Saturday, 28 February 2009

Saudara, jangan pesimis !


* Posting kali ini sebenarnya khas buat sahabat penulis. Yang penulis sangat-sangat rindui. Yang sebelum ini telah lama hidup berjuang bersama dan kini sudah berjauhan, berjuang di medan masing-masing...Bermacam-macam khabar yang penulis dengarkan. Ada yang sibuk dengan dunianya, ada yang futur, ada yang kosong-kosong sahaja. tidak kurang juga yang masih cekal, tetap tegar berjuang mencapai misi yang suci murni ini.

tak salah kalau saudara semua mahu membaca.. mungkin kita juga bisa bersahabat?


+++++++++++++++++

Saudara,
Detik waktu terus berjalan, berhias gelap dan terang. Suka dan duka, tangis dan tawa tergores bagai lukisan. Seribu mimpi berjuta sepi, hadir bagai teman sejati
Diantara lelahnya jiwa dalam resah dan air mata, ingin penulis sampaikan kepada saudara sebuah luahan suara hati yang telah lama tersimpan di lubuk sanubari.


Saudara yang dicintai,
kalau hanya melayani emosi, sudah lama air mata ini membasahi bumi tak henti-henti.
Ya, memang seringkali kegundahan hati menyapa diri.

Ya lah, mana mungkin manusia biasa sukakan perpisahan. Mana mungkin manusia biasa mendambakan kesedihan. Mana mungkin seseorang bahagia bergembira sedang sahabat akrabnya menderita tak terkata. Mana mungkin penulis tidak merasai hakikat ini, penulis juga punyai emosi.

Namun,
Pena telah kering, catatan telah diangkat, kejadian sudah ditentukan, dan taqdir telah ditulis.
Tiada sesuatu pun yang menimpa, kecuali apa-apa yang telah ditetapkan Al-Qadir bagi penulis dan juga saudara.

Manusia yang cerdas nan tangkas dan berani mengubah kerugian menjadi keberuntungan. Sedangkan manusia yang bodoh lagi penakut sahaja menjadikan satu musibah menjadi dua musibah.

Saudara,
jika kita tertimpa suatu musibah, maka lihatlah sisi cerah darinya !

Apa saudara semua tidak pernah mendengar kisah-kisah sang perwira, hero kita?

Imam Ahmad b. Hambal dipenjara dan beliau menjadi Imam Ahli Sunnah. Ibnu Taimiyyah dipenjara, maka beliau menghasilkan dari balik jeruji penjara itu ilmu yang banyak. As-Sarkhasi dihempaskan ke dalam sumur mati, beliau berjaya mengekuarkan sebuah kitab dua puluh jilid dalam ilmu Fiqih. Ibnu Atsir mengalami kelumpuhan, tetapi beliau menulis kitab Jami' Ushul Wan-Nihayah yang termasuk kitab yang paling terkenal dan paling bermanfaat di bidang hadith!

Ibnu Jauzi diusir dari kota Baghdad dan beliau memperbaiki tujuh macam qira'at. Malik b. Ar-Raib menderita demam yang mematikan, lalu ia meluncurkan untuk alam semesta ini sebuah gubahan syair yang memukau yang dapat menandingi seluruh buku-buku penyair di daulah Abbasiyah. Anak-anak Abi Dzaib Al-Hodzali meninggal dunia, maka ia mengingatkan mereka dengan syairnya dan memukau kebanyakan ulama' sehingga sejarah pun bertepuk tangan atas kehebatannya.

Lebih dekat lagi, Ustaz Syed Qutub, juga dipenjara diseksa. Lihatlah hasil tafsir Fi Zillal nya ! yang sekarang ini berharga ribuan ringgit Malaysia lengkap semuanya. Belum lagi cerita sumbangan Kitab ini kepada sistem tarbiyyah di Malaysia ini.
Pejuang Hamas dan rakyat-rakyat Palestin. Dikepung disekat dari pelbagai cabang. Lihat sahajalah berapa ramai pejuang-pejuang lahir hasil dari Tarbiyyah Islamiyyah dari sang murabbi. Yang mana pejuang-pejuang inilah yang berjaya memerangi sang yahudi dan mendapat sokongan majoriti rakyat. Inilah usaha mereka dalam keadaan sulit yang melanda negeri mereka. Maaf, negeri kita juga!

Saudara,
apabila seseorang menghidangkan kepadamu segelas rasa jeruk nipis, maka tambahkanlah satu senduk gula untuknya.
Apabila ada yang memberimu seekor ular, maka ambillah kulitnya yang berharga dan buanglah sisanya.
Apabila saudara digigit seekor kala jengking, maka ketahuilah bahawa ia sedang memasukkan sebuah penangkal untuk menghadapi racun ular.

Saudara,
Mungkin saudara membenci sesuatu, sedangkan Allah menjadikan kebaikan dalamnya !

Saudara, jangan sesekali pesimis, tapi OPTIMIS !

Wassalamualaikum w.b.t


-Sahabatmu, Ahmad ibnu Khairuddin-
-Ipoh, Perak-

0 comments:

  © Blogger template 'Portrait' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP