Saturday, 7 May 2011

Hilang Pertimbangan


Keputusan penerimaan UPU mahupun beberapa interview sudahpun keluar baru-baru ini.
Peperiksaan akhir pula sudah menghampiri. Seperti biasa, waktu-waktu sebeginilah tangan gatal untuk mencoret di sini.

+ + +

Ramai sudah merasai, sistem pendidikan kita banyak dijajah oleh pihak asing, mungkin tidak lagi dirujuk pada sistem pendidikan zaman kegemilangan Islam dahulu.

Saya sendiri merasai bahkan mungkin menjadi 'mangsa' sistem sekarang ini. Yalah, umur hampir masuk 20an baru jelas mahu mendalami bidang tertentu, baru terkapai-kapai mahu memahami nas-nas quran dan hadith mahupun qaedah-qaedah fiqhiah dan sebagainya yang sepatutnya menjadi asas sejak dulu.

sebut tentang pendidikan teringat pula sekolah lama~ :)
*gambar : kelas 5 ibnu Abbas | beberapa hari sebelum SPM.

Saya tertarik dengan cerita pensyarah saya tentang kajian sistem pendidikan pada daulah islamiyyah akan datang (masha Allah, besar betul visinya)
Menurutnya, sepatutnya masuk umur baligh saja, seseorang itu sudah masuk alam universiti dan sekitar umur 18 tahun, sudah graduasi.

+ + +

Lihatlah kita sekarang ini, umur 18 baru mahu masuk universiti, mengkhususkan diri dalam bidang tertentu.

Sedangkan manusia-manusia terdahulu pada umur sebegini sudah menjadi tokoh yang hebat.
Usamah b. Zaid menjadi panglima perang ketika umurnya 17 tahun.
Imam Assyafie mendapat pengiktirafan untuk memberi fatwa ketika umurnya 15 tahun.
Sultan Muhammad Al-Fatih sudah menjadi pakar dalam bidang ketenteraan, sains, matematik serta menguasai 6 bahasa ketika umur 21 tahun.

Kita di malaysia pula?
Umur 18 baru tamat SPM. Sibuk mencari bantuan kewangan untuk belajar. Kalau dapat biasiswa sekian-sekian yang hebat, terima saja. Kalau tidak dapat bidang yang diidamkan kerana masalah kewangan, ambil saja tawaran biasiswa dan bidang yang telah ditawarkan mengikut tahap keputusan SPM.

Seolah-olah, kita dibentuk oleh agenda luar. Bukan dari diri sendiri. Bukan seiring dengan Agenda besar kita sendiri.

+ + +

Haish, kalau sebut masalah sistem-sistem sekarang memang tak ke sudah.

Point saya sebenarnya mudah aja : 
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
(Apa yang tidak sempurna kewajipan itu melainkan dengannya, maka ianya adalah wajib)
-qaedah usuliyyah-

Ya, kita sedari, bahawa mahukan daulah islamiyyah yang mempunyai sistem pendidikan dan segala sistem lain yang bisa kita hidup aman dengannya, memerlukan usaha yang wajib dilakukan untuk mencapainya.

Malangnya dalam masa yang sama, ramai pula yang terleka daripada kewajipan tersebut.
Mereka mencantas-cantas kebaikan, saling jatuh-menjatuhkan golongan kebaikan tertentu.
Ada juga yang sibuk dengan isu khilaf. Menghentam ulama' itu, menghina ulama' ini.
Tak kurang juga yang seronok mengeluarkan statement-statement mantap sedangkan terjun ke dalam medan sebenar pun tidak. Jauh sekali mengesani masyarakat.

Ataupun, mereka yakini inilah usaha yang 'wajib' mereka lakukan untuk mencapai kemenangan hakiki?
Kalau lah berlarutan sebegini, entah bila lah daulah islam hendak berdiri.

kaum keluarga, sahabat-sahabat dan umat kehausan agama, mereka pula syok sendiri sibuk dengan perbuatan yang menjadi 'wajib' buat mereka.

Inilah mereka yang sudah hilang pertimbangan.
Masha Allah...

اللهم اهدنا صراطك المستقيم

Thursday, 7 April 2011

Jangan Pernah Puas Dengan Diri

Dalam exam Tasyri' semalam, ada satu soalan tentang apakah sebab-sebab yang membawa kepada 'asr izdihar fiqh / golden age fiqh islami pada awal kurun ke-2 hijrah hinggalah petengahan kurun ke-4 hijrah.

Ada 9 sebab semuanya yang perlu disyarahkan. Daripada 9 sebab itu, ada satu sebab yang menarik minat saya untuk menulis entri kali ini, iaitu :- "bermulanya banyak rehlah ilmiah yang dibuat oleh ulama' ".

Contohnya, Imam Assyafie.
Bayangkan, lebih 1000 tahun yang lalu, beliau telah mengembara dari gaza ke makkah, kemudian ke yaman kemudian ke baghdad, dan kemudian ke Mesir pula, semata-mata untuk mendapatkan ilmu-ilmu agama.


Dan akhirnya ia memberi impak besar pada dunia islam waktu itu. bermula dari situlah diasaskan qaedah-qaedah usul fiqh dan terhasilnya kitab ArRisalah yang menjadi sumber utama usul fiqh hingga kini !

Subhanallah.

Ketika hendak menjawab soalan tersebut dengan jawapan di atas, saya terasa malu.
Tiba-tiba saya teringat akan 'rehlah ilmiah' saya ke mesir akhir januari lalu bersama seorang sahabat.

+ + +

Kenapa malu?

Kerana pelbagai keluhan yang diluahkan sepanjang 2 hari suntuk perjalanan kami ke mesir melalui jalan darat dan menyeberangi lautan dengan kapal laut buat pertama kali.

Mana tidaknya, sejak pagi hari pertama hinggalah malam hari kedua perjalanan, memang tak lekang ujian dan cabaran menjadi teman.
Beratus duit habis kerana ditipu. Berjam-jam menunggu dan beratur untuk naik ke kapal tetapi hampa kerana ditahan polis dan disuruh patah balik.
Seharian suntuk dari pagi ke malam terpaksa menghidu asap-asap rokok di dalam bas buruk yang tertutup. Tidak lupa juga dengan peristiwa bas rosak di tengah padang pasir mesir. Hanya Allah saja tempat saya mengadu waktu itu. Sahabat ketika itu sudah tiada, kami berpisah sebaik tiba pelabuhan Nuwaiba', Mesir.

Sampaikan ada satu masa dalam perjalanan dari pelabuhan menuju mansurah, mata saya tiba-tiba berkaca-kaca.
Saya terimbau kembali kisah-kisah lama di Malaysia. Hidup serba mewah. Mahu ke sekolah, mahu ke kedai, mahu jalan-jalan, semuanya dengan kereta mewah. Kalau mahu ke tempat jauh seperti langkawi, naik kapal terbang.

Ketika seharian bersama arab-arab mesir dalam bas usang yang padat itulah, saya terasa sangat bersyukur atas segala nikmat yang diberikan sebelum ini.
Ketika itu jugalah saya rasakan saya telah mengharungi perjalanan yang paling teruk mencabar dan panjang dalam hidup saya.

+ + +

Namun, bila baca kisah-kisah pengembaraan manusia-manusia terdahulu. Memang saya betul-betul patut malu dengan mereka. Bagai langit dan bumi.
Saya yang baru diuji dengan menaiki bas usang dan kapal laut sudahpun mengeluh. Belum lagi kalau diuji dengan hanya menaiki unta untuk menyeberangi sahra' seperti mana ulama' terdahulu.


Kegigihan dan pengorbanan mereka memberi sumbangan yang sangat-sangat-sangat besar pada kemajuan Islam. Hingga kini malahan sumbangan mereka dapat dirasai bersama.

+ + +

Usai saja menjawab soalan exam itu, saya terfikir sejenak
"Patutlah hidup aku di dunia ni masih tak memberi kesan pada dunia Islam hari ini "
"Dah 20 tahun aku hidup, apa yang dah aku sumbangkan?"

Teringat juga kata seorang sahabat : "kalau kau tak beri nilai tambah pada dunia ni, kau hanya jadi bahan tambahan, menyemak je!"

Friday, 25 March 2011

Alf Mabruk Hasanah Suhail & Aliya


1) Alhamdulillah exam pertama baru saja tamat. Lega, lega juga.Tapi seminggu lebih lagi, mula pula exam kedua. Memang hidup di Jordan ini penuh dengan exam hampir setiap minggu.

Syukur Alhamdulillah, meskipun saya tersilap daftar subjek untuk semester ini (daftar subjek tahun 3 yang sgt mencabar, Fiqh Aiman & Fiqh Jihad), ramai senior yang sudi mengajar. Biarpun markah rendah-rendah saja, saya sangat bersyukur kerana dari sini Allah telah membuka ruang untuk saya menjadi lebih rajin menelaah kitab-kitab ulama'.

Yalah, bak kata orang putih " Failure is success if we learn from it ".

+ + +

2) Tahniah pada kakak saya Hasanah dan suaminya atas kelahiran cahaya mata kedua..

بورك لكما في الموهوب وشكرتما الواهب
رزقكم الله بره وبلغ أشدة
وجعله الله من عباده الصالحين

Muhammad Sayyd yang dilahirkan pada 21 Mac lepas.

Khayrat bersama adiknya Muhammad Sayyd. Masha Allah..



Semoga Muhammad Sayyd dapat mencontohi ibunya yang sentiasa sabar dan tabah dan dapat mencontohi ayahnya yang sentiasa 'semangat' membuat semua perkara.
(*teringat ketika saya melawat mesir sebelum kejatuhan pak husni mubarak,  layanan mereka sangat istimewa.
Abang ipar saya semangat ke pasar pagi2 semata-mata nak cari burung puyuh untuk saya yang tengah mengidam. Kakak saya yang sedang sarat mengandung dengan tabah ke hulur ke hilir menemani saya melawati tempat2 bersejarah di Alexandria)

Masha Allah.

+ + +

3) Tahniah buat adik saya, Aliya yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2010.
Ahsanti. Walaupun kali ini tak dapat memotong abangnya, jangan risau, jemputlah ke jordan ini, ambil bidang Syariah Fiqh Usul, maka bolehlah kita saling bersaing lagi :)

Moga dengan kejayaan ini, menjadi pemangkin untuk Aliya menjadi lebih solehah dan lebih semangat berjuang di jalan Allah ini. Bukan untuk di-riya'2-kan ya. SPM je pun,,orang dah tak kisah dah bila dah masuk Universiti nanti.

Saturday, 19 March 2011

Masalah Perempuan : Sabarlah Skit..


 "Jangan ada girlfriend ya"

7 tahun lalu, ketika saya di tingkatan satu, hampir setiap hari ayah saya berikan nasihat ini setiap pagi sebelum saya ke sekolah.

Dulu-dulu saya hanya tersenyum sambil tersengih-sengih mendengarnya.
Tapi kini, saya betul-betul hargai nasihat ayah saya itu. 

Ramai rakan saya tersungkur kerana wanita.
Ada rakan yang betul-betul saya sayangi berjumpa saya setelah lama berpisah dan mengadu bahawa beliau sudah terlanjur dengan seorang wanita. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya waktu itu.
Ada juga rakan saya yang dulunya hebat memimpin tarbiyah dan dakwah di sekolah. Tapi kini tersungkur dengan seorang wanita cantik, sanggup menempelkan gambar mereka berdua-duaan di facebook.
Ada kenalan saya yang giat melakukan dakwah, tetapi tak laju-laju juga kerana tersekat dengan seorang perempuan.

Ya, saya tahu ini semua perkara biasa. 

Cuma yang tidak biasanya, siapa yang sanggup menghabiskan masanya dengan mencegah ataupun merawat masalah ini? Siapa lagi kalau bukan saya? Siapa lagi kalau bukan kalian?

+ + +

Sepanjang pengamatan kerdil saya di dunia ini, lagi-lagi di jordan ini, ada satu perkara yang mencuit hati saya.
Terdapat perempuan-perempuan yang 'menonjolkan' dirinya dengan cara yang salah. Maksud saya, dengan tidak syar'ie seperti sibuk meng-sms lelaki. Lagi-lagi yang membuat demikian adalah mereka yang dikatakan thiqah-thiqah, pakai tudung labuh. Memang mencuit hati.
Dapat saya simpulkan perempuan-perempuan yang berjaya melemahkan sang lelaki ini adalah mereka yang tidak mampu bersabar sedikit. Mungkin mereka takut diri mereka tidak akan laku jika tidak bertindak sedemikian.

Maka, ia membuahkan natijah-natijah yang tak diingini.

Ada satu hari seorang perempuan yang saya hormati meluahkan pada saya :
"Kadang-kadang lelaki selalu silap pilih. Mereka hanya nampak perempuan-perempuan yang menonjol saja.
Mereka tak nampak perempuan-perempuan yang 'tersembunyi' yang solehah-solehah belaka, yang wara', yang sangat menjaga batas pergaulan

Ya, saya akui, dan saya sendiri sudah saksikan kini, ada rakan saya yang dahulunya hebat tapi kini tersungkur dek haruman bunga-bunga murahan, sedangkan banyak lagi bunga mawar berduri yang menanti.

Saya terdetik untuk menulis hal ini kerana teringatkan 6 adik perempuan saya yang masih dara lagi suci yang sangat saya sayangi.
Kenapa? kerana saya tidak mahu mereka menjadi penyumbang dan terjebak kepada masalah ini.

Pesan saya pada adik-adik saya khususnya :
Sabarlah sikit.. Janganlah terburu-buru..
Janganlah sampai berjaya menyungkurkan seorang lelaki.


Yang lelaki pula, janganlah mudah goyah dengan usikan mereka.

Saya tertarik dengan sifat tegas kawan arab saya terhadap isu ikhtilat, 

Satu hari ada rakan perempuan sekelas saya (kelas thaqafah i'lamiah) memberi salam sambil tersipu-sipu.
Kebetulan tidak jauh dari situ, kawan saya tadi yang sedang berdiri memerhati, lalu terus membisik pada saya :
"pshiuh je dia! " (sambil buat gaya meludah)
" 'aib Wallah ! harap je cantik, tapi akhlak dia buruk! "

Masha Allah.

+ + +

Akhir kalam,
sekali lagi, sabar lah skit..
Lihatlah bagaimana seorang dalam pertandingan menyelam paling lama dalam air boleh menjuarai tempat pertama.
Dia mungkin hanya bersabar sedikit sahaja daripada pemenang tempat kedua. Mungkin bezanya hanya 1 saat mungkin juga hanya 1 detik.

Begitulah kehidupan kita.
Mana tahu dengan sabarnya skit daripada melakukan maksiat, Allah kurniakan nikmat tak ternilai harganya.
Manu tahu, hilangnya sabar kita sesaat daripada membuat maksiat, Allah terus mematikan kita, lalu.......

Friday, 11 March 2011

Mangsa Keadaan

"Seni yang merampas kecantikan lenggok bunga sarwa
Ia menukar helang rajawali menjadi buruk denak
Mereka memperdayakan angkatan berkuda dengan nyanyian yang merdu
Lalu membenamkan bahtera ke dasar laut
Mereka tidurkan kita dengan irama dan lagu
Dan memadamkan obor kita dengan tiupan nafasnya"


maka manusia pun beransur-ansur diresapi kehinaan tanpa disedari...


+ + +


"Zaman satu bangsa yang hina
tidak pernah sunyi dari ilmuan, sasterawan dan orang yang arif bijaksana!
Mereka dipecahbelahkan dengan berbagai ideologi
tetapi semua ideologi itu tertumpu kepada satu rencana : 
Mereka ajar anak singa agar menjadi kijang yang pengecut
dan mereka hapuskan kisah-kisah singa pada bicara zaman silam
Cita-cita mereka, menggembirakan hamba dengan perhambaan
Seluruh pengajaran mereka hanyalah penipuan cendekiawan"

-Muhammad Iqbal Rahimahullah, Penyair Islam Yang Masyhur-
[Dipetik daripada kitab Al-Muntalaq, karangan Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rashid]

P/s: Jangan-jangan, kitalah mangsa keadaan ini. Na'uzubillah

Friday, 4 March 2011

Biasiswa Bank Negara Malaysia ke Jordan

Sudah genap 87 tahun yang lalu, secara rasminya Khilafah Turkey Uthmaniyyah telah jatuh.
Harapnya kita tidak putus-putus berusaha dan beramal sebaiknya bagi mengembalikan kegemilangan islam khususnya di tanah air kita.
Baru-baru ini, imam masjid rumah saya menegur jemaah sejurus selepas solat maghrib,

"Dimana syabab-syabab Facebook semuanya?! kenapa aku tak nampak mereka berjemaah di masjid?! "

Fuh, tajam sekali.

+ + +

Kembali pada tajuk entri.
Asalnya tak mahupun dikongsikan. mungkin kerana hal remeh. Tapi atas paksaan pelawaan seseorang, saya pun kongsikan jugalah. Mana tahu, inilah amal yang Allah Redhai. Mana tahu, dari sinilah, seorang ulama' mujtahid akan muncul di Malaysia satu hari nanti.

Insya Allah saya akan terangkan straight to the point.

+ + +

Tahun demi tahu, semakin ramai sahabat saya yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Agama. Namun, masalah biasa yang dialami adalah sukar untuk mendapat bantuan kewangan.

Tidak seperti pelajar cemerlang yang lain yang ingin mengambil bidang professional (dentist, medic, engin,dll), peluang mereka sangat cerah kerana pelbagai agensi yang menawarkan bantuan kewangan seperti pinjaman mahupun biasiswa. Maka tinggallah pelajar yang ingin mengambil bidang agama terkapai-kapai bersungguh-sunggu mencari wang secukupnya untuk mendalami bidang agama di Bumi Anbiya.

Dengan izin Allah, juga atas sebab usaha manusia-manusia yang sedar akan keperluan semasa,
alhamdulillah mulai tahun lepas timbul satu lagi agensi selain yang sedia ada (JAIS,MAINS dll) yang menghulurkan bantuan kewangan bagi pelajar bidang agama.

Mulai tahun lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) telah membuka tawaran biasiswa bagi bidang Syariah dan juga Ekonomi &  Perbankan Islam di Timur Tengah iaitu Mesir dan Jordan (boleh pilih bagi yang ada STAM).

Alhamdulillah ia telah menghantar 3 pelajar ke Jordan dalam bidang syariah dan juga Ekonomi&Perbankan Islam. Asalnya ada seorang pelajar yang dapat tawaran ke Mesir, tapi beliau tukar ke Jordan.

Pihak bnm baru saja mesej saya beritahu borang permohonan biasiswa akan dibuka pada esok hari utk undergraduate programme (degree).
Beliau juga beritahu bahawa pelajar yang sedang mengambil degree di Jordan ni pun boleh apply. (pelajar syariah-fiqh usul dan iqtisad islami)

Jadi, mereka yang berminat untuk ke timur tengah terutamanya Jordan, bolehlah isi dengan cermat dan segera ya :)

Buat sahabat-sahabat se-sekolah saya, mungkin lebih mudah untuk dapat kerana pihak bnm sudah pun mengenali. Sebelum ini, ada 2 orang senior sekolah saya yang dapat tawaran bnm untuk bidang ekonomi ke us/uk tapi mereka tolak. Jadi lebih mudah bagi saya untuk dapat kerana mereka telah pun memperkenalkan sekolah saya walaupun sekolah di ceruk kampung Jeram.
Begitu juga dengan kenalan sesekolah dengan bnm scholars yang lain. Insya Allah mudah.

Interview
Biasanya pihak bnm akan ambil sekitar 30 orang untuk ditemuduga. Dan biasanya keputusan diterima temuduga agak lama berbanding jpa, mara dan lain-lain. Bagi saya, inilah peluang terbaik Allah berikan untuk kita doa banyak-banyak sepuas-puasnya.

Sementara tunggu keputusan untuk temuduga, bolehlah prepare betul-betul apa yang sepatutnya. Dari segi teknikal, berlatihlah speaking setiap hari kerana memang masa interview nanti, sehari suntuk dari pagi hingga ke petang kena cakap english je. Saya dulu sangat menyesal kerana tidak prepare awal-awal. Sampai banyak kali tersasul masa interview lagi-lagi ketika group discussion dan group presentation. Saya 'ter'lulus ni pun mungkin atas belas ihsan pihak bnm yang kesian dengan saya.

Lagi satu, mungkin juga boleh belek-belek istilah akaun / ekonomi sebagai persediaan untuk group discussion.
Saya dulu-dulu agak blur juga kerana banyak tak faham apa yang dibincangkan dalam group kerana semuanya pelajar yang pernah ambil akaun / ekonomi masa SPM dulu.

Bagi Yang Mampu
Entah betul ke tak pendapat saya ini, terpulanglah pada kalian mahu terima atau tidak.
Bagi saya, mereka yang mak ayahnya mampu sangat-sangat menyara kos hidup dan pelajaran di Jordan ini, tak perlulah 'kot' untuk apply. Kasihan juga dengan sahabat-sahabat yang lain yang tidak berkemampuan tetapi berkeinginan kuat untuk dalami bidang agama.

Saya dulu apply pun sebab saya sendiri sedar yang saya adalah salah seorang daripada 11 orang adik beradik!
Kasihanlah kalau mereka nak menyara kos pengajian semuanya kan? siapa tidak kasihan melihat mak ayah bekerja keras siang malam semata-mata untuk mendapatkan nafkah untuk kita?

Wallah 'Alam.

Thursday, 24 February 2011

Kewajipan Ambil Berat

Seperti biasa, beliau masuk ke kelas dengan bermuka bengis lalu berdiri tegak dihadapan.
Tanpa kata alu-aluan, beliau memulakan bicara berbentuk soalan. 

" Siapa yang dengar ucapan Ghaddafi semalam? "

Semua terdiam. hanya tiga orang yang mengangkat tangan. Itupun tidak diangkat tinggi sangat kerana kecuakan.

"Daripada 50 pelajar Fiqh Jihad, hanya tiga orang sahaja yang mendengarnya?!!"

Semua tergamam.

"!من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم"
(siapa yang tidak mengambil berat hal kaum muslimin, maka dia bukanlah dikalangan mereka)

Lantas beliau memarahi menegasi kami semua dengan menghuraikan panjang lebar hadith tersebut.

Setelah hampir satu jam kami ditegur dengan begitu tegas dan menyusuk hati, beliau membuat kesimpulan,

" Sekarang aku berfatwa, bahawa mengikuti berita semasa adalah fardhu 'ain ke atas kamu semua!"

Tegas beliau yang merupakan graduan Ph.D Universiti Al-Azhar dan juga bekas mufti tentera di Kuwait.
Dahinya kelihatan basah berpeluh meskipun cuaca masih sejuk.

Kelas kali ini, kami langsung tidak buka kitab Fiqh Jihad apatah lagi menyentuh ilmu-ilmu baru tentangnya.
Hanya dilumat dengan 1001 pengajaran dan teguran tepat dan pedas sekali.

+ + +

Sebelum beredar beliau sempat bergurau,
"Siapa yang dirumahnya ada buku aku?" (kalau tak silap kitab قواعد نظام الحكم في الإسلام )

Tiada yang angkat tangan.

"Memang la,, siapa yang dikenal pasti ada buku itu dirumahnya, akan dikenakan 2 tahun penjara. Hehe"


*[Kenangan indah di kelas Fiqh Jihad. Kuliah Syariah. 23/2/2011)

Wednesday, 2 February 2011

Pengalaman 'Manis' Jaulah Mesir

Syukur, berjaya sampai rumah di Irbid awal pagi tadi, setelah 5 hari di kaherah dan 2 hari 2 malam terperangkap di tengah lautan manusia di Cairo Airport.
Risau, ramai lagi sahabat-sahabat yang masih terperangkap di sana.
Entri kali ini, hanya ingin berkongsi sedikit coretan buat keluarga khususnya mak ayah saya yg tersayang tentang sepanjang jaulah saya yang agak bermakna di Bumi Anbiya'.

*maaf kalau banyak salah bahasa. tak ikut skema sgt kerana nak tulis cepat2.

+ + +

  • Pagi 21 Jan - berduaan dengan sahabat bertolak dari irbid menaiki teksi-bas(cuba bayangkan bas 80an)-kapal laut-bas(cuba bayangkan bas 70an) untuk ke mansurah, mesir.
  • malam 22 Jan - Tiba mansurah.
  • 23 Jan - Tiba Alex
  • 25 Jan - Menuju ke Cairo tapi tersekat di Tanta lantaran Rusuhan2 kecil
  • 26 Jan - Tiba Cairo dengan aman. beberapa jam lepas tu, Rusuhan bermula.
  • 27,28,29 Jan  Rusuhan besar-besaran. dan seperti mana yang kalian tahu, macam2 berlaku (banduan merata2, rompakan, dll)
  • Saya bersama sahabat-sahabat dan rakyat setempat terpaksa berjaga malam mengawal luar rumah. Membuat sendiri sekatan-sekatan jalan (dah macam dekat palestin dah, byk sangat sekatan jalan)
  • Di kawasan kejiranan yang saya duduki, ada seorang sahaja yang mati kalau tak silap.
  • Agak gerun berjaga malam kerana bunyi tembakan dan jeritan merata-rata. Di tambah lagi dengan lori-lori askar yang lalu lalang depan mata. Agak teruja sedikit~
+ + +

30 Januari 2011
  • Lepas Zuhur ke Cairo Airport berseorangan menaiki teksi.  Flight dijadualkan jam 4.45 petang. Dalam perjalanan rasa macam dekat palestin pula. Askar tersusun berbaris sepanjang jalan. Sementara kereta kebal menghiasi menambah seri.
  • Tak sampai airport lagi sudah boleh agak betapa crouded-nya airport ketika itu. Tak sampai lagi tempat perhentian lantaran jem, saya keluar dari teksi dan berlari menuju ke Terminal 3 Cairo Airport.
  • Di saat penuh blur keseorangan tanpa teman, mencari-cari apa yang patut dibuat, mujur terjumpa seorang senior Mesir lalu beliau menunjukkan jalan.
  • Segera check-in dan beratur menunggu kedatangan kapal terbang.
  • Sejak pukul 2pm lebih menunggu dengan tenang, pukul 8pm lebih baru ada pengumuman flight cancel.
  • Berusaha untuk mencari tiket baru. Tapi, tidak berjaya merebut sehinggalah jam 11pm.
  • Agak penat dan lapar. terpaksa beratur panjang untuk membeli 4 keping roti (beserta daging slice sikit) berharga 60+ Genih ( dlm RM30)
  • Terus berusaha merebut mendapatkan tiket sehingga penat tapi tidak berjaya. Ternyata badan saya masih kecil nak dibandingkan dengan Arab-arab yang sasa belaka.
  • Orang Arab tak habis-habis bergaduh sesama sendiri. memang airport tak pernah sunyi walaupun awal-awal pagi.
  • Sekitar jam 12 malam, saya tidur sebentar di merata tempat tanpa alas (berubah-ubah tempat krn tidak selesa) sehinggalah jam 1am lebih, saya terbangun.
Situasi di lobi Cairo Airport hari kedua saya di sana.

31 Januari 2011
  • Lihat handphone, dapat mesej dari jordan untuk mencari beberapa orang lagi students jordan yang tersangkut di sana.
  • ke hulur ke hilir mencari, sekitar 2am baru jumpa. Alhamdulillah mereka semua okay dan sudah ada tiket flight. Cuma saya seorang yang masih mati aqal kerisauan dek tiadanya tiket.
  • Saya meneruskan perjuangan bersaing dengan ribuan manusia mendapatkan tiket. Akhirnya selepas subuh baru berjaya dapatkannya. Hanya Allah yang tahu betapa gembiranya hati.
  • Sangat Letih dan tertidur di Burger King yang susah terbengkalai.
  • Jam 9am, terbangun dan agak malu kerana saya seorang terbaring sedang yang lain semuanya bangun rancak mendapatkan tiket.
  • Dapat panggilan telefon dari malaysia, lega bila dapat juga berhubung dengan ayah dan mak. Mana tau ini yang terakhir. 
  • Sebelum Zuhur, rahmat Allah datang tanpa disangka. Wakil duta Malaysia di Mesir datang membawa makanan. Pelajar malaysia dikumpulkan satu tempat untuk makan dan mendengar taklimat.
  • Selepas zuhur, berpisah daripada komuniti malaysia dan terus check in keseorangan untuk menunggu flight.
  • Berjam-jam menunggu. Masih seperti semalam, flight cancel. Malah berpuluh flight lain cancel.
  • Kemudian saya ada terdengar orang di sana berkata : first come first serve !
  • Baru saya fahami situasi dan hakikat sebenar bagaimana nak dapatkan flight itu. Memang kena berebut-rebut bila ade pengumuman flight ke tempat tujuan masing2.
  • Tiket baru saya seolah-olah sia-sia saja. 
  • Dalam keadaan agak stress, saya duduk sebentar menangkan fikiran sambil mendengar mp3. Sempat habis dengar surah ArRahman dan Al-Waqi'ah. Hati kembali tenang. Ditengah kesempitan, baru dapat hayati sungguh2 Kalam-kalam Cinta dari ArRahman, Allah swt. (moga selepas ni pun dapat istiqamah tadabbur Al-Quran)
  • Rahmat Allah datang tanpa disangka lagi, 2 wanita palestin pelajar perubatan bertanyakan tempat tujuan saya dan kebetulan beliau pun mahu ke Amman, Jordan.
  • Dari situ, misi bermula. Mereka hanya katakan supaya ikut mereka.
  • Mereka berdua suruh saya jaga beg besarnya dan mereka berdua berjuang mencari jalan alternatif. Ke hulur ke hilir kesana ke mari berjumpa pegawai airport sementara saya hanya duduk relax kepenatan.
  • Saya yang sedang duduk di tengah-tengah airport, didatangi seorang lelaki US bertanyakan tempat tujuan. Kebetulan tempat tujuan kami sama, maka beliau pun turut menyertai.
  • Tidak lama kemudian (lama jugak sebenarnya) datang seorang lelaki dan wanita Argentina bertanyakan soalan yang sama. Maka mereka beserta 20 lebih warga argentina lain pun turut menyertai 'group' yang baru dibina tanpa dirancang.
  • Kami duduk di satu tempat sementara 2 wanita palestin tadi terus gigih berurusan dengan pak arab airport. Syukur ada mereka kerana kami semua tidak fasih bahasa arab Mesir.
  • Tidak lama kemudian, 2 wanita tersebut menemukan lagi orang-orang yang nak ke Amman. Maka kami semua pun bersatu duduk setempat.
  • Hari sudahpun malam tapi masih tiada flight ke Amman. Perut sudah pun lapar. Alangkah bahagianya bila orang-orang dalam 'group' kami saling prihatin. mempelawa makanan dan lain-lain.
  • Wanita-wanita Argentina sudah kebosanan lalu mengajak saya bermain bola. Dalam hati saya "Patutla Messi hebat, wanita-wanita dia pun otak bola". Tanpa fikir panjang saya menolak. Walaupun ideanya agak menarik lagi-lagi sedang tension menanti flight.
  • Mereka meneruskan rancangan bermain bola. menghalau orang-orang di kawasan kami lalu memacak 2 gol ( yang biasa digunakan utk orang beratur). maka bergembiralah mereka, bergelak ketawa, sedangkan situasi ketika itu sangatlah genting.
  • Hampir setiap jam ada rusuhan. Antara rusuhan yang terhebat adalah group yang hendak ke Dubai. Dikatakan mereka pecah masuk pejabat sehingga berjumpa General Manager. Lantas  3 flight di approved.
  • Selepas itu, terdapat juga rusuhan daripada group yang nak ke Saudi. Berjam-jam membuat rusuhan dengan ganas, akhirnya mereka berjaya mendapatkan flight. Sorakan gembira kedengaran~
  • Seolah-olah jadual flight ditentukan orang awam pula. Sistem Airport seolah musnah sama sekali.
  • Melihatkan mereka yang berjaya, group kami yang mahu ke Amman agak tertarik untuk mencontohi mereka. 
  • Cuma caranya agak lembut sedikit iaitu dengan cara mengumpul nama-nama (katanya mahu menagih simpati orang airport dengan adanya ramai foreigner yang sudah berhari-hari terkurung di airport) lalu dihantar ke pegawai (atasan mungkin) sambil merusuh sikit-sikit.
  • Saya agak tidak percaya dengan cara ini dan awal-awal lagi sudah berputus asa untuk fly pada hari itu.
  • Lalu saya bersama kawan yang baru jumpa beberapa jam sebelum (medic, mansurah Uni) berkeliaran ke kedai-kedai di airport. Hanya memerhati, nak beli tak boleh kerana poket kering.
  • Kemudian kami ke surau untuk solat jamak takkhir isya' mahgrib.
  • Sejurus lepas solat. Kedengaran pengumuman bahawa sebentar lagi akan ada flight ke Amman.
  • Lantas kami berlari selaju mungkin dari surau menuju ke tempat perkumpulan group kami tadi.
  • Amat terkejut kerana tempat tersebut sudahpun kosong kecuali kawan US kami.
  • Betul-betul terharu kerana beliau sanggup menunggu kami dan terus membawa kami lari ke kaunter boarding pass utk flight ke Amman.
  • Kapal terbang riuh rendah dengan sorakan gembira sebaik saja ia berlepas.
Syukur Alhamdulillah,
Jam 2am 1 februari, selamat tiba rumah kesayangan di Irbid Jordan.

Dalam masa yang sama. Sangat risau dengan sahabat-sahabat yang masih di Mesir.
Juga risau dengan masa depan Islam di Mesir.
Masha Allah.

sentiasalah doakan mereka di sana~

Thursday, 20 January 2011

Jaulah Bumi Syam

Alhamdulillah, selang beberapa hari selepas final exam, Allah mengizinkan saya bersama sahabat-sahabat untuk mengembara jauh mencari mutiara-mutiara yang tersimpan di sisi debu-debu nan sejuk di Seluruh Bumi Syam. Banyak yang dapat saya pelajari dari Jaulah ini. Tapi rasanya memang tidak sempat untuk kongsikan semuanya.
 Lihat gambar pun jadi la ya~

+ + +

 di salah sebuah ukiran besar di Petra. Di ukir oleh manusia sendiri. Hebatnya hasil tangan manusia ketika itu.
Bagaimana pula dengan Tuhan manusia itu sendiri ? masha Allah.
"walillah mathalul-a'laa"

Di Aqabah. Satu-satunya laut dan pantai di Jordan.
Alhamdulillah setelah lama merindui ikan, akhirnya kutemui juga dia di sini.
Syukurlah kalian di malaysia yang sangat mudah memakan ikan setiap hari dengan harga yang murah~

Di Ummu Qais. terletaknya binaan-binaan agung peninggalan Empayar Rom.
Kelihatan semua agak jakun dengan rumput-rumput di Jordan (amat jarang melihat suasana hijau seperti ini di Irbid)
Sekali lagi, syukurlah kalian yang berada di malaysia sana yang setiap hari bisa menikmati suasana indah kehijauan.

Sebelum bermandi manda di pantai dan berjaulah di lautan aqabah. melihat keindahan ciptaan Al-Khaliq di dalam lautan. Terdapat batu karang yang berbentu Lillah. Agak terkejut bila melihat terdapat juga kereta kebal besar tersadai di dasar lautan.

*di belakang sana adalah Tanah Air Umat Islam Palestin yang sedang di jajah oleh Israel.
"Allahummansurhum wansurna 'alalqaumil kafirin !"

+ + +

 Di sisi maqam Abu Ubaidah Al-Jarrah. Sahabat yang paling dipercayai seperti mana dalam hadith nabi : Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.”

Dalam riwayat lain : “Tiap-tiap umat ada orang yang memegang amanah. Dan pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah al Jarrah.”

Antara kisah beliau yang paling tragis ialah ketika mana keadaan sedang kucar kacir di Medan Uhud. Beliau mendapati Rasulullah cedera parah dengan dua rantai besi terhujam di pipi. Lalu, beliau berusaha mencabut rantai besi tersebut sehinggakan patah dua gigi hadapannya.

Ketika zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau juga telah dilantik untuk mengetuai misi menakluk kota-kota besar di bawah pemerintahan Rom termasuk Jordan !

+ + +

Insya Allah, bumi seterusnya, Bumi Kinanah. Doakan dipermudahkan perjalanan esok hari ke sana~

Monday, 17 January 2011

Mumtaz Untuk Ummah

Dari tak pernah terfikir untuk ambil syariah masa menengah rendah dahulu, sedar tak sedar kini sudah tamat semester pertama saya di Kuliah Syariah Universiti Yarmouk !

Masha Allah.

+ + +

Keputusan keseluruhan peperiksaan baru saja dilihat tadi.
Alhamdulillah, Allah kurniakan yang terbaik buat saya dengan menghadiahkan mumtaz untuk semester pertama saya di Universiti ini. Tak terhingga terima kasih buat yang mendoakan dan memberi sokongan padu. Tahniah juga buat rakan-rakan lain semuanya yang mendapat keputusan mumtaz, jayyid jiddan, jayyid, maqbul mahupun rasib.
Insya Allah inilah yang terbaik Allah kurniakan pada kita. semuanya ada hikmah & ujian tersendiri.

 
"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan" (Al-Anbiya' : 35)

+ + +
Apa-apapun, kita mesti ingat, segala usaha dan hasil study / amalan kita bukan untuk diri kita semata-mata.
tapi untuk Ummah kita yang sudah lama menanti kegemilangan yang sudah lama hilang.

Kalau kerajaan Islam Turkey uthmaniyyah telah jatuh 100 tahun yang lalu,
ketahuilah, bahawa kerajaan Islam di tanah air kita sendiri (Kesultanan Melayu melaka) telah jatuh 500 tahun yang lalu !
Entah berapa banyak keturunan, entah berapa billion manusia sehingga kini yang menderita akibat ketiadaan khilafah islam yang bisa membela mereka selama ini

"Sesungguhnya orang yang hidup untuk dirinya sendiri, ia akan hidup kecil dan mati sebagai orang kecil. Sedangkan orang yang hidup untuk umatnya, ia akan hidup mulia dan besar, serta tidak akan pernah mati" (As-Syahid Sayyid Qutb)


p/s: bagi yang pulang ke Malaysia dan memang di Malaysia sana, ada berita gembira untuk kalian. saksikan~

  © Blogger template 'Portrait' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP