Friday, 26 June 2009

Berita Gembira..

Bismika ya Rahman nahya. Bismika ya Qahhar nahya. Bismika ya 'Afuw nahya.

"..apa yang di sisi Allah itulah yang lebih baik dan kekal.."

Sudah lama tidak mengembara di sini, terasa kekok pula nak menulis. Lagi-lagi dengan menggunakan bahasa ibunda. Saudara semua sudahpun tahu, setiap hari penulis didedahkan dengan tulisan-tulisan Arab dan gaya bahasanya yang tersendiri yang cukup istimewa. Maka Penulis akui gaya bahasa ibunda penulis sedikit sebanyak sudah luntur. Maaflah ya.

*****
Bismika ya Rahim nahya..

Tiada apa yang berat-berat nak dikongsikan di sini. Mungkin sekadar menyampaikan berita gembira terutamanya kepada mama dan abah penulis, kaum keluarga dan sahabat-sahabat penulis yang dirindui.
Bukan suka-suka, tapi ada matlamatnya. Inilah Islam. Sangat mementingkan hubungan silaturrahim.
Insya Allah dengan adanya perkongsian sebegini, ikatan persaudaraan kita menjadi lebih baik, kekal selamanya.

++++++++++

Alhamdulillah, sesi pembelajaran penulis ketika ini berjalan dengan baik. Walaupun masih merangkak-rangkak, masih tak terkejar silibus yang banyak tertinggal, namun penulis rasa semakin lama semakin seronok belajar. Sebab apa? mungkin sama sahaja dengan sebab saudara bila sudah mulai mendalami sesuatu ilmu itu.
Penulis akhirnya akur pada kelemahan diri dan rasa rendah diri pada Al-'Alim Yang Maha Mengetahui kerana dapati betapa ceteknya ilmu agama penulis yang hakikatnya merupakan ilmu agama sendiri.
Mengenai subjek apa yang menjadi kegemaran penulis, subjek faraid barangkali. Kebetulan memang penulis suka kira-kira..

Suka sekali penulis kongsikan satu perkara yang cukup mencabar buat penuntut-penuntut ilmu di sini. Apalagi kalau bukan gejala tidur. Memang ketara. Tak kisahlah dimana-manapun, semuanya 'okey' je buat tidur.

Bak kata orang dulu-dulu, S.T.A.M ni Suka Tidur Atas Meja(STAM). Macam dah kena sumpah pula. Na'uzubillah min zalik. Awal-awal dulu tak sangka juga ada sahabat yang hanya sedar ketika memberi salam guru masuk dan salam keluar. Meja yang keras menjadi cukup 'empuk' dan selesa waktu itu. Ditambah lagi dengan angin-angin gunung sepoi-sepoi bahasa, memang 'syahid' lah bagi mereka yang tak dapat melawan..

Sengaja penulis kongsikan hal ini, mana tahu generasi hadapan akan lebih ber'jaga-jaga' !

Punyalah ketara gejala ini sampaikan wujud satu kisah yang penulis takkan lupakan :-

Bila penulis beberapa kali mengejut seorang sahabat yang sudah lama tidur,
Alhamdulillah akhirnya beliau bangun.
tatkala itu tiba-tiba beliau bersuara. Suara yang memeranjatkan penulis.

"Mad, nta pernah ada awek tak??" tanya beliau kepada penulis.

sambungnya lagi..

"Ana tak pernah. tapi rapat-rapat adalah, dulu-dulu. Ana suka yang chinese look"

:) tergelak+terkejut penulis mendengarkan. Habis terbongkar rahsianya. Sedangkan sebelum ini tak pernah penulis berborak ataupun berbincang dengannya akan hal-hal sebegini.. Mana tidaknya, beliau sangat aktif berbincang hal-hal dakwah.

Ada pengajaran?
Saudara kan bijak. Mesti dapat tangkap berjuta pengajaran.

Macam manapun, Doakanlah penulis dan sahabat-sahabat yang lain mendapat mumtaz dalam peperiksaan yang bakal berlangsung sebentar saja lagi.

***********
Sebelum terlupa,
Tahniah kepada semua sahabat-sahabat penulis yang berjaya melanjutkan pelajaran masing-masing di merata tempat ; USIM, UIA( selangor), KMJ, DQ, Intec,Taylor,Monash Uni, UPM, UiTM, di Shah alam, kelantan, pahang, Perak, juga sahabat yang telah terbang lebih awal ke seberang sana. tak lupa juga kepada satu-satunya sahabat penulis yg sudah berada di UTP, 1 jam dari sini (ipoh).

Moga terus istiqamah dan dapat bersama-sama mengubah dunia, khususnya Malaysia suatu hari nanti. Tak lama lagi !


Syeikh Dr. Fathi Yakan dalam kenangan.
Beliau pergi, kami pengganti !

Wallahu A'lam
Wassalamualaikum W.B.T
Salam sejahtera dari penulis dan sahabat-sahabat STAM
Kepada anda..

Wednesday, 3 June 2009

Rahmah tatkala Walimah.

Kalau tahun lalu, bermula satu.
Kemudian pada mei tanggal satu hari tu bertambah satu.
Kini, bertambah lagi satu ! itulah dia sang menantu. bertalu-talu bertambah dengan laju.
Syukur pada Yang Maha Penentu Sesuatu. Dialah Al-Qadir, Allah S.W.T.

Dengan rasminya,
kakak penulis selamat 'dilepaskan' daripada Abah dan Mama penulis kepada Zayd Salahuddin b. Adam. pada 30 mei 2009 sekitar jam 5.30pm.

Barakalllah lakuma Wa baaraka 'alaikuma wa jama'a bainakuma fi khair
wa razaquma zurriyyatan tayyibah tanfa fil-Islam !

Segala pujia HANYA bagi Allah, Syukur pada Al-Jami', yang telah menghimpunkan keluarga besar penulis. Buat pertama kalinya, hampir kesemua datang berkumpul di johor bahru ini. Kaum kerabat dari indonesia turut hadir. Ada dari batam, sulawesi, jakarta, makasar, dan macam-macam.
Ramai tak terbilang sampai penulis sendiri tak mengenali sesetgh daripada mereka. Padahal sepupu dekat saja. Astaghfirullah..

khusus kepada kerabat yang tak dapat hadir, yang berada di mesir, holland,australia, indonesia dll, penulis sajikan gambar pengubat rindu sekitar majlis perkahwinan gabungan(dua beradik Suhaib dan Uswah sekaligus)..





sebelum akad.(zayd hanya bersenyum lebar meng'cover' kecuakannnya)mama sedih melepaskan anaknya. Hanaa' masih tak mengerti :I






ibu saudara penulis a.k.a Mak Andam pengantin.
(kelihatan laptop terbuka ber'webcam2' bersama kerabat dari mesir melihat upacara akad)

(makcik Hajrah, kanan gambar dan kak rahimah, depan)
kerabat dari Indonesia.Maaf hanya dua org yang penulis igt namanya..

Pada 1990,abah berada di UK, maka Suami mck hajrah,pck Yafie' yang telah meng-azankan penulis ketika lahir. Seingat penulis, baru sekali berjumpa dengannya.
Beliau telah meninggal dunia..Al-Fatihah...


Cucu mck hajrah (Alisyah) dipangkuan ibunya, Kak Diyyen.

Sesi Ta'aruf setelah usai walimah. (di sini baru lebih mengenali keluarga sendiri)

Nenek tgh syok menceritakan sejarah panjang keluarga. Dari Zaman Komunis hinggalah skrg

Uswah bersama keluarga barunya.


Sepupu penulis. bukan senang jumpa mereka lagi.


Mck Sempo dan mck Kamaliah(Guru fizik penulis)

*teringat saat menuntut ilmu fizik dgn mck kamaliah. Beliau sangat terkejut kerana dapati penulis mcm tak tahu apa2 ttg fizik sedangkan SPM tinggal lg seminggu dua. Berkat Usaha gigih beliau. Alhamdulillah Allah berikan Ganjaran lumayan. terima kasih ya..!


Uwa&Suhaib dan Zayd&Uswah


Suhaib excited jumpa kawan2 lama..

"Allahu Ghayatuna !"


"nanti suhaib belikan rumah banglo ya.."


Suhaib & Mariam Azwa
Moga bahagia selamanya..!







Akhir sekali, buat saudara yang tak sempat melihat montaj majlis perkahwinan ini,
Penulis sajikan.. moga terubat rindu. moga bertambah iman..~(boleh kaitkan?)


Wallahu A'lam.
Wassalamualaikum..

Friday, 22 May 2009

Antara minat dan perlu, dia sedari...


Aduh,
Dilemma. Dilemma bukan kepalang. Habis otak diperah malam dan siang. Semacam parah dihiris parang.
Yalah, bukan senang nak memilih. Terlalu besar beza antara keduanya. Medic, dan syariah. Memang amat berbeza!

Mujur dia punyai Kekasih tercinta tempat mengadu dan istikharah.
Maka ketika itulah dia semakin hampir dengan Al-Qadir Yang Maha Menentukan Sesuatu.
Cis, bila senang dilupai. Sudah susah, baru kembali ! Hinanya dia.. Na'uzubillah min zalik..

Entah macam mana bidang yang tak glamour juga yang dipilih. Sedangkan sejak kecil teringin benar menjadi doktor Al-Hafiz. Yalah, siapa tak suka dapat title DOKTOR. Siap Al-Hafiz lagi ! Tak mustahil lah akan dipandang tinggi.


**************************
Saudara,
"Bacalah Dengan Nama Tuhanmu Yang Maha Menciptakan"


Dia sedar,
bidang agama bukanlah bidang professional pada pandangan orang kebanyakan.
Oh, bukan saja tidak professional, malah menjadi sinar harapan bagi pelajar-pelajar yang tidak seberapa SPMnya. Menjadi pilihan terakhir bagi lepasan SPM yang tidak berjaya mendapatkan tempat di mana-mana IPT.
Takpun hanya menjadi tempat persinggahan para lepasan SPM untuk mengisi masa lapang pasca SPM. Bila sudah mendapat SPM cemerlang, keluarlah mereka. Macam hina kan?!

Walau-apapun, biarlah dipandang hina atau macam mana sekalipun,
Dia tetap meyakini hanya Allah yang Maha Berkuasa Menghina dan Memuliakan Sesuatu.Dialah Al-Mu'iz Al-Mudzil !

Dia sedar,
Di Malaysia ini, majoriti para lepasan SPM yang cemerlang hanya berminat mengambil bidang yang tampak gah-gah belaka : Medic, Law, dan macam-macamlah. Siapalah bidang agama untuk mereka. Kata orang kebanyakan, rugilah kalau budak-budak cream SPM sambung belajar khusus bidang agama.

Sebenarnya, memang sejak kecil lagi dia ingin benar menjadi doktor. Memang dia sangat sangat sangat mencintai ilmu bio kimia fizik itu yang sememangnya menambahkan imannya dan semakin merapatkannya kepada Al-Khaliq Al-Bari' Al-Mushowwir.

Namun, dia rasakan, betapa besar ruginya kalau dia tidak menguasai dan mendalami ilmu agama. Betapa rugi hidupnya jika tidak dapat menguasai Bahasa Syurga sekaligus Faqih agama yang suci ini.

Biarlah orang kata dia rugi kerana mensia-siakan result SPMnya. Tetapi yang lebih penting dia sedikitpun tak merasakan kerugian selagi mana dia berpegang pada prinsip " Bismikallahumma Ahya!" . Ya, setiap detik, dia cuba sedaya boleh hidup dengan nama Allah, An-Nafi' Yang Maha Memberi Manfaat. Mana mungkin An-Nafi' memungkiri Janjinya..

Dia sedar,
Orang kebanyakan memandang rendah bidang agama. Seakan-akan ilmunya boleh dipelajari di tepi jalan sambil menunggu bas.

Dia sedar,
Bidang agama tidaklah seperti medic atau lain-lain bidang yang professional belaka yang punyai eksperimen berbagai, masuk lab, berlambak-lambak assignment, ada kajian-kajian menarik luar kuliah, dan sebagainya.
Siapalah bidang agama nak dibandingkan dengan semua itu. Takat kuliah 5 jam sehari sudahlah. Pejam celik pejam celik, belek-belek buku, dah dapat Sijil Ijazah ! Mudahkan??

Namun,
Dia tetap sangat memandang tinggi ilmu Agama. Dan keinginannya untuk mendalami dan menguasai ilmu agama ( lebih khusus : Syariah Islamiyyah) sungguh meluap-luap !
Dia merasakan bukan mudah yang disangka untuk menguasai ilmu ini. Ia perlukan takhassus, perlukan disiplin ketat, talqqi khusus dengan para ulama' hadith, usul fiqh, dan sebagainya. Perlukan kajian yang mendalam di dalam dan di luar kuliah juga. Perlukan penjagaan dari pelbagai sudut. Seperti medic jugalah. Cuma mungkin sistem pembelajaran bidang agama tidak secanggih bidang-bidang yang lain. Sempoi-sempoi ala kadar saja. Kasihan.....


Dia dapati bukan senang nak menghafaz kesemua Qaedah-Qaedah Fiqh, Al-Quran,hadith apatah lagi mahu memahaminya sepertimana yang difahami Rasulullah dan generasi-generasi agung terdahulu. Lagi-lagi sumber-sumber ilmu agama : Al-Quran, Hadith, Kitab-kitab ulama' terdahulu adalah berbahasa Arab. Memang penguasaan Bahasa Arab patut mantap. Bukan takat boleh bicara arab, malah lebih. Kena dalami seni-seninya : balaghah, nahu, saraf, a'rudh, dan bermacam-macam.

Memang dia akui,
Memang dia sudah melihat dengan mata kepala sendiri, berbondong-bondong graduan agama yang pulang ke Tanah Air setiap tahun. Bersepah-sepah golongan ini di serata Malaysia.
Dia sendiri sedari betapa bezanya golongan ini berbanding golongan yang professional belaka yang hebat bekerja berjuang berdakwah dalam masyarakat. Sangat kuat pengaruhnya.
Siapalah golongan agama yang kebanyakannnya hanya berfungsi di surau-surau, masjid-masjid, atau di ceruk-ceruk kampung. Tugasnya seperti biasalah, tak lain tak bukan, takat baca tahlil, baca yassin, akad nikah, kuliah-kuliah maghrib.

Mungkin. (bahkan benar?)
dengan salah satu sebab inilah dia berhajat menyambungkan pelajarannya dalam bidang agama.
Pendapatnya, kalaulah hanya golongan yang low class akademiknya, yang asyik fail examnya dan teruk SPM saja yang ambil bidang agama,
Sampai bila nak tunggu Malaysia ini dapat merasai nikmat, rahmat hidup di bawah syariah Islam.
Hatinya sering timbulkan persoalan tanda tidak selesa dengan realiti kini, "Sekarang, negara yang tadbir agama atau agama yang tadbir negara?"

Nah,
Rupanya dia sudah tak selesa tambah bosan!

Dia sudah bosan melihat kelesuan ulama' contemporary dan graduan-graduan agama di Malaysia hari ini. (x bermaksud semua)

Dia sudah bosan melihat graduan-graduan agama (x bermaksud semua) yang hilang kredibilitinya yang kesannya mereka hanya bekerja terima arahan pihak atasan kerja itu kerja ini, lalu di mana natijahnya pada Agama ?

Dia sudah bosan melihat sistem-sistem di kebanyakan pos penting di Malaysia ini tidak ikuti undang-undang syara'. Penasihat syariah hanya tinggal sebagai boneka. Memang bijak pihak 'atasan' mereka mempergunakan mereka. Berjaya mengaburi pandangan masyarakat.

Dia sudah bosan melihat graduan agama yang syok sendiri, pergi ceramah sana sini, bagi kuliah sana sini, dapat jemputan sana sini dapat masuk TV. Memang bagus. Memang dia hormati.
Tapi baginya, agak kasihan, kerana ramai mereka yang solo. Syok sendiri, Tak Haraki. Dapat duit, dapat nama, dapat macam-macam. Untuk agama?

Dia sudah bosan melihatkan kebanyakan graduan agama menimbulkan fitnah terhadap agama.

Ya, dia sudah bosan. Bosan teramat.
Dalam hati, tak guna bosan tanpa amali hanya berdiam diri...



Alahai,, apalah nasib bidang ini, sampai jadi sebegini.
Dalam hati, takkan nak biarkan begini.
Dalam hati, nantikan perubahan suatu hari nanti...




Yang benar,
Dia
-pelajar agama-

Tuesday, 12 May 2009

Buat Abangku yang tersayang !

Bismillah.

*maaf lambat post. konon-konon sibuk periksa.


Alhamdulillah. Segala Pujian HANYA bagi Allah, Semua berjalan lancar.

Selamat Pengantin Baru kepada satu-satunya abang kandung penulis, Suhaib dan Isterinya, kak Maryam Azwa.
Moga berbahagia selalu, di dunia dan di akhirat.


Barakalllah lakuma Wa baaraka 'alaikuma wa jama'a bainakuma fi khair
wa razaquma zurriyyatan tayyibah tanfa fil-Islam !

Friday, 1 May 2009

Aturan Allah, siapa sangka..


Beburung bertebangan berarak berkumpulan kembali ke sarangnya. Melalui kicauan-kicauannya, tampak sungguh bahagia mereka ketika ini . Barangkali lumayan hasil kerjanya hari ini.

Dari suram pagi.Dia kembali, menayangkan diri. Kemudian menerangi bumi. Lantas membenamkan diri. Itulah dia sang mentari.
Waktu ini, dia sudah mula melambai-lambai, tanda amanah sehariannya hampir usai. Memang ia menjalankan tugas tanpa cuai.

Itulah peraturanNya. Ada usaha, Ada hasilnya. Ada Siang, adalah juga malam. Ada Susah, sudah pasti ada Senang selepasnya. Ada lelaki, ada juga perempuan. Wah ! cantik sekali peraturanNya. Memang kemas lagi teratur.

Sungguh, dalam kebanyakan senja, hanya senja ini tiba² membuatkan penulis terimbau kembali kenangan lampau tika kecil² dahulu hinggalah hari ini bersama seorang Insan yang penulis rasakan Ia cukup Istimewa buat penulis. Apalagi beliau merupakan satu-satunya insan yang bergelar abang kandung penulis.

+++++++++++++++++++++++++

Siapa dia? ini orangnya. Suhaib namanya. Satu-satunya abang kandung penulis di dunia ini. Ya, cuma penulis dan dia yang lelaki daripada 'kesebelasan utama'. (hah,cukup untuk membina satu pasukan bola)..







@ M'donald, 1991 (dulu-dulu tidak boikot kan?)


Raya 1993







Alahai rindunya saat kecil-kecil dahulu.
Kini. Semuanya sudah membesar. Hatta rumah pun tidak tertampung keselebelasan utama kami ini.


Subhanallah.
Cuma tinggal beberapa jam lagi, suhaib akan meninggalkan zaman bujangnya. Sekaligus menjejakkan kaki ke alam yang baru.

Harap saudara semua dapat mendoakan keberkatan Rumah Tangga beliau yang akan terbina sebentar saja lagi dan doakan juga kejayaan beliau dan bakal Isteri di Dunia dan Akhirat.

Bersambung.......

Monday, 13 April 2009

Hidup berjiran, sama-sama belajar...

Tahniah atas kemenangan

Entahlah. Mungkin terkesan dengan keadaan sekeliling, penulis mahu menulis tentang politik di nusantara ini. Al-maklumlah, sedang bermastautin di Bumi perjuangan Maharajalela. Bukit Gantang hanya kurang 1 jam dari rumah.
Di mana² saja : Surau, rumah sewa, 'kampus'(ops bahaya ni !) riuh isu politik diperkatakan.

++++++++++++++

Mungkin sudah ramai pun sudah mengetahui hal ini, malah ramai sahabat penulis baru-baru ini sempat ke medan dakwah KH.Rahmat Abdullah yang kian generasinya membiak tak terhenti.
Memang penulis akui, saudara dan ramai lagi lebih arif tentang waqi' di Indonesia.

Tapi apa salahnya penulis berkongsi serba serbi pengajaran dari kaca mata sendiri walaupun tidak sehebat pandangan dari kacamata saudara semua yang berpengalaman dan arif bijaksana belaka.

Rugilah kalau penulis hanya menyimpan dalam hati sendiri tanpa berkongsi. Ini juga amal da'wi, kan? demi merebut redha Ilahi supaya dapat mencium haruman syurgawi di akhirat nanti !

++++++++

Beberapa bulan yang lepas, Penulis sempat menemui dan berbincang-bincang dengan seorang ahli politik PKS di Indonesia yang bertanding dalam pilihan raya baru-baru ini untuk mendapatkan tempat dalam parlimen.

Awalnya hanya membuka topik-topik yang biasa² saja.( maklumlah, berborak dengan bakal ahli parlimen Indonesia). Hanya pertanyaan 'skema' ditujukan seperti hal kebajikan masyarakat, pengaruh dalam masyarakat, dan lain-lain. Yang di Malaysia ni tak habis habis diperdebatkan, yang kadang-kadang bukanlah perkara penting pun. Remeh dan merugikan malahan...

Namun, banyak-banyak yang penulis tanya, beliau banyak menjawab dengan jawapan dan perbincangan yang akhirnya fokus pada satu. Iaitu
Tarbiyyah Islamiyyah ( lebih khusus : Usrah).
Memang olahan beliau banyak berkisar dengan itu.


Amat mengkagumkan bila beliau katakan semua sahabat Se'angkatan' beliau yang memasuki bidang politik, sedang dan sudah lama menjalani satu proses yang penulis juga yakini selama ini, iaitu Tarbiyyah Islamiyyah. Satu proses pembinaan manusia secara berperingkat-peringkat menjadi semakin hebat yang memang membawa pada keberhasilan dan produktiviti yang besar sedang ianya bukan teori semata. (maaf kalau penulis ter'over', tapi memang inilah yang penulis fahami dan yakini) .

Memang menarik bila penulis dapati Kesemua sahabat se'angkatan' beliau yang berkecimpung dalam politik ini, dahulu kalanya, adalah tokoh-tokoh dakwah di universiti, Sekolah , kawasan setempat merata Indonesia.

Tambah beliau, mereka beralih maju ke bidang politik ini pun setelah mana mereka bersedia sebenar-benarnya..

+++++++++++++++++++++++

Itu Indonesia.
*ingat ya, ini hanya satu contoh. Hidup berjiran katakan. Yang keruh dibuang, yang jernih diambil... Banyak lagi contoh yang menakjubkan di dunia ini.

Baiklah,
beralih pada politik di negara kita Malaysia tanah air tercinta..

hah, semua sudah lihat kan?
Ada yang tak habis-habis menyerang dengan senjata murahan : kata-kata leweh tambah kesat.
Ada yang main lompat-lompat ke'sana' dan ke'sini'.
Ada yang main sembunyi-sembunyi dan hilang entah kemana.
Macam-macam ada.

Mengapa ya?

Tak perlu penulis jelaskan berjela-jela, kan saudara lebih arif.

Wallahu A'lam. Assalamualaikum..

Sunday, 29 March 2009

Saudara, Islamkan Syumul...

Bersempena dengan musim lesen kereta yang melanda sahabat² penulis lepasan SPM 2008, baik yang baru belajar mahupun yang sudah berjaya mendapatkan lesen P, tiba² hati penulis terdetik mahu kongsikan secebis perkara tentang lesen..
Maaf ya kalau-kalau saudara rasakan ini perkara remeh.
Bagi penulis, agak penting. Sebab hampir setiap hari kita gunakan kereta untuk bekerja mencapai Redha-Nya !

≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈≈


Tahun lepas, sewaktu penulis hendak memasuki era per'lesen'an kereta,
Murabbi penulis pernah berpesan. Tapi rugi besarnya, penulis ketika itu buat endah tak endah kerana tak beberapa faham. Maklumlah masih belum berpengelaman memandu. sikit² secara haram pernahlah :D
Wah! Sampai hal² lesen pun murabbi penulis turut perihatin. Indahnya Islam. sekecil² perkara pun Islam tidak mengendahkannya. Alhamdulillah penulis dan saudara merasai kesyumulannya..

Ini pesannya :

"time memandu nilah iman kita betul² teruji. Sangat mencabar nak kawal hawa nafsu time memandu ni..lagi² bila memandu sorang²"


Astagfirullah. Bila sudah berbulan² hampir setahun berlesen P, Bila sudah berkali-kali memecut laju, Bila sudah dua kali disaman,
hari ini baru penulis teringat semula pesannya. Astaghfirullah.

Memang penulis sokong. tepat kena pada penulis...
Dan insya Allah tepat juga pada saudara !

Bak kata orang melayu : "Sudah terhantuk baru tergadah"

Nahas Kafarah di jalan raya≈ @ Mac 2009

*Tahniah kepada sahabat² yang baru saja usai ujian JPJ dan juga sahabat² yang masih 'bersih' sepanjang tempoh P ini..

"Berhati-hati ketika memandu.
Ingatlah Allah Yang Maha Penyayang."

Wallahu A'lam. Assalamualaikum..

Wednesday, 18 March 2009

Pewaris, Buang Keruh Ambil Jernih !

Pejam celik pejam celik, sudah tadika.
Pejam celik pejam celik, sudah bersekolah rendah. Wah, UPSR !
Pejam celik pejam celik, sudah pun tamat pengajian Tahfiz.
Pejam celik pejam celik, PMR !
Pejam celik pejam celik, SPM !
Pejam celik pejam celik, Sudah hampir 1 abad Khilafah Islamiyyah jatuh !
sudah 1 abad umat islam tak terbela. Astaghfirullah.

Pejam celik pejam celik, jangan-jangan kita tidak celik lagi sesudah pejam !
Alhamdulillah saat ini Al-Muhyi masih mencelikkan penulis sesudah pejam berjam-jam.
Alhamdulillah sudah 19 tahun Ar-Rahman An-Nafi' memberikan kurnia-Nya pada penulis.

Penulis sedar, penulis masih muda tambah mentah lagi kurang pengalaman. Namun, apa salahnya kali ini penulis ingin berkongsi
sedikit perkara khusus buat saudara² atau adik² yang masih bersekolah (Lebih khusus : saudara²/adik² SMIH) yang penulis sangat sayangi.

Kali ini penulis mahu sentuh satu hal sahaja. Kerana akhir² ini ramai yg bertanya dan risau tambah gelisah akan hal ini. Maklumlah, bahang
result spm masih terasa. Ada yang cepat terkesan lantas gelisah tak terarah. Fikiran entah ke mana dan macam² lagi yang berbentuk pasif.

++++++++++++++++++++++


Saudara, sahabat, adik² yang disayangi,
Akhir-akhir ini, banyak cerita² 'menarik' dari tempat lahirnya penulis yang didengari. Memang sungguh mencuit hati. Apalagi bila penulis sendiri memerhatikannya dengan mata kepala sendiri tempoh hari saat keluarnya keputusan SPM ujian duniawi ini.
Bukan cabaran dan tribulasi yang saudara semua hadapi yang mencuit hati penulis, tapi peranan dan sikap sebahagian daripada saudara.

Bukan apa, penulis sedikit risau kalau-kalau saudara tersilau. Tersilau dengan apa? Tak lain tak bukan kilauan yang senantiasa saja menggugat dan meresahkan diri.

Apalagi kalau bukan jawatan rasmi, pangkat, perihal persatuan, kelab, organisasi, Akademik. Takpun isu-isu remeh dan lain lain yang beraneka bentuk yang dipandang gah itu.
Yang hakikatnya bukan perkara asasi. Yang senantiasa sahaja menyibukkan diri kita dengan perihal yang tidak beri saham besar pun pada diri dan perkara yang UTAMA iaitu Dakwah dan Tarbiyyah.

+++++++++++++++++++

Saudara,
bukan penulis mengabaikan kepentingan hal tersebut.
Cuma sering kali penulis melihat mereka yang terlalu sibuk fokus akan pelajarannya, examnya, persatuannya, kerja-kerja rasminya, program² mega, TERSILAU.

Begitu asyiknya mereka dengan hal tersebut
sehinggakan mereka tidak nampak dan sedar akan perkara yang terpenting, iaitu Hubungan Baik Dengan Allah ! dan juga yang paling penting, bahkan fardhu kepada segala yang fardhu (bak kata ulama'), Dakwah.

Jujur penulis katakan. Waktu sekolah dahulu, Memang penulis langsung tidak menyesal bahkan bahagia tak terhingga apabila seharian suntuk fokus hidup dalam 'kancah' dakwah dan tarbiyyah itu.
+++++++++++++++++++++++

Saudara,
Penulis faham, lagi² saudara masih dalam fasa persekolahan, saudara semua akan mempersoalkan, di mana letaknya pelajaran akedemik? PMR,SPM dan segala macam exam itu?

Mungkin tak salah untuk penulis kongsikan secebis pengalaman kerdil penulis. Bukan untuk menunjuk² apatah lagi takabbur. Tetapi untuk kebaikan kita bersama. Untuk Agama kita, Islam.

Penulis mulakan dengan kisah sewaktu 'muda²' tingkatan 1 kelas tahfiz dahulu. . Boleh dikatakan penulis ini bebal/lembab/sengal. Jauh Panggang dari api, memang muka tak ada harapan nak habis. Surah al-fajr pun banyak kali ditolak ustaz. 5 hari baru lepas. Tak hairanlah rakan² penulis tak habis² menggelakkan.

Nah, dalam masa yang penulis sendiri tak menjangka, setahun 2 bulan dapat menamatkan hafazan 30 juzu' Al-quran.

Ini pula kisah saat tingkatan 3 dikala bahang PMR.
"Mad, ko tak habis² liqo' liqo' liqo'.. mana akademiknya??" kata rakan intelek sekelas bernada perli kepada penulis dan rakan² yang tak habis² liqo di malam hari. Memang ketika itu prestasi akademik penulis tidak dihiraukan. Asal boleh hidup cukuplah.

Nah, keluar saja result PMR, alhamdulillah 9A dalam tangan. Sampai sekarang rakan penulis itu tak berani nak kata apa² lagi tentang liqo²/dakwah² ini.

Ini pula kisah menengah atas.
Jujur penulis katakan, sejak awal tingkatan 4 sehinggalah trial SPM, keputusan cukup² untuk 'hidup'. Warna merah jangan ceritalah. selalu saja menghiasi buku rekod. 'Cantik' malahan, bervariasi warna. Ketika itu memang penulis dan sahabat² 'mabuk dakwah'. Selama setengah tahun, lebih kurang 10 kali penulis ke kelas prep. (ini jangan tiru ! amalan tidak sihat)

Sudah beberapa kali juga dipanggil personal oleh guru², ditegur akan masalah ini. Lagi-lagi bila memegang jawatan rasmi yang konon² besar itu. Orang kata takut² mencemarkan nama sekolah. Takut² jadi contoh buruk pada orang lain. *terima kasih guru kesayangku.maaf tak terkira.

Setahu penulis, memang tidak pernah dalam sejarah sekolah, jawatan yang konon² tinggi ini dipegang oleh orang cukup² makan markah examnya bahkan fail selalu seperti penulis.

"K.U dari dulu sampai tahun lepas(06/07) semuanya ok². score SPM. Ko mad? ha ha ha.."
Perli seorang rakan penulis sebelum SPM.

Ya, penulis tidak bohong. Memang ada rakan penulis yang pernah berkata sedemikian pada penulis.
Memang penulis agak 'terasa' bila rakan² mempersoalkan akan hal ini. Tak habis² membandingkan akademik penulis dengan senior² sejawatan sebelum ini.

Nah,
dengan Izin Allah,Kuasa Allah, keputusan cemerlang terpampang atas slip SPM sebenar.(tidaklah sehebat saudara/ramai sahabat² lain) Jujur, penulis terkejut. Yalah, memang penulis tidak menjangka.Alhamdulillah. Syukur pada As-Syakur.
Tak pernah² sebelum ini mendapat lebih 5A ataupun 6A seingat penulis sejak awal tingkatan 4. Trial pun 5A saja dan seperti biasa ada juga yg terhias merah di situ, seolah penyeri buku rekod.


Saudara, sungguh semua pengalaman kerdil penulis ini sangat² memberi penulis tak terbilang pengajaran :-
  1. Hubungan Baik Dengan Allah memang sangat² penting. Kalau kita boleh percaya dengan Ohm's Law, Lenz's Law dan macam² law itu. Kita patut lebih yakin akan Allah's Law ini : Kita tolong Allah, Allah tolong kita. Memang benar, takkan berubah selamanya. Ini satu hukum tetap !
  2. Dakwah no.1 . Ya benar, dakwah nombor pertama, yang utama! Ini tak bermakna penulis memandang enteng dan meremehkan urusan² lain. Sibukkan diri kita dengan dakwah! Seimbangkan juga yang lain. Ia ada haknya juga.
  3. Nahnu Duah Qabla Kulli Syai-in. Jangan Tersilau.
  4. Peperiksaan. Tak kiralah SPM atau apa sekalipun. Bukan pengukur sebenar kebijaksanaan dan ketinggian ilmu seseorang. (Contoh mudah :Penulis sendiri hakikatnya tidak faqih lagi ilmu Kimia fizik syariah dan bermacam² itu meskipun mendapat A1).
  5. Apa yang jernih boleh diambil, yang keruh terus buang! ini nasihat tegas. Asbab kejayaan sangat² banyak. Ambil sebanyaknya !

Maaf ya, banyak lagi yang penulis tak sempat tulis waktu ini. Mungkin bersambung ?
Mungkin juga saudara boleh kongsikan pengajaran?? ruangan comment sudah tersedia..kebaikannya untuk sendiri juga, dan agama yang disayangi. Kerana Allah S.W.T.

Kongsikan sahaja, usah malu usah simpan. Nanti Basi, aniaya diri.

Assalamualaikum..

Thursday, 12 March 2009

Janji Allah, Saya Yakini !

Subhanallah, Alhamdulillah, AllahuAkbar!

Terbukti, Allah sesekali takkan memungkiri janji-Nya.
Terbukti, Allah Maha berkuasa Atas segala Sesuatu.
Terbukti, Allah Boleh menjadikan sesuatu yang mustahil kepada tidak mustahil
Ya, penulis bersaksi dengan Nama Allah Yang Maha Besar, Allah S.W.T adalah Tuhan sekalian Alam Yang MAHA BERKUASA ATAS SEGALA SESUATU !

Alhamdulillah. Memang kalau ikutkan logik akal manusia intelek, ataupun mungkin kalau ikutkan pandangan dan ramalan pakar-pakar akedemik dan pakar-pakar motivasi 'berlian', fazli yusuf mahupun yang bermacam-macam itu, penulis takkan mampu mendapat keputusan SPM sedemikian rupa.

Namun, Kuasa Allah membatalkan teori-teori aqal manusia.
Inilah kuasa Allah yang telah membatalkan hukum fizik/kimia yang telah selamatkan Nabi Ibrahim dalam Api menyala.
Maha Suci Allah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu..


"Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah,
Dan aku bersaksi, Nabi Muhammad utusan Allah"


"Hai orang-orang yang beriman! Kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan mengukuhkan tegakmu.
(Muhammad : 7)

Janji Allah, saya yakini !

*terima kasih kepada saudara semua yang menjadi salah satu daripada asbab kejayaan penulis di dalam ujian kerdil ini.

+++++++++++++++++++++++


Lampiran


KEPUTUSAN SPM 2009-03-12SEKOLAH MENENGAH ISLAM HIRA’

Jumlah ABil. Pelajar
12 A3
11 A5
10 A3
9 A3
8 A4
7 A7
6 A3
5 A4
4 A6
3 A3
2 A7
1 A1


MATAPELAJARANPERATUS %
BAHASA MELAYU100
BAHASA INGGERIS 1119100
BAHASA INGGERIS 1119C89.2
PENDIDIKAN ISLAM100
SEJARAH 100
MATEMATIK98.2
SAINS100
BAHASA ARAB TINGGI96.4
MATEMATIK TAMBAHAN83.9
PERINSIP AKAUN96.0
FIZIK100
KIMIA100
BIOLOGI100
TASAWWUR ISLAM100
PENDIDIKAN AL-QURAN DAN SUNNAH100
PENDIDIKAN SYARIAH ISLAMIAH100
ENGLISH FOR SCIENCE AND TECHNOLOGY100

Monday, 9 March 2009

Saya dilamun Chinta !



"Duhai kekasihku..

Kini,
Daku mengerti mengapa sahabat akrabmu Abu Bakar As-Siddiq ra menangis sekuat tenaga sehingga Ia jatuh pengsan tatkala mendengar pengakuanmu bahawa saatmu meninggalkan beliau telah pun hampir.

Kini, daku mengerti mengapa Ali r.a menggeletar tubuhnya tatkala mendengar khabar saat pemergianmu hanya tinggal beberapa waktu sahaja.

Kini, daku mengerti mengapa betapa Umar Al-Khattab r.a si gagah perkasa tatkala kewafatanmu menghunus pedangnya dan berdiri sambil berteriak,"Barangsiapa mengatakan Rasulullah s.a.w. telah wafat,aku akan memenggal lehernya ! Sesungguhnya beliau sedang mengunjungi Rabb-nya sebagaimana nabi Musa a.s. menjumpai Tuhannya di gunung Thur."

Kini, daku mengerti mengapa Muaz b. Jabal nun jauh di negeri Yaman menjerit sehingga tidak sedarkan diri bila mendapat khabar melalui mimpinya tentang kewafatanmu jauh ratusan batu dari tempatnya.

Kini, daku memahami perasaan Bilal r.a. Betapa pilu hatinya sehingga tidak mampu meneruskan azannya lantaran sebak tak terkata bila hendak menyebut namamu.."

Duhai kekasihku Nabi Muhammad S.A.W, daku mencintaimu setulus hati..."

-Kekasihmu, Ahmad ibnu Khairuddin-
12 Rabi'ul Awwal 1430
(wah! sudah lama engkau pergi !)




+++++++++++++++++++++++++++++++++++++



Subhanallah.
Walau tak pernah bersama mahupun melihat wajahnya, Cinta penulis padanya kian menjadi-jadi. Apalagi bila akhir-akhir ini penulis asyik menelaah kisah-kisah hidupnya. Cukup kisah-kisah benar tentang dirinya membuatkan hati penulis benar benar jatuh cinta padanya. Memang kalau ikutkan hati mahu memeluk erat tubuhnya sekarang juga !

Penulis akui,
Mana-mana kisah di dunia ini tak dapat menandingi kehebatan kisahnya. Lihat saja kisah-kisah tokoh seluruh dunia dari kurun lampau hinggalah terkini. Takpun cuba lihat movie² atau filem² box office yang memenangi berlambak² anugerah oscar itu, memang mustahil penulis dan saudara semua menemui kisah yang dapat menandingi kehebatan kisahnya. Tak hairanlah jika sang kufur pun mengi'tirafnya no.1 tokoh paling berpengaruh.

Nah, inilah kehebatan kekasih tercinta penulis. Jangan cemburu duhai manusia-manusia jalanan nan murahan semua(bukan saudara, harapnya) !



Subhanallah. Maha suci Allah.
Segala puji bagi Allah S.W.T yang telah mengurniakan kita cinta pada-Nya dan kekasih-Nya Rasulullah S.A.W

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1551 :
Dari Anas r.a.: Ada seorang laki-laki menanyakan kepada Nabi s.a.w. mengenai kiamat. Katanya: "Bilakah hari kiamat?" Beliau bersabda: "Apakah yang telah engkau siapkan untuk hari itu?" Katanya: "Tiada suatu pun selain mencintai Allah dan RasulNya". Beliau bersabda: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" Kata Anas: Belum pernah kami gembira seperti kegembiraan kami kerana mendengar sabda Nabi s.a.w.: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" Kata Anas: "Saya mencintai Nabi, Abu Bakar, dan Umar dan saya mengharapkan kiranya saya bersama mereka kerana mencintai mereka, sekalipun saya belum beramal serupa amal mereka".

Assalamualaikum w.b.t

*Kita seronok makan sedulang bersama sahabat rapat, cuba bayangkan kita dapat makan sedulang bersama Rasulullah..
*Cuba bayangkan tatkala kita lemah, Rasulullah memberi kata-kata semangat pada kita seperti mana yang diterima Abu Bakar sedang mereka berdua-duaan di gua Thur..



-Sahabatmu, Ahmad ibnu khairuddin-
Keramat, Kuala Lumpur

  © Blogger template 'Portrait' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP