Friday, 13 July 2012

Memahami Perubahan

Alhamdulillah.
Di samping liku-liku yang menemani sepanjang perjalanan tahun dua pengajian di Universiti Yarmouk, banyak tak terkira nikmat yang ArRahman hadiahkan.
Diizinkan melangkah ke gerbang perkahwinan, mendapat mumtaz di kuliah, sehinggalah baru-baru ini, mendapat hadiah dari seseorang yang sponsor saya ke Mesir untuk sertai conference bertemakan 'Taghyir' (Perubahan) yang disampaikan oleh ulama' dan pemikir Islam yang masyhur.

Saya patut rasakan nikmat yang dikurniakan adalah untuk membantu ummah yang kian menjadi-jadi diseksa dibunuh di Syria, Myanmar, Palestine, dan lain lagi. Turut terseksa ummah di tanah air sendiri yang saban hari diserang bertubi-tubi dengan serangan moden yang sangat halus tanpa disedari berupa hedonism, liberalism, pluralism, yang akhirnya bisa membawa manusia bertuhankan manusia itu sendiri.

* * *

Kali ini, teringin pula berceloteh pasal taghyir (perubahan). Lagi-lagi bila baru balik dari Mesir yang baru melalui satu perubahan dan juga baru habis 5 hari conference tentang 'Taghyir'.

Sehari sebelum ke Mesir, sempat meminta nasihat dari seorang Ulama' Tafsir Jordan, As-Syeikh Dr Solah Al-Khalidi tentang taghyir. Juga sempat bincang tentang thaurah (merujuk kepada Arab Spring). Beliau dengan tenangnya menjawab thaurah merupakan salah satu daripada wasilah dakwah. Beliau juga menjelaskan bahawa gerakan islam di mesir yang menyokong thaurah itu pun tetap menguatkan pembinaan peribadi dan ummah. Langsung tak terpisah daripada perkara ini. Berulang kali beliau mengatakan pembentukan peribadi itu tidak terpisah, dalam apa jua keadaan dan marhalah.



+ + +

Di Conference, terasa sangat kerdil dan jahil bila dapati bahawa saya satu-satunya peserta Melayu, di tambah lagi dengan penyampai² yang cukup hebat seperti Syeikh Rasyid Ghanoushi, Syeikh Dr Abdul Karim Bakar, Syeikh Dr Salman 'Oudah, dan banyak lagi termasuk pemimpin gerakan islam dari Turkey (wakil AKP) , Arab Saudi, Algeria, Moritania dan banyak lagi. Memang terasa diri ini sangat jahil yang tak sabar nak menggarap segala mutiara yang ada.

Muktamar 4shbab Al-'Alami 2012

Tak reti untuk celoteh panjang², mungkin cukup bagi saya simpulkan kefahaman saya dari conference selama 5 hari ini dalam bentuk point-point penting :


1) Perubahan yang kita nak gapai adalah mengubah alam ini sehinggalah Islam menjadi 'Ustaz' bagi alam ini.
Kita sibuk-sibuk berdoa nak Redha Ilahi, tetapi sedikitpun tidak berjuang ke arah ini, kena sedarlah diri.

Syeikh Ghanoushi menegaskan kalimah 'بأنفسهم' dalam firman Allah yang bermaksud "Allah tidak mengubah sesuatu kaum sehinggalah....."(surah Ar-Ra'd : 11)  bermaksud 3 perkara iaitu :- merubah diri manusia itu sendiri, keadaan sekeliling dan juga realiti di bumi sekarang ini. Ia tidak terhad pada salah satu.

Sembang-sembang bersama Syeikh Rasyid Ghanoushi tatkala lunch selepas penyampaiannya

2) Syeikh Abdul Karim Bakar menjelaskan perubahan yang hakiki adalah yang berlaku bukan dengan tekanan. Taghyir tak sama dengan Taghayyur yang bersifat 'حتم' (tekanan/paksa). Taghyir yang dimaksudkan adalah 'مع الارادة' (dengan kemahuan). Ia mestilah berlaku mengikut sunnah perubahan alam itu sendiri. Maknanya tak lain tak bukan perlu fokus mendidik manusia secara berperingkat, di samping mengambil peluang yang ada dalam memudahkan proses perubahan tersebut.

3) Kini, mungkin ramai yang menyedari desakan Perubahan. Malangnya ramai juga yang tersilap memahami kaedah perubahan itu sendiri. Lebih malang lagi bila seseorang itu terlebih dahulu mencedok idea barat tanpa dipandu oleh Syara' yang hakikatnya sudah pun menjelaskan.

4) Ada juga yang selalu mengatakan seseorang itu terlalu simplistik, literalis, tak memahami situasi setempat. Namun tanpa disedari dia juga telah terjebak dengan kes ini. Salah satu contoh apabila dia melihat perubahan dan strategi yang dilaksanakan di negara seperti Tunisia, Mesir dan Turkey yang gerakan islamnya telah mendapat tempat di tampuk pemerintahan. Tanpa disedari dia dengan semudahnya meng'qias'kan dengan Malaysia dan mengusahakan perubahan di Malaysia mengikut acuan Turkey ataupun Tunisia atau lain-lain lagi. Timbul lah laungan seperti islamic secularism oleh pembawa perubahan di Malaysia yang seolah-olah sesuka hati meng-qiyas negara-negara hebat tadi dengan Malaysia.

5) Sepanjang conference dari hari pertama lagi, banyak kali menyebut perihal Malaysia. Malah seorang speaker dari Turkey menegaskan kepada saya secara direct bahawa Turkey bukan contoh kepada Malaysia. Satu isu yang ditegaskan (sampai beliau meninggikan suara) kepada saya adalah isu secularism dalam pemerintahan. Benda ini ramai orang salah faham dan mahu mencontohinya.

Hakikatnya AKP di Turkey sebenarnya terpaksa bermuamalah dengan secularism buat masa ini. Ia bukan matlamat. Malaysia, negara yang tidak pekat pun sekularismnya, bahkan mempunyai perlembagaan yang menjaga hak umat islam, buat apa nak berpatah balik menuju ke belakang mencontohi Turkey meraikan secularism? Kita maklum Turkey sangat pekat secularismnya, hatta sepanjang AKP yang terpaksa bermuamalah dengannya, terdapat 6 kali cubaan coup d'etat . Beliau juga menegaskan perubahan sedikit demi sedikit ke arah lebih baik sedang mereka usahakan. *Berita baik untuk tahun ini, secara rasminya, pembelajaran bahasa arab dapat dimasukkan dalam sistem pendidikan setelah bertahun-tahun disekat.


Sembang-sembang bersama salah seorang speaker dari Turkey (daripada 3 wakil dari Turkey). Beliau dengan penuh yakin dan berkarisma menerangkan tentang ekonomi Turkey. Umurnya baru 21 tahun. Merupakan pemimpin sebuah pertubuhan belia di Turkey.


6) Kita bukan hanya ingin menegakkan human right, good governance, kebebasan bersuara atau lain-lain istilah manis semata-mata. Bukanlah itu menjadi matlamat sebenar, bukanlah juga sebagai 'Tuhan' yang apa-apa hal dipersetujui oleh semua orang tak kira agama atas nama hak asasi manusia semata. Malangnya bila syariah hendak dimplementasi, ditolak ketepi.
Di mana ruang syara' bila manusia bertuhankan humanism? Matlamat kita perlu jelas, seperti mana dalam point no.1. 

7) Sempat juga berborak dengan seorang speaker, Dr Taufiq Muhammad (asal Algeria, menetap lebih kurang 15 tahun di Malaysia). Beliau menyatakan ketidaksetujuan terhadap BERSIH kerana tidak sesuai dengan rakyat Malaysia. Namun baginya Gerakan Islam yang menyokong BERSIH, adalah ijtihad masing². (*Saya tak mahu hurai panjang pasal BERSIH. Anda  lagi arif). Beliau juga memberi nasihat supaya tidak mudah mengecop orang (Liberalis, literalis, simplistik dan lain-lain).

8) Sepanjang conference juga, banyak kali saya dengar soalan-soalan berkaitan 'arab spring', 'revolusi', 'perubahan dengan kekuatan', apa syarat-syaratnya, apa disiplinnya, dan soalan lain yang sewaktu dengannya. Kesimpulan dari jawapan speaker² mengembalikan pandangan kita kepada  konsep asas perubahan.
Perubahan yang kita fahami  bukanlah datang secara drastik dengan cara revolusi kekerasan, tekanan atau sewaktu dengannya.
Ya, mungkin kita boleh buat perkara tersebut seperti demonstrasi atau revolusi. Namun kita perlu ingat, pembinaan dari bawah wajiblah dengan skala yang besar, barulah 'perubahan dari atas' boleh dibuat namun masih perlu terpandu mengikut disiplin² tertentu.

9) Sempat saya bertanya speaker wakil Turkey yang menceritakan tentang sumbangan Fethullah Gulen dalam projek taghyir : "adakah revolusi di Mesir berjaya dalam mentaghyir & islah Mesir?" dan dijawab ringkas : "Sekarang kita tidak boleh nilai. Mungkin 5-10 tahun lagi baru kita dapat lihat" (jawapan lebih kurang)."

10) Bagaimana pemerintah itu ingin mengimplementasi syara' dalam sesebuah negara kalau rakyat sendiri tidak mahukan syara'. Ketuanan syara' dan kemahuan rakyat tidak dapat dipertemukan melainkan rakyat sendiri  terbimbing sepenuhnya dan inginkan syara'.

11) Kita juga perlu bezakan marhalah dan wasilah. AKP memerintah Turkey, An-Nahdhah menerajui Tunisia, Dr. Mursi menjadi Presiden Republik Mesir, bukanlah menandakan mereka kini telah capai pada peringkat Daulah Islamiyyah. Masih jauh lagi perjalanan menuju kemenangan Islam yang hakiki dalam sesebuah negara. Tidak relevan untuk menyatakan mereka telah mencapai daulah islamiyyah sedangkan masyarakat umum masih belum bersedia menerima sistem Islam sepenuhnya.

12) Akhirnya, kita perlu fahami bahawa methodologi perubahan yang diasaskan oleh Rasulullah saw itulah yang tepat, terbukti berjaya dan memberi kejayaan besar buat Islam.
Ia bermula dengan fokus pembentukan pemuda-pemuda sebagai asas yang kuat bagi sesebuah keluarga dan masyarakat seterusnya negara.
Adakah kita di Malaysia sudah melepasi marhalah ini? Ini satu persoalan yang patut perhatikan betul-betul supaya tidak silap pertimbangan dan langkah. Dan kalaulah pun dianggap sudah melepasi, adakah bermakna fokus pembentukan, pendidikan individu boleh ditinggalkan?

Bukanlah maksud saya penafian terhadap usaha-usaha membanteras korupsi dalam kerajaan, memperjuangkan negara yang adil dan sebagainya.
Maksud saya di sini adalah fokus dengan skala yang besar itu adalah pada pembentukan peribadi, jatidiri masyarakat, membimbing mereka memahami Aqidah & Syariah & Akhlaq Islam. Tak lupa juga, wajib bersih dari segala tektik-tektik kotor yang saling jatuh menjatuhkan golongan Islam :)


Wallah A'lam.
Segala kesilapan, dari diri saya sendiri. Akan terus dipelajari dan diperbaiki.

Thursday, 29 March 2012

Ringan atau Berat, Tetap Melangkah !

“Sorry syeikh, minggu ni ana busy sikit”


“Sorry la akhi, ana pening sikit semalam. Tak dapat nak prepare tugasan usrah”


“kau je lah yang buat, aku ada hal sikit”


“Malasnya pergi usrah, baik tengok ceramah kat youtube jek”


“Sori lah, next week ada exam”


“tak pe lah, solat sorang-sorang pun still sah jugak”

Inilah alasan-alasan ‘munasabah’ yang selalu kita dengari. Ya, memang selalu kita dengari kerana kitalah yang sering mengungkapkannya. Bermacam alasan yang tercipta sekreatif mungkin bagi memuaskan hati orang ramai.

Wahai diri yang beribu alasan,
Tidakkah kamu tadabbur Firman Allah swt ini ?

انْفِرُواْ خِفَافاً وَثِقَالاً وَجَاهِدُواْ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan ataupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (At-Taubah : 41)

As-Syahid Syed Qutub dalam Tafsir Fi Zilalnya menghurai ayat di atas : “Hendaklah kamu semua berangkat dalam apa jua keadaanmu. Berjihadlah dengan jiwa raga dan hartamu. Dan jangan mencari-cari alasan dan keuzuran serta jangan sesekali tunduk pada sebarang halangan dan justifikasi.”

Dalam ceramah, wacana, daurah mahupun halaqah usrah, mungkin sudah berulang kali dengari ayat ini. Namun bila hendak diterjemahkan pada amalan nyata, ternyata payah tak terhingga.
Ketika itulah bermacam-macam justifikasi diberi bagi mengundur diri. Apa yang dipelajari selama ini hanya tersemat kemas di hati, kekal sebagai teori.


Hakikat Orang Beriman
Ketahuilah, orang yang benar-benar beriman, adalah meraka yang terus melangkah biarpun rintangan-rintangan menghalang jalannya. Inilah yang diungkapkan Syed Qutub dalam Fi Zilal mengenai tafsir ayat ini :

وأدرك المؤمنون المخلصون هذا الخير , فنفروا والعوائق في طريقهم , والأعذار حاضرة لو أرادوا التمسك بالأعذار
“Orang mukmin yang ikhlas mengetahui bahawa inilah yang terbaik baginya. Maka dia terus melangkah berjuang sekalipun banyak rintangan  sepanjang perjalanannya, sedangkan banyak saja wujud keuzuran yang membolehkan dia mengundurkan diri kalau dia mahu.”

Sungguh, kehidupan ini memang tidak lari dari sebarang permasalahan. Kalau kita hendak mencipta alasan, memang tidak sampai sesaat pun kita boleh menge-list-kan pelbagai alasan. Pilihan terletak pada diri kita, hendak melangkah atau terus tunduk dengan pelbagai alasan.

Lihatlah Abu Bakar As-Siddiq, pagi hari menerima Islam daripada, terus melangkah laju dan pulang di petang hari dengan membawa 6 orang memasuki Islam. Tiada langsung alasan : “Ana masih baru belajar. Quran pun tak hafal lagi.Tak layak lah nak dakwah si dia”.

Lihatlah Sa’ad bin Mu’az, lantas berdakwah kepada kaumnya sebaik sahaja menerima hidayah Allah. Beliau hanya sempat hidup dalam keadaan Islam dan berjuang selama 6 tahun, namun kematiannya membuatkan Arasy Ar-Rahman bergegar !

Lihatlah Abu Ayyub Al Anshary, boleh saja beliau beralasan untuk berehat di rumah kerana umur tuanya melangkau lebih 80 tahun. Namun beliau tetap berjuang bersama tentera-tentera Islam hingga gugur syahid di tembok Kota Konstantinopel.

Penuntut Ilmu Yang Bermain-main
Syukur Alhamdulillah. Kali ini alasannya 'agak' munasabah kerana bukan lagi disebabkan isu-isu mentah seperti malas, berfoya-foya, gaming dan lain-lain.
Kali ini ia beralasan untuk mengenepikan dakwah ‘sebentar’ kerana mahu fokus pada pengajiannya ataupun fokus pada penyucian jiwanya.

Yang medic mungkin beralasan sibuk dengan lecture notenya, yang syariah sibuk dengan talaqqinya. Yang sibuk dengan jiwanya berjam-jam iktikaf di Masjid.
Lalu siapa lagi yang mahu sibuk dengan perjuangan? Siapa lagi yang mahu sibuk dengan menyampaikan islam kepada teman-teman? Siapa lagi mahu sibuk mendidik adik-adik?

Tidakkah kita terkesan dengan kisah Abdullah ibnu Al-Mubarak ?
Beliau berjaya dalam akademiknya, juga bersungguh dalam memperjuangkan islam.
Beliau merupakan ahli hadith yang thiqah lagi masyhur. Terbukti kehebatannya apabila dilihat banyak hadith riwayat beliau termaktub dalam Sahih Al-Bukhari & Muslim dan kitab-kitab sunan serta musnad. Malah beliau juga merupakan seorang pakar Fiqh yang bijaksana. Tidak lupa juga mempunyai harta kekayaan yang banyak dan dibelanjakan untuk membiayai pengajian pelajar-pelajar dan majlis ilmu di semua ibu negara Islam.

Dalam masa yang sama, sepanjang hidupnya beliau sentiasa sibuk dengan perjuangan berjihad di Jalan Allah. Saban tahun beliau berjihad di Rom sehinggakan beliau mempunyai tempat tinggal di Selatan Turki.
Beliau dengan berani menegur sahabatnya Al-Fudhail bin Iyadh yang juga merupakan seorang Ahli Hadith yang masyhur  dan thiqah kerana meninggalkan Jihad untuk beruzlah di Makkah.

Dengan beraninya beliau menyifatkan sahabatnya itu sebagai “Ahli Ibadat yang bermain-main !”. Ibnu Mubarak sama sekali tidak memandang keistimewaan Al-Fudhail sebagai Ahli Ibadat dan zuhud itu sebagai alasan untuk tidak berjihad.

Dengan sifat inilah Ibnu Mubarak diangkat sebagai pemimpin ahli hadith pada zaman itu. Bukan dengan sifat mementingkan diri sendiri. Bukan hanya syok sendiri fokus pada ilmu dan pembinaan diri semata.

Inginkah kita digelar sebagai ahli akademik atau ilmuwan yang bermain-main?

Ganjaran Hebat Menanti 
“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?”

“(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,”

“Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.”
(As-Soff : 10-12)

Wednesday, 4 January 2012

Menghargai Nikmat

Alhamdulillah, hingga kini At-Tawwab memberi peluang kehidupan untuk terus bertaubat. Malam hari bermimpi menghadapi mati, sangat menginsafkan. Memang waktu itu terasa sungguh sunguh sungguh menyesal kerana tidak sempat beramal sebanyaknya di samping segunung dosa yang tak sempat meminta ampunan dari-Nya.

Alhamdulillah kini sudah berada di fasa akhir semester satu tahun 2. Sudah 1 kertas final exam dilalui, kini berbaki 5 lagi yang perlu ditempuhi. Bila saya renungi semula subjek-subjek yang saya ambil sepanjang pengajian di sini, semuanya sesuai dengan situasi dan keperluan semasa. Terasa sangat bersyukur kerana Al-'Alim Al-Hakim telah menyusunnya dengan baik sekali walaupun memang luar perancangan saya.

Contohnya, pada tahun 1 yang lalu, saya terambil subjek Fiqh Jihad bersama doktor yang istiqamah dengan semangat jihadnya. Ia seiring dengan berlakunya peristiwa kebangkitan Arab di rantau ini. Banyak isu dapat difahami dengan jelas bila sudah diterangkan di dalam kuliah dari segi Fiqh-fiqhnya ataupun siyasah syar'iyyah.

Begitu juga dengan semester ini, Subjek Aqidah dan Fiqh Uqubat, keduanya seiring dengan isu panas yang melanda malaysia berkaitan aqidah umat islam dan juga Isu hudud yang sibuk dipolitikkan yang dibangkitkan semula pada akhir tahun 2011.
Banyak persoalan tentang hudud terjawab bila pensyarah menjelaskannya, lebih-lebih lagi beliau sendiri mengikuti juga perkembangan isu hudud di Malaysia.

Wallah A'lam.

Insya Allah, kali ini, tak banyak yang ingin dicoretkan. Hanya introspeksi diri yang sering leka dengan dunia.


+ + +


Cukup lihat pada diri,
Ketika nyenyak melabuh mimpi, adakah kita meminta agar jantung terus berfungsi?
Darah yang mengalir, adakah kita sentiasa berdoa agar terus mengalir ke seluruh badan?
Tulang yang tersusun rapi, adakah kita yang mengarahkan agar ia tumbuh membesar lalu berhenti membesar di sekian-sekian umur?

Begitu juga dengan anggota yang lain. Bukankah ArRahman telah menyempurna dan membolehkan ia berfungsi sebaiknya meskipun kita lupa untuk berdoa ataupun lebih dahsyat lagi, tidak pernah meminta sedemikian. Lihatlah, hingga kini Allah membiarkan kita hidup dengan penuh nikmat yang sempurna walau tak pernah kita perintahkan sedemikian.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" 
( ArRahman : 13)

+ + +

Apabila kita ketahui bahawa Allah swt mengharamkan syurga bagi mereka yang kufur, maka dari situ kita dapat fahami bahawa sebesar-besar nikmat adalah nikmat Islam.

Ya, Islam lah nikmat yang paling agung.  Perhatikan hadith Ar-Rasul saw :
 "من لقي الله لا يشرك به شيئاً دخل الجنة".
Barangsiapa yang menghadap Allah (mati) dalam keadaan tidak menyekutukanNya, nescaya akan masuk ke syurga.
Dengan tidak mensyirikkan Allah (Islam), Syurga tempat kita kembali.

Lihatlah juga Hadith Nabi saw ini : "من يرد الله به خيرًا يفقهه في الدين". Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, Allah akan memberikannya kefahaman terhadap Islam.

+ + +

Entahlah, mungkin ia sudah tepu dalam diri kita sejak lahir sehinggakan kita tidak menghargainya.

Jika para doktor ataupun osteopathist bisa memulihkan tulang yang patah, sedarilah Al-Jabbar pula bisa memulihkan hati yang seringkali patah tatkala dilanda pelbagai ujian.

Bahkan hakikatnya para doktor hanya menempatkan semula tulang di tempat asalnya lalu membalutinya dengan bahan-bahan yang tidak saya ketahui namanya. Lalu siapa lagi yang menyempurnakan pertumbuhan tulang tersebut kalau bukan Al-Jabbar. Maka sedarilah bahawa Dia lah satu-satunya yang bisa memulihkan segalanya, yang zahir mahupun batin.
Sedarilah bahawa Al-Wahhab telah menganugerahkan nikmat teragung ini pada kita, meskipun kita tak pernah mengharapkan sedemikian ketika lahir.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" 
( ArRahman : 13)





"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan 
(dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya." (Ad-Dhuhaa : 11)

*kredit buat akh hilmi atas gambar suasana senja di Hira' yang penuh dengan penghayatan~

  © Blogger template 'Portrait' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP