Thursday, 29 December 2011

Membina Tiang Kehidupan


Petang kelmarin, Dr. Sa'id masuk ke kelas dengan berwajah muram. Tidak seperti biasa.

"Hari ini kita akan bincangkan tentang kewafatan Nabi SAW"

Sesuai dengan hari terakhir pembelajaran Sirah Nabawiyyah.

Dengan penuh penghayatan, beliau kisahkan dengan terperinci detik pemergian Rasulullah saw.
Lama-kelamaan, kelihatan pelajar sudah berkaca-kaca matanya. Tak kurang juga yang memejamkan mata menahan sebak sambil berzikir selawat ke atas baginda saw.
Saya juga turut 'tertewas'. Pertama kali merasai perasaan yang sukar ditafsirkan bila mendengar Sirah secara terperinci dari Ulama' Sirah, Ph.D lulusan Jami'ah Urduniah ini.

+ + +

Banyak yang dapat difahami dari peristiwa pemergian Nabi Muhammad saw. Cuma di sini hanya satu yang ingin dinukilkan iaitu mengenai wasiat terakhir Baginda. Sudah maklum, wasiatnya yang masyhur adalah sembahyang. Betapa pentingnya perkara ini sampai beberapa kali Nabi menyebut " الصلاة..الصلاة..الصلاة.." sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Namun, ada perkara kedua yang diwasiatkan Nabi yang jarang sekali diketengahkan oleh ustaz-ustaz (setakat yg saya dengari sebelum ini) iaitu "Berwasiatlah (Berpesan-pesanlah) kebaikan kepada para wanita".

Usai, saja kelas. Saya mengambil kesempatan berjumpa Dr. Sa'id di pejabatnya.
Beliau yang sudah maklum akan perkahwinan saya tak lama lagi telah mengkhususkan dan menerangkan lagi kepada saya akan fiqh-fiqh dalam sirah yang berkaitan dengan wanita dan perkahwinan.

+ + +

Beliau menerangkan bahawa tiang agama itu Solat. Maka tiang kehidupan itu adalah wanita.
Betapa pentingnya perhatian terhadap wanita sehinggakan ia disebut-sebut oleh baginda di saat genting  sakaratul-maut baginda saw.

Lihatlah bagaimana Nabi telah mendidik isterinya dengan didikan terbaik. Beliau mendidik bukan hanya dengan lisan, tetapi dengan amal. Segala perbuatan baginda adalah didikan buat isterinya. dari kerja-kerja rumah hinggalah jihad di jalanNya. Semuanya memberi kesan besar kepada ke-solehah-an dan produktifnya mereka.
Lihatlah Aisyah r.a yang berani menyertai perang Uhud, juga telah menjadi wanita yang paling banyak meriwayatkan hadith.

Dr. Sa'id juga berpesan kepada saya berulang kali buat kali terakhir sebelum kami berpisah :
" La taghdhob! " (Jangan marah).

Alam perkahwinan memerlukan kesabaran yang tinggi. Saya agak tersentap kerana beliau bukan orang pertama yang menasihatkan saya tentang kesabaran bila tempuhi alam perkahwinan. Dr. Usamah (pakar bahasa dan usul fiqh) pagi tadi di pejabatnya turut menasihatkan saya supaya banyak bersabar bila berkahwin nanti.

Kenapa? Wallah A'lam. Saya belum tempuhi lagi.

+ + +

Sengaja saya ingin kongsikan perkara ini. Bukan apa, kerana akhir-akhir ini saya lihat beraneka rupa reaksi kenalan-kenalan terhadap isu kahwin.
Ada rakan saya jauh di malaysia meminta saya respon akan perkara ini di blog tapi baru sekarang baru sempat menulis.


Pertunangan

Mungkin ianya heboh bila wujudnya video proposal tunang yang 'sweet sgt' tu. 
Rasa geli hati pula bila ramai yang share video tersebut. Turut kasihan bila melihat kenalan yang sibuk membincangkan dan memberi respon tidak matang terhadap isu remeh sebegitu. Ada yang setuju dan ada tak setuju.
Ada juga dalam kes yang lain, saya dengar ada yang terasa hati bila kawannya menyembunyikan hal pertunangnnya. "Memberi kesan pada ukhuwwah" katanya.

Walhal, isunya simple sahaja. Prinsip orang mukmin, dia hanya buat apa yang perlu sahaja. Orang tak perlu tahu, buat apa nak tahu.
Tak perlu kita sibuk berhujah dari segi hukum sembunyikan pertunangan ataupun tidak, itu semua sudah maklum. Yang perlu dipersoalkan adalah, perlu kah sibuk meng-'sweet sweet'kan diri terhadap tunang dikhalayak ramai (facebook, video dan sebagainya). Pelik juga bila lihat ada hamba Allah yang post gambar dan buat caption "khas untuk tunangku" dan bermacam lagi adegan pelik dan lucu.

Macam-macam. Memang macam-macam. Sedangkan banyak lagi isu di luar sana yang perlu diambil perhatian.


Pemilihan Pasangan Hidup


"Macam mana boleh pilih dia padahal tak kenal dia sebelum ni??" 
"Penat-penat hensem, takkan nak dapat isteri yang tak lawa"

Inilah sebahagian yang saya dengari dari kenalan jauh saya. Memang inilah perkara yang sering dirisaukan oleh kebanyakan anak-anak muda yang belum berkahwin.

Ramai juga yang terkejut dan persoalkan pilihan yang telah saya buat ini. Sudahlah sebelum ini. tak pernah kenal bakal pasangan. Tup tap tup tap, nak kahwin dah.

Jawapannya mungkin sudah saya jawab dalam post lama dahulu kala 

Ya, akhirnya kita perlu mengakui kelemahan diri dan perlu meletakkan kepercayaan pada orang yang kita percayai. (Kepercayaan terhadap Allah memang tak patut dipertikaikan lagi).
Orang tengahlah (ibu bapa, keluarga dll) yang dapat mengenalkan kita dengan lebih mendalam akan seseorang itu.

Sebab apa saya katakan sebegini, kerana mungkin ramai lagi yang lebih layak dan sesuai untuk kita yang  tak diketahui pun kewujudannya sebagai wanita yang solehah, sekufu dengan kita. Yang kita nampak hanyalah perempuan-perempuan yang menonjol yang aktif dalam kelas, persatuan, juga facebook !

Jujurnya, sebelum ini saya langsung tak tahu menahu pun, apatah lagi nak terpikat dengan wanita yang bakal saya kahwini. Namun kini saya syukuri kerana dikurniakan orang yang bisa mengenalkan saya terhadapnya.
Jangan risaulah, Islam tak jumud sampai tak membenarkan secara total mengenali lawan jantina yang bakal dikahwini.


Tanggungjawab Ketua Keluarga

Mungkin ketika ini ramai yang seronok sangat dengan bab kahwin. Dalam seminggu dua ini, tak habis-habis status, notes, gambar mahupun link-link sweet terselit di news feed facebook.

Tetapi adakah kita sedari yang ianya bukan sekadar kemanisan? Malah dibebani tugas dan tanggungjawab yang berat. Seorang suami tak dapat tidak wajib mendirikan tiang kehidupan sebaiknya. Kalaulah tiang itu rapuh, maka rapuhlah generasi-generasinya. Maka rapuhlah kehidupan umat ini.
Sebab itulah Rasulullah masih mengingatkan kita tentang hal ini walaupun beliau tengah sakit menghadapi sakaratul maut.

Subhanallah.

+ + +


*iklan : pada kenalan-kenalan yang inginkan kad tapi belum lagi 
memberikan alamat lengkap rumah kepada saya, sila pm di fb.

Thursday, 15 December 2011

Langkah Bermula : Beyt Muslim

"Selautan emas dan segunung permata bukan tandingan kerana diri wanita solehah itu lebih tinggi nilainya di kaca mata Islam. Perhiasannya tidak akan mengaburi iman sesorang yang memandangnya malah akan terus terpelihara.Menjadi solehah bukan hanya pada diri kita tetapi untuk seluruh umat kerana ia menggambarkan kepada masyarakat umum hakikat peribadi seorang wanita muslim. Mungkin ini adalah usaha kecil dalam menyucikan dan mengangkat nama Islam disamping menolak segala sangkaan yang sebelum ini penuh dengan fitnah.
Qudwah (teladan) adalah salah satu cara dalam dakwah yang paling berkesan tanpa menyakiti mana-mana pihak malah lebih mengesani."

Teman hidup di dunia dan di syurga
”Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rizki yang mulia (surga)” Surah an-Nur ayat 26.
Ini janji Allah dalam menentukan pasangan hidup untuk hamba-hambaNya.
Perkahwinan merupakan satu wadah dalam menyempurnakan separuh daripada agama kita, dan sudah pasti kita mengharapkan pasangan hidup yang membantu dan bersama kita untuk menyempurnakannya sebelum bertemu Allah dan meneruskan kehidupan di syurga kelak. Impian yang besar ini tidak mungkin akan menjadi realiti tanpa apa-apa persediaan."
           -Wan Nabilah. Irbid, Jordan-
+ + +





Firman Allah swt :
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Ar-Rum : 21)

Hadith Ar-Rasul saw:
“Apabila seseorang hamba telah berkeluarga, bererti dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya. Maka takutlah kepada Allah terhadap separuh yang lain.”
(Riwayat At-Tabrani)

+ + +

Saya, Al-Faqir ila Allah, dengan rasa rendah dirinya mengumumkan bahawa saya akan mendirikan Beyt Muslim dengan Ukhti Wan Nabilah binti Wan Jamil, Tahun 3 Perubatan di Jordan University of Science and Technology (JUST).

Insya Allah Majlis akad nikah dan walimah akan berlangsung di Malaysia pada 23/01/12 di Alor Star, Kedah dan pada 28/01/12 di Johor Bahru. Kalian semua dijemput hadir beramai-ramai bagi memberkati lagi majlis.

Doa sahabat-sahabat, pakcik makcik dan guru-guru semua yang saya hormati sekalian amat kami harapkan bagi memudahkan segala urusan sekaligus mendapat keredhaanNya.

Wassalamualaikum wbt.

maklumat lanjut : ahmad3nabilah.blogspot.com

  © Blogger template 'Portrait' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP