Sunday, 23 August 2009

Saudara, kita amat beruntung!

" khinzir lebih aku sayangi daripada Umair bin Wahb!! "
-Saidina Umar Al-Khattab-

Umair b. Wahb merupakan antara kepala-kepala penentang hebat Islam.
Memang sangat dalam kebencian Umar r.a terhadap Umair sehinggakan beliau berani mengatakan sedemikian rupa.

Namun pada suatu ketika, tatkala Umair mendengar kata-kata yang penuh manis daripada Rasulullah saw, beliau lantas memeluk Islam.(cerita diringkaskan sangat-sangat,maaf ya!)


" Umair lebih aku sayangi daripada anak aku sendiri !"


Nah,
Inilah kata-kata Umar Al-Khattab r.a selepas keislaman Umair bin Wahb.
Subhaanallah..


+++++++++++++++++++

Bismillahirahmanirrahim..
Bismika Ya Rahman Ya Rahim Ahya. Dengan Nama Allah swt Ar-Rahman Ar-Rahim, saya hidup.
Dan dengan nama Allah lah saya menulis.


Sungguh, Allah lah yang meniupkan Roh-Nya ke dalam diri saya dan juga saudara semua. Allah lah yang sebenarnya menanamkan seluruh sifat-sifat yang mulia ke dalam hati kita.
Dialah yang menanamkan sifat Adil, sifat sabar, sifat tenang, sejahtera dan sebagainya yang tak terbilang di lubuk hati kita.


Kita gembira menikmati kesejahteraan dan mahukannya berkekalan, hakikatnya kita sedang mencari dan mendekati Yang Maha Sejahtera, As-Salam..
Kita sibuk memperjuangkan keadilan dimana saja, sekecil urusan sekolah mahupun sebesar hal ehwal dunia, hakikatnya kita sedang mendekati Yang Maha Adil, Al-Adl..
Setiap hari kita bangun pagi, bertungkus lumus persiapkan diri menuntut ilmu di sekolah mahupun Universiti. Hakikatnya bukan itu yang dicari. Yang dicari adalah Al-'Alim, Yang Maha Mengetahui..
Kita suka melihat sahabat-sahabat kita yang mulia. Dan ternyata semua manusia cintakan kemuliaan. Itulah Dia Al-Karim Yang Maha Mulia yang manusia tercari-cari selama ini.

Maka sesungguhnya apa yang kita cari selama ini adalah Allah S.W.T. Inilah Visi utama hidup kita.


+++++++++++++++++++

Alhamdulillah.
Kita sangat beruntung kerana sekali lagi dapat merasai nikmat Bulan Ramadhan yang teramat mulia
Sengaja saya kongsikan kisah Umar r.a dan Umair r.a tadi untuk memberi dorongan kepada kita semua khususnya saya sendiri untuk lebih semangat bekerja memperbaiki diri dan orang lain. Memang rugilah kalau bulan ramadhan kali ini berlalu macam tahun lepas, tak ada peningkatan.

*****
Melihat diri yang asyik bergelumang dengan perkara lagha dan dosa, selalu saja kita terus down kerana merasakan sudah tiada harapan untuk menjadi insan hebat seperti para sahabat, mahupun tokoh-tokoh pejuang Islam yang lain seperti Hasan Al-Banna, Hasan Hudhaibi dan Al-Qardhowi. Tak pun menjadi seperti sahabat terdekat kita yang mantap lagi dihormati.

Kita lupa ada sahabat Rasulullah saw jauh lebih dahsyat daripada kita sebelum masuk Islam, tetapi selepas keislaman mereka, title "RADHIALLAHU 'ANHU" mereka dapat !
Kita tersilau dengan dosa-dosa dan kesilapan yang kita lakukan sampaikan tak nampak ruang penyelesaian. di manakah Al-'Aziz Al-Fattah Al-'Afuw waktu itu??

*****
Melihat masyarakat ataupun sahabat yang masih tak berubah setelah lama dinasihat, kita asyik melenting, marah mahupun berputus asa.
Kita terlupa yang Yang Maha Memberi Hidayah itu Adalah Allah, Al-Hadiy. Bukannya kita!

~~~~~~~~~
Alhamdulillah.
Kita amat beruntung kerana diberi peluang lagi hidup di Bulan yang sungguh mulia ini untuk terus memperbaiki diri dan juga orang lain sementara ramai lagi yang tak sempat merasai Ramadhan kali ini seperti saudara kita Al-munsyid, Ustaz Asri.(sedekahkan al-fatihah untuknya, sudah?)

RAMADHAN KAREEM !

Selamat beramal sepuas-puasnya!


*p/s : banyak lagi pengajaran yang kita boleh lombong dari kisah Umar & Umair r.a tu..:)

dan yang terakhir..


ALLAH :
Dari-Nya semua kasih sayang,
perhatian, pertolongan, bantuan,
cinta, dan kebaikan

"Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu,
maka dari Allah lah (datangnya)"
(An-Nahl : 53)

*kredit kepada http://kembarahawa.blogspot.com (ibu saudara saya) atas video yang mencairkan hati~

Thursday, 6 August 2009

" Haza Min Fadhli Rabbi "

Assalamualaikum..


Entry kali ini ringkas saja. Ringkas-ringkas tapi saya buat penuh perasaan. :D
Penuh perasaan kerana saya tujukan Khas buat 2 orang sahabat akrab saya dan juga merupakan senior saya yang cukup banyak mendidik saya terutamanya ketika saya masih mentah² dulu di sekolah Hira'.

1) Akh Salman Al-Farisi.
Alhamdulillah beliau sudah selamat diijabkabulkan dengan Dr. Fatimah AzZahra', dua minggu lepas. maaf sangat² kerana tak dapat hadir ke Majlis Perkahwinan..

Barakalllah lakuma Wa baaraka 'alaikuma wa jama'a bainakuma fi khair
wa razaquma zurriyyatan tayyibah tanfa fil-Islam !

Bila saya hubungi beliau selepas walimah, beliau kata : "Cita² kena besar"

2) Akh Syed Ahmad Isra'.
Tahniah kerana mendapat no.1 STAM 2008 peringkat kebangsaan.

"Syed Ahmad Israa' Syed Ibrahim, 21, dari Sekolah Menengah Al-Hidayah, Ipoh, Perak adalah pemenang dalam Anugerah Utama STAM 2008."
Sumber -- BERNAMA

Bila saya hubunginya selepas mendapat berita ini, beliau kata : "Ni Cemerlang atas kertas je"
Tahniah sekali lagi atas keputusan yang cukup mencabar diri saya yang sudah ketinggalan banyak silibus² STAM, sedangkan Minggu hadapan sudahpun mula peperiksaan.. :)

*Keyakinan saya semakin bertambah bahawa betapa pentingnya perkongsian pengalaman orang yg berpengalaman dan betapa pentingnya Qudwah Hasanah..

Sunday, 2 August 2009

Saudara, Matlamat kena Jelas !

Esok pagi, sekolah lama saya akan mengadakan majlis peralihan jawatan. Detik yang ditunggu-tunggu penuh debaran sebahagian pelajar.

Disebabkan dengan itu, terdetik pula hati saya untuk kongsikan sedikit di blog ini.

Kalau ikutkan hati, ingin sangat saya kongsikan segalanya, tapi tak berkesempatan atas urusan yang jauh lebih penting. Ternyata saya sangat lemah menguruskan masa sebaiknya.

~~~~~~~~~

Tahun 2003 sehinggalah tahun 2008. Tempoh 6 tahun berharga yang amat susah dilupakan,
dimana saya mulai matang, mentarbiyyah diri, mengenal dan berjinak-jinak dengan amal islami di sebuah sekolah yang saya rasakan cukup istimewa.
Istimawanya bukan calang-calang. Kalau tak istimewa tiadalah saya kerap terkenangkannya dan sanggup menulis tentangnya di blog ini.

Tak kisah lah saudara nak kata apa. Semua orang punya sense of belonging. Jadi tak salah kalau seseorang itu terlalu rindukan dan memuji tempat yang pernah didudukinya, kan?
Saudara pun pasti pernah memuji sekolah ataupun kampus saudara yang tersayang. Itu normal.

(Blok pertama yang saya duduki.)
~Hira' dalam kenangan~
++++++++++++++++++

“ hira’ adalah simulasi dunia islam sekarang”
Lebih kurang beginilah kata murabbi saya tatkala berborak dengannya malam-malam.
Ketika itu saya sudah masuk tingkatan 4. Mungkin beliau sengaja mengatakan begitu untuk memberi dorongan pada penulis supaya lebih semangat berkerja di sekolah. Kerja dalam erti kata berdakwah.
Sampai sekarang saya masih ingat kata-katanya itu. Kerana ada benar juga kalau diperhatikan sedalamnya.

~~~~~~~~~~~

Di sekolah, ada BKP, ada BADAR,ada KRS, ada persatuan bola, Kelab Nasyid dan macam-macam lagi.(seperti sekolah saudara juga, tapi sekolah saudara lagi hebat-hebat). Nak dibilang satu persatu tak larat pula.
Dengan Struktur Organisasinya, dengan Misi dan visinya, dengan Syiar dan fasa-fasanya, memang menggerunkan. Semuanya tampak gah lagi gagah.

Punyalah cantik sistem per-fail-annya, punyalah berlambak kertas laporan, kertas kerja mahupun surat-surat rasmi. Kadang-kadang nampak macam berapi-api pula. Sebab hanya sekadar hitam putih.
Memang saya akui, selalu saja hanya sekadar semangat berhitam putih. Mesyuarat bukan main lama. tapi payah nak diterjemahkan pada Amal.

Nah, Ini baru satu hal.

Yang semangat berjawatan tak kurang hebat juga ceritanya.
Yang BKP, ada yang semangat membanteras kecurian, semangat cakap isu kebersihan, marah orang lewat, denda saja kerja mereka. Yang KRS, ada yang terjerit-jerit marah pelajar tak berdisplin, rendam orang dalam kolah( saya juga pernah direndam atas sebab yang tak relevan,mungkin :), yang BADAR pula tak habis-habis dengan usrahnya. Semua program ikut usrah. Usrah usrah usrah. Entah faham ke tidak, itu tanya lah mereka.
Saya tak katakan semua ini tak bagus. Ia sangat bagus kalau yang bekerja faham apa yang dikerjakan dan jelas matlamatnya.

Yang kurang bagusnya apabila saya saksikan terdapat sesetengah orang yang hanya semangat menaikkan nama organisasinya. Semangat mengharumkan nama persatuannya. Biar Nampak mantap di mata sekolah mahupun pelajar. Biar disebut-sebut dalam perhimpunan. Biar dipuji-puji oleh sekolah dan pelajar.
Lebih malang lagi apabila timbul cemburu, berselisih faham dan dengki kerana hal remeh. Rasa dengki kalau lihat persatuan lain membuat program dan aktiviti yang besar.

Inilah sedikit sebanyak drama ‘para pejuang’ yang saya tonton di sekolah bertuah ini.
Bila dapat jawatan, mulalah berubah. Dulu-dulu aktif berdakwah. Aktif follow up anak buah. Aktif membina peribadi seorang demi seorang dalam usrah. Namun, bila sudah berjawatan rasmi, mulalah tinggal kerja-kerja yang dipandang sebelah mata sekolah itu. Padahal kerja yang dipandang sebelah mata itulah yang sangat penting !
Baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing punyai ragam tersendiri.

Sekarang, saya tidak hairan menyaksikan mereka yang ‘semangat-semangat’ di sekolah dulu sudah tak sama seperti dulu. Entah ke mana hilangnya syiar-syiar, visi, misi dan prinsip yang mereka perjuangkan dulu.

Ya, saya langsung tidak hairan dan tidak pelik. Kerana sejarah telah banyak membuktikan, Orang yang tak jelas matlamatnya, akhirnya akan letih ‘bekerja’ dan meng-control dirinya lalu terjunam jatuh. Orang yang tak ikhlas bekerja, akan penat dan jatuh juga. Maka jadilah mereka orang biasa yang kerjanya siang malam dengan rutin yang biasa. Sama-sama kita berdoa semoga Allah memberi hidayah kepada mereka yang gugur ini. Termasuk kita, mungkin.

"Katakanlah: Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara) dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan solat dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana Dia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya)"
(Al-A'raf : 29)


*Kredit kepada http://albumhira.blogspot.com/ atas gambar yang dalam maknanya.

Saturday, 25 July 2009

Bahasa juga penting.

Sunan Giri, one of the Wali songo
sent by Khilafah uthmaniyyah,Turkey to Nusantara


Assalamualaikum.
Semenjak dua menjak ini, penulis semakin mengambil berat akan ilmu bahasa.
Mungkin sudah terpengaruh dengan kitab Adab (sejarah kesusasteraan arab) yang ditelaah baru-baru ini yang amat tinggi bahasanya. Dan dengan tinggi bahasanya itu, sudah tentu setiap perkataan yang ditulis sangat luas maknanya walaupun dengan perkataan ataupun ayat yang ringkas.
Ternyata ilmu sastera ataupun ilmu bahasa ini telah memberi stamina dakwah pada ramai ulama' haraki masa kini.

Jadi, dengan pengambilan berat penulis akan ilmu bahasa ini, mulai post selepas ini, penulis akan menukar kata ganti nama, daripada 'penulis' kepada 'saya'.
Penulis dapati kata ganti nama 'saya' lebih mendalam maknanya dan lebih sesuai untuk ditulis dalam blog-blog peribadi kerana lebih mudah bagi manusia untuk menjiwai.

Wallahu A'lam.
Terima kasih saya ucapkan atas tunjuk ajar yang diberikan saudara semua.

*p/s: kadang-kadang kita sibuk mengkaji dan mendengar sejarah negara-negara luar tertama palestin. Tapi pernah ke kita mengkaji sejarah sebenar tanah air kita? boleh harap ke buku silibus PMR dan SPM? hanya bertanya..

Tuesday, 7 July 2009

Dia kekasihku, tiada tolok bandingnya !

Selalu saja penulis lupa diri,sedang Dialah Yang Maha Mengetahui, Tiada lain yang melebihi.
Selalu saja penulis ego. Padahal, ilmu yang dimiliki cuma beberapa peratus saja dari setitik air di lautan, sedang ilmuNya jauh lebih luas terbentang..

+++++++++++++++++

Sedikit perkongsian


Saudara,
Melihat ciptaan-ciptaan Al-Khaliq, buat penulis sangat-sangat teruja.

Kenapa?Penulis kongsikan satu contoh mudah :

Cuba kita kenang-kenang sikit sejarah penciptaan dan evolusi telefon bimbit.
Awal-awal dulu, saiznya bukan main hebat, mengalahkan saiz botol air.
Tapi nak kisah apa waktu tu, seakan-akan itulah ciptaan yang terhebat dan tercantik dalam sejarah. Yang memilikinya tumpang rasa bangga. Yalah, Orang-orang kaya saja mampu membeli. Yang menciptanya apatah lagi, berbunga-bunga hati melihat ciptaan sendiri yang 'cantik' dan 'canggih' menjadi tumpuan.

Nah,
Selang beberapa tahun saja, banyak ciptaan baru telefon bimbit dengan pelbagai gaya baru mulai membiak seantero dunia. Memang ramai yang sudah memilikinya waktu itu. Hatta kanak-kanak sekolah rendah juga mudah mendapatkannya. Sampai tak perasan kepupusan sang 'botol air' yang dahulunya menjadi kebanggaan, seolah-olah itulah ciptaan terhebat.

Masuk abad ke-21, lagilah. Beribu-ribu jenis dan gaya telefon bimbit dijual di pasaran. Nak memilih pun mahu berjam-jam lamanya. Habis satu lowyat ditawafnya.
Lihat saja pasaraya Lowyat, ada-ada saja keluaran terbaru setiap minggu.
Begitu mudah manusia menjadi jemu dengan ciptaan-ciptaan lalu sedang baru seminggu masa berlalu.
Remaja sekarang guna 3310 pun sudah terasa malu.(entah-entah saudarapun malu!) Isk, Itukah melayu?


Begitu juga dengan ciptaan-ciptaan manusia yang lain.
Baju, komputer, kereta, rumah..
Tahun lepas kita rasakan itulah ciptaan tercantik dan terbaik.
tapi rupanya tahun ini ada lagi ciptaan yang lebih cantik dan jauh lebih baik.


Dan begitu juga dengan tahun depan, kita akan rasakan buruknya design baju yang kita pakai hari ini nak dibandingkan dengan design baju kita waktu itu.
Begitu cepat ciptaan-ciptaan manusia menjadi out of date, kan?

Itulah dia. Memang penulis teruja melihat ciptaan-ciptaan manusia semuanya.

Namun, penulis menjadi lebih teruja berganda-ganda tak terkira, apabila melihatkan ciptaan ini.. ciptaan yang tak pernah out of date!

Lihatlah.


Suasana senja.Subhanallah!


Bayangkanlah,
Ketika penulis masih tadika, betapa taajubnya melihatkan suasana senja sebegini. Cantik, Nyaman, dan menenangkan..
Dan ketika penulis sekolah rendah, bertambah taajubnya melihat suasana ini.
Sampai pula umur sekolah menengah, berganda-ganda taajub dan tenang hati melihat suasana ini.
Dan sekarang, sungguh, penulis masih lagi tidak bosan dan jemu melihatkan suasana ini.
Padahal, suasana ataupun ciptaan ini sudah pun tercipta sekian lama sebelum penulis lahir. Bahkan sebelum penciptaan manusia lagi!

Subhanallah. Allahu Akbar.
Dialah Al-'Alim yang ilmu pengetahuannya tak terbatas.
Dialah Al-Khaliq. Dialah Al-Bari'. Dialah Al-Mushowwir!
Dialah Allah S.W.T yang telah menciptakan segalanya yang tiada tolok bandingnya.

"Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Dia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dialah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui" (Yassin :81)

Siapa berani lawan?

Friday, 26 June 2009

Berita Gembira..

Bismika ya Rahman nahya. Bismika ya Qahhar nahya. Bismika ya 'Afuw nahya.

"..apa yang di sisi Allah itulah yang lebih baik dan kekal.."

Sudah lama tidak mengembara di sini, terasa kekok pula nak menulis. Lagi-lagi dengan menggunakan bahasa ibunda. Saudara semua sudahpun tahu, setiap hari penulis didedahkan dengan tulisan-tulisan Arab dan gaya bahasanya yang tersendiri yang cukup istimewa. Maka Penulis akui gaya bahasa ibunda penulis sedikit sebanyak sudah luntur. Maaflah ya.

*****
Bismika ya Rahim nahya..

Tiada apa yang berat-berat nak dikongsikan di sini. Mungkin sekadar menyampaikan berita gembira terutamanya kepada mama dan abah penulis, kaum keluarga dan sahabat-sahabat penulis yang dirindui.
Bukan suka-suka, tapi ada matlamatnya. Inilah Islam. Sangat mementingkan hubungan silaturrahim.
Insya Allah dengan adanya perkongsian sebegini, ikatan persaudaraan kita menjadi lebih baik, kekal selamanya.

++++++++++

Alhamdulillah, sesi pembelajaran penulis ketika ini berjalan dengan baik. Walaupun masih merangkak-rangkak, masih tak terkejar silibus yang banyak tertinggal, namun penulis rasa semakin lama semakin seronok belajar. Sebab apa? mungkin sama sahaja dengan sebab saudara bila sudah mulai mendalami sesuatu ilmu itu.
Penulis akhirnya akur pada kelemahan diri dan rasa rendah diri pada Al-'Alim Yang Maha Mengetahui kerana dapati betapa ceteknya ilmu agama penulis yang hakikatnya merupakan ilmu agama sendiri.
Mengenai subjek apa yang menjadi kegemaran penulis, subjek faraid barangkali. Kebetulan memang penulis suka kira-kira..

Suka sekali penulis kongsikan satu perkara yang cukup mencabar buat penuntut-penuntut ilmu di sini. Apalagi kalau bukan gejala tidur. Memang ketara. Tak kisahlah dimana-manapun, semuanya 'okey' je buat tidur.

Bak kata orang dulu-dulu, S.T.A.M ni Suka Tidur Atas Meja(STAM). Macam dah kena sumpah pula. Na'uzubillah min zalik. Awal-awal dulu tak sangka juga ada sahabat yang hanya sedar ketika memberi salam guru masuk dan salam keluar. Meja yang keras menjadi cukup 'empuk' dan selesa waktu itu. Ditambah lagi dengan angin-angin gunung sepoi-sepoi bahasa, memang 'syahid' lah bagi mereka yang tak dapat melawan..

Sengaja penulis kongsikan hal ini, mana tahu generasi hadapan akan lebih ber'jaga-jaga' !

Punyalah ketara gejala ini sampaikan wujud satu kisah yang penulis takkan lupakan :-

Bila penulis beberapa kali mengejut seorang sahabat yang sudah lama tidur,
Alhamdulillah akhirnya beliau bangun.
tatkala itu tiba-tiba beliau bersuara. Suara yang memeranjatkan penulis.

"Mad, nta pernah ada awek tak??" tanya beliau kepada penulis.

sambungnya lagi..

"Ana tak pernah. tapi rapat-rapat adalah, dulu-dulu. Ana suka yang chinese look"

:) tergelak+terkejut penulis mendengarkan. Habis terbongkar rahsianya. Sedangkan sebelum ini tak pernah penulis berborak ataupun berbincang dengannya akan hal-hal sebegini.. Mana tidaknya, beliau sangat aktif berbincang hal-hal dakwah.

Ada pengajaran?
Saudara kan bijak. Mesti dapat tangkap berjuta pengajaran.

Macam manapun, Doakanlah penulis dan sahabat-sahabat yang lain mendapat mumtaz dalam peperiksaan yang bakal berlangsung sebentar saja lagi.

***********
Sebelum terlupa,
Tahniah kepada semua sahabat-sahabat penulis yang berjaya melanjutkan pelajaran masing-masing di merata tempat ; USIM, UIA( selangor), KMJ, DQ, Intec,Taylor,Monash Uni, UPM, UiTM, di Shah alam, kelantan, pahang, Perak, juga sahabat yang telah terbang lebih awal ke seberang sana. tak lupa juga kepada satu-satunya sahabat penulis yg sudah berada di UTP, 1 jam dari sini (ipoh).

Moga terus istiqamah dan dapat bersama-sama mengubah dunia, khususnya Malaysia suatu hari nanti. Tak lama lagi !


Syeikh Dr. Fathi Yakan dalam kenangan.
Beliau pergi, kami pengganti !

Wallahu A'lam
Wassalamualaikum W.B.T
Salam sejahtera dari penulis dan sahabat-sahabat STAM
Kepada anda..

Wednesday, 3 June 2009

Rahmah tatkala Walimah.

Kalau tahun lalu, bermula satu.
Kemudian pada mei tanggal satu hari tu bertambah satu.
Kini, bertambah lagi satu ! itulah dia sang menantu. bertalu-talu bertambah dengan laju.
Syukur pada Yang Maha Penentu Sesuatu. Dialah Al-Qadir, Allah S.W.T.

Dengan rasminya,
kakak penulis selamat 'dilepaskan' daripada Abah dan Mama penulis kepada Zayd Salahuddin b. Adam. pada 30 mei 2009 sekitar jam 5.30pm.

Barakalllah lakuma Wa baaraka 'alaikuma wa jama'a bainakuma fi khair
wa razaquma zurriyyatan tayyibah tanfa fil-Islam !

Segala pujia HANYA bagi Allah, Syukur pada Al-Jami', yang telah menghimpunkan keluarga besar penulis. Buat pertama kalinya, hampir kesemua datang berkumpul di johor bahru ini. Kaum kerabat dari indonesia turut hadir. Ada dari batam, sulawesi, jakarta, makasar, dan macam-macam.
Ramai tak terbilang sampai penulis sendiri tak mengenali sesetgh daripada mereka. Padahal sepupu dekat saja. Astaghfirullah..

khusus kepada kerabat yang tak dapat hadir, yang berada di mesir, holland,australia, indonesia dll, penulis sajikan gambar pengubat rindu sekitar majlis perkahwinan gabungan(dua beradik Suhaib dan Uswah sekaligus)..





sebelum akad.(zayd hanya bersenyum lebar meng'cover' kecuakannnya)mama sedih melepaskan anaknya. Hanaa' masih tak mengerti :I






ibu saudara penulis a.k.a Mak Andam pengantin.
(kelihatan laptop terbuka ber'webcam2' bersama kerabat dari mesir melihat upacara akad)

(makcik Hajrah, kanan gambar dan kak rahimah, depan)
kerabat dari Indonesia.Maaf hanya dua org yang penulis igt namanya..

Pada 1990,abah berada di UK, maka Suami mck hajrah,pck Yafie' yang telah meng-azankan penulis ketika lahir. Seingat penulis, baru sekali berjumpa dengannya.
Beliau telah meninggal dunia..Al-Fatihah...


Cucu mck hajrah (Alisyah) dipangkuan ibunya, Kak Diyyen.

Sesi Ta'aruf setelah usai walimah. (di sini baru lebih mengenali keluarga sendiri)

Nenek tgh syok menceritakan sejarah panjang keluarga. Dari Zaman Komunis hinggalah skrg

Uswah bersama keluarga barunya.


Sepupu penulis. bukan senang jumpa mereka lagi.


Mck Sempo dan mck Kamaliah(Guru fizik penulis)

*teringat saat menuntut ilmu fizik dgn mck kamaliah. Beliau sangat terkejut kerana dapati penulis mcm tak tahu apa2 ttg fizik sedangkan SPM tinggal lg seminggu dua. Berkat Usaha gigih beliau. Alhamdulillah Allah berikan Ganjaran lumayan. terima kasih ya..!


Uwa&Suhaib dan Zayd&Uswah


Suhaib excited jumpa kawan2 lama..

"Allahu Ghayatuna !"


"nanti suhaib belikan rumah banglo ya.."


Suhaib & Mariam Azwa
Moga bahagia selamanya..!







Akhir sekali, buat saudara yang tak sempat melihat montaj majlis perkahwinan ini,
Penulis sajikan.. moga terubat rindu. moga bertambah iman..~(boleh kaitkan?)


Wallahu A'lam.
Wassalamualaikum..

Friday, 22 May 2009

Antara minat dan perlu, dia sedari...


Aduh,
Dilemma. Dilemma bukan kepalang. Habis otak diperah malam dan siang. Semacam parah dihiris parang.
Yalah, bukan senang nak memilih. Terlalu besar beza antara keduanya. Medic, dan syariah. Memang amat berbeza!

Mujur dia punyai Kekasih tercinta tempat mengadu dan istikharah.
Maka ketika itulah dia semakin hampir dengan Al-Qadir Yang Maha Menentukan Sesuatu.
Cis, bila senang dilupai. Sudah susah, baru kembali ! Hinanya dia.. Na'uzubillah min zalik..

Entah macam mana bidang yang tak glamour juga yang dipilih. Sedangkan sejak kecil teringin benar menjadi doktor Al-Hafiz. Yalah, siapa tak suka dapat title DOKTOR. Siap Al-Hafiz lagi ! Tak mustahil lah akan dipandang tinggi.


**************************
Saudara,
"Bacalah Dengan Nama Tuhanmu Yang Maha Menciptakan"


Dia sedar,
bidang agama bukanlah bidang professional pada pandangan orang kebanyakan.
Oh, bukan saja tidak professional, malah menjadi sinar harapan bagi pelajar-pelajar yang tidak seberapa SPMnya. Menjadi pilihan terakhir bagi lepasan SPM yang tidak berjaya mendapatkan tempat di mana-mana IPT.
Takpun hanya menjadi tempat persinggahan para lepasan SPM untuk mengisi masa lapang pasca SPM. Bila sudah mendapat SPM cemerlang, keluarlah mereka. Macam hina kan?!

Walau-apapun, biarlah dipandang hina atau macam mana sekalipun,
Dia tetap meyakini hanya Allah yang Maha Berkuasa Menghina dan Memuliakan Sesuatu.Dialah Al-Mu'iz Al-Mudzil !

Dia sedar,
Di Malaysia ini, majoriti para lepasan SPM yang cemerlang hanya berminat mengambil bidang yang tampak gah-gah belaka : Medic, Law, dan macam-macamlah. Siapalah bidang agama untuk mereka. Kata orang kebanyakan, rugilah kalau budak-budak cream SPM sambung belajar khusus bidang agama.

Sebenarnya, memang sejak kecil lagi dia ingin benar menjadi doktor. Memang dia sangat sangat sangat mencintai ilmu bio kimia fizik itu yang sememangnya menambahkan imannya dan semakin merapatkannya kepada Al-Khaliq Al-Bari' Al-Mushowwir.

Namun, dia rasakan, betapa besar ruginya kalau dia tidak menguasai dan mendalami ilmu agama. Betapa rugi hidupnya jika tidak dapat menguasai Bahasa Syurga sekaligus Faqih agama yang suci ini.

Biarlah orang kata dia rugi kerana mensia-siakan result SPMnya. Tetapi yang lebih penting dia sedikitpun tak merasakan kerugian selagi mana dia berpegang pada prinsip " Bismikallahumma Ahya!" . Ya, setiap detik, dia cuba sedaya boleh hidup dengan nama Allah, An-Nafi' Yang Maha Memberi Manfaat. Mana mungkin An-Nafi' memungkiri Janjinya..

Dia sedar,
Orang kebanyakan memandang rendah bidang agama. Seakan-akan ilmunya boleh dipelajari di tepi jalan sambil menunggu bas.

Dia sedar,
Bidang agama tidaklah seperti medic atau lain-lain bidang yang professional belaka yang punyai eksperimen berbagai, masuk lab, berlambak-lambak assignment, ada kajian-kajian menarik luar kuliah, dan sebagainya.
Siapalah bidang agama nak dibandingkan dengan semua itu. Takat kuliah 5 jam sehari sudahlah. Pejam celik pejam celik, belek-belek buku, dah dapat Sijil Ijazah ! Mudahkan??

Namun,
Dia tetap sangat memandang tinggi ilmu Agama. Dan keinginannya untuk mendalami dan menguasai ilmu agama ( lebih khusus : Syariah Islamiyyah) sungguh meluap-luap !
Dia merasakan bukan mudah yang disangka untuk menguasai ilmu ini. Ia perlukan takhassus, perlukan disiplin ketat, talqqi khusus dengan para ulama' hadith, usul fiqh, dan sebagainya. Perlukan kajian yang mendalam di dalam dan di luar kuliah juga. Perlukan penjagaan dari pelbagai sudut. Seperti medic jugalah. Cuma mungkin sistem pembelajaran bidang agama tidak secanggih bidang-bidang yang lain. Sempoi-sempoi ala kadar saja. Kasihan.....


Dia dapati bukan senang nak menghafaz kesemua Qaedah-Qaedah Fiqh, Al-Quran,hadith apatah lagi mahu memahaminya sepertimana yang difahami Rasulullah dan generasi-generasi agung terdahulu. Lagi-lagi sumber-sumber ilmu agama : Al-Quran, Hadith, Kitab-kitab ulama' terdahulu adalah berbahasa Arab. Memang penguasaan Bahasa Arab patut mantap. Bukan takat boleh bicara arab, malah lebih. Kena dalami seni-seninya : balaghah, nahu, saraf, a'rudh, dan bermacam-macam.

Memang dia akui,
Memang dia sudah melihat dengan mata kepala sendiri, berbondong-bondong graduan agama yang pulang ke Tanah Air setiap tahun. Bersepah-sepah golongan ini di serata Malaysia.
Dia sendiri sedari betapa bezanya golongan ini berbanding golongan yang professional belaka yang hebat bekerja berjuang berdakwah dalam masyarakat. Sangat kuat pengaruhnya.
Siapalah golongan agama yang kebanyakannnya hanya berfungsi di surau-surau, masjid-masjid, atau di ceruk-ceruk kampung. Tugasnya seperti biasalah, tak lain tak bukan, takat baca tahlil, baca yassin, akad nikah, kuliah-kuliah maghrib.

Mungkin. (bahkan benar?)
dengan salah satu sebab inilah dia berhajat menyambungkan pelajarannya dalam bidang agama.
Pendapatnya, kalaulah hanya golongan yang low class akademiknya, yang asyik fail examnya dan teruk SPM saja yang ambil bidang agama,
Sampai bila nak tunggu Malaysia ini dapat merasai nikmat, rahmat hidup di bawah syariah Islam.
Hatinya sering timbulkan persoalan tanda tidak selesa dengan realiti kini, "Sekarang, negara yang tadbir agama atau agama yang tadbir negara?"

Nah,
Rupanya dia sudah tak selesa tambah bosan!

Dia sudah bosan melihat kelesuan ulama' contemporary dan graduan-graduan agama di Malaysia hari ini. (x bermaksud semua)

Dia sudah bosan melihat graduan-graduan agama (x bermaksud semua) yang hilang kredibilitinya yang kesannya mereka hanya bekerja terima arahan pihak atasan kerja itu kerja ini, lalu di mana natijahnya pada Agama ?

Dia sudah bosan melihat sistem-sistem di kebanyakan pos penting di Malaysia ini tidak ikuti undang-undang syara'. Penasihat syariah hanya tinggal sebagai boneka. Memang bijak pihak 'atasan' mereka mempergunakan mereka. Berjaya mengaburi pandangan masyarakat.

Dia sudah bosan melihat graduan agama yang syok sendiri, pergi ceramah sana sini, bagi kuliah sana sini, dapat jemputan sana sini dapat masuk TV. Memang bagus. Memang dia hormati.
Tapi baginya, agak kasihan, kerana ramai mereka yang solo. Syok sendiri, Tak Haraki. Dapat duit, dapat nama, dapat macam-macam. Untuk agama?

Dia sudah bosan melihatkan kebanyakan graduan agama menimbulkan fitnah terhadap agama.

Ya, dia sudah bosan. Bosan teramat.
Dalam hati, tak guna bosan tanpa amali hanya berdiam diri...



Alahai,, apalah nasib bidang ini, sampai jadi sebegini.
Dalam hati, takkan nak biarkan begini.
Dalam hati, nantikan perubahan suatu hari nanti...




Yang benar,
Dia
-pelajar agama-

Tuesday, 12 May 2009

Buat Abangku yang tersayang !

Bismillah.

*maaf lambat post. konon-konon sibuk periksa.


Alhamdulillah. Segala Pujian HANYA bagi Allah, Semua berjalan lancar.

Selamat Pengantin Baru kepada satu-satunya abang kandung penulis, Suhaib dan Isterinya, kak Maryam Azwa.
Moga berbahagia selalu, di dunia dan di akhirat.


Barakalllah lakuma Wa baaraka 'alaikuma wa jama'a bainakuma fi khair
wa razaquma zurriyyatan tayyibah tanfa fil-Islam !

Friday, 1 May 2009

Aturan Allah, siapa sangka..


Beburung bertebangan berarak berkumpulan kembali ke sarangnya. Melalui kicauan-kicauannya, tampak sungguh bahagia mereka ketika ini . Barangkali lumayan hasil kerjanya hari ini.

Dari suram pagi.Dia kembali, menayangkan diri. Kemudian menerangi bumi. Lantas membenamkan diri. Itulah dia sang mentari.
Waktu ini, dia sudah mula melambai-lambai, tanda amanah sehariannya hampir usai. Memang ia menjalankan tugas tanpa cuai.

Itulah peraturanNya. Ada usaha, Ada hasilnya. Ada Siang, adalah juga malam. Ada Susah, sudah pasti ada Senang selepasnya. Ada lelaki, ada juga perempuan. Wah ! cantik sekali peraturanNya. Memang kemas lagi teratur.

Sungguh, dalam kebanyakan senja, hanya senja ini tiba² membuatkan penulis terimbau kembali kenangan lampau tika kecil² dahulu hinggalah hari ini bersama seorang Insan yang penulis rasakan Ia cukup Istimewa buat penulis. Apalagi beliau merupakan satu-satunya insan yang bergelar abang kandung penulis.

+++++++++++++++++++++++++

Siapa dia? ini orangnya. Suhaib namanya. Satu-satunya abang kandung penulis di dunia ini. Ya, cuma penulis dan dia yang lelaki daripada 'kesebelasan utama'. (hah,cukup untuk membina satu pasukan bola)..







@ M'donald, 1991 (dulu-dulu tidak boikot kan?)


Raya 1993







Alahai rindunya saat kecil-kecil dahulu.
Kini. Semuanya sudah membesar. Hatta rumah pun tidak tertampung keselebelasan utama kami ini.


Subhanallah.
Cuma tinggal beberapa jam lagi, suhaib akan meninggalkan zaman bujangnya. Sekaligus menjejakkan kaki ke alam yang baru.

Harap saudara semua dapat mendoakan keberkatan Rumah Tangga beliau yang akan terbina sebentar saja lagi dan doakan juga kejayaan beliau dan bakal Isteri di Dunia dan Akhirat.

Bersambung.......

  © Blogger template 'Portrait' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP