang Ahli Hadith yang masyhur  dan thiqah kerana meninggalkan Jihad untuk beruzlah di Makkah.

Dengan beraninya beliau menyifatkan sahabatnya itu sebagai “Ahli Ibadat yang bermain-main !”. Ibnu Mubarak sama sekali tidak memandang keistimewaan Al-Fudhail sebagai Ahli Ibadat dan zuhud itu sebagai alasan untuk tidak berjihad.

Dengan sifat inilah Ibnu Mubarak diangkat sebagai pemimpin ahli hadith pada zaman itu. Bukan dengan sifat mementingkan diri sendiri. Bukan hanya syok sendiri fokus pada ilmu dan pembinaan diri semata.

Inginkah kita digelar sebagai ahli akademik atau ilmuwan yang bermain-main?

Ganjaran Hebat Menanti 
“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?”

“(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,”

“Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.”
(As-Soff : 10-12)

  © Blogger template 'Portrait' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP