Friday, 13 July 2012

Memahami Perubahan

Alhamdulillah.
Di samping liku-liku yang menemani sepanjang perjalanan tahun dua pengajian di Universiti Yarmouk, banyak tak terkira nikmat yang ArRahman hadiahkan.
Diizinkan melangkah ke gerbang perkahwinan, mendapat mumtaz di kuliah, sehinggalah baru-baru ini, mendapat hadiah dari seseorang yang sponsor saya ke Mesir untuk sertai conference bertemakan 'Taghyir' (Perubahan) yang disampaikan oleh ulama' dan pemikir Islam yang masyhur.

Saya patut rasakan nikmat yang dikurniakan adalah untuk membantu ummah yang kian menjadi-jadi diseksa dibunuh di Syria, Myanmar, Palestine, dan lain lagi. Turut terseksa ummah di tanah air sendiri yang saban hari diserang bertubi-tubi dengan serangan moden yang sangat halus tanpa disedari berupa hedonism, liberalism, pluralism, yang akhirnya bisa membawa manusia bertuhankan manusia itu sendiri.

* * *

Kali ini, teringin pula berceloteh pasal taghyir (perubahan). Lagi-lagi bila baru balik dari Mesir yang baru melalui satu perubahan dan juga baru habis 5 hari conference tentang 'Taghyir'.

Sehari sebelum ke Mesir, sempat meminta nasihat dari seorang Ulama' Tafsir Jordan, As-Syeikh Dr Solah Al-Khalidi tentang taghyir. Juga sempat bincang tentang thaurah (merujuk kepada Arab Spring). Beliau dengan tenangnya menjawab thaurah merupakan salah satu daripada wasilah dakwah. Beliau juga menjelaskan bahawa gerakan islam di mesir yang menyokong thaurah itu pun tetap menguatkan pembinaan peribadi dan ummah. Langsung tak terpisah daripada perkara ini. Berulang kali beliau mengatakan pembentukan peribadi itu tidak terpisah, dalam apa jua keadaan dan marhalah.



+ + +

Di Conference, terasa sangat kerdil dan jahil bila dapati bahawa saya satu-satunya peserta Melayu, di tambah lagi dengan penyampai² yang cukup hebat seperti Syeikh Rasyid Ghanoushi, Syeikh Dr Abdul Karim Bakar, Syeikh Dr Salman 'Oudah, dan banyak lagi termasuk pemimpin gerakan islam dari Turkey (wakil AKP) , Arab Saudi, Algeria, Moritania dan banyak lagi. Memang terasa diri ini sangat jahil yang tak sabar nak menggarap segala mutiara yang ada.

Muktamar 4shbab Al-'Alami 2012

Tak reti untuk celoteh panjang², mungkin cukup bagi saya simpulkan kefahaman saya dari conference selama 5 hari ini dalam bentuk point-point penting :


1) Perubahan yang kita nak gapai adalah mengubah alam ini sehinggalah Islam menjadi 'Ustaz' bagi alam ini.
Kita sibuk-sibuk berdoa nak Redha Ilahi, tetapi sedikitpun tidak berjuang ke arah ini, kena sedarlah diri.

Syeikh Ghanoushi menegaskan kalimah 'بأنفسهم' dalam firman Allah yang bermaksud "Allah tidak mengubah sesuatu kaum sehinggalah....."(surah Ar-Ra'd : 11)  bermaksud 3 perkara iaitu :- merubah diri manusia itu sendiri, keadaan sekeliling dan juga realiti di bumi sekarang ini. Ia tidak terhad pada salah satu.

Sembang-sembang bersama Syeikh Rasyid Ghanoushi tatkala lunch selepas penyampaiannya

2) Syeikh Abdul Karim Bakar menjelaskan perubahan yang hakiki adalah yang berlaku bukan dengan tekanan. Taghyir tak sama dengan Taghayyur yang bersifat 'حتم' (tekanan/paksa). Taghyir yang dimaksudkan adalah 'مع الارادة' (dengan kemahuan). Ia mestilah berlaku mengikut sunnah perubahan alam itu sendiri. Maknanya tak lain tak bukan perlu fokus mendidik manusia secara berperingkat, di samping mengambil peluang yang ada dalam memudahkan proses perubahan tersebut.

3) Kini, mungkin ramai yang menyedari desakan Perubahan. Malangnya ramai juga yang tersilap memahami kaedah perubahan itu sendiri. Lebih malang lagi bila seseorang itu terlebih dahulu mencedok idea barat tanpa dipandu oleh Syara' yang hakikatnya sudah pun menjelaskan.

4) Ada juga yang selalu mengatakan seseorang itu terlalu simplistik, literalis, tak memahami situasi setempat. Namun tanpa disedari dia juga telah terjebak dengan kes ini. Salah satu contoh apabila dia melihat perubahan dan strategi yang dilaksanakan di negara seperti Tunisia, Mesir dan Turkey yang gerakan islamnya telah mendapat tempat di tampuk pemerintahan. Tanpa disedari dia dengan semudahnya meng'qias'kan dengan Malaysia dan mengusahakan perubahan di Malaysia mengikut acuan Turkey ataupun Tunisia atau lain-lain lagi. Timbul lah laungan seperti islamic secularism oleh pembawa perubahan di Malaysia yang seolah-olah sesuka hati meng-qiyas negara-negara hebat tadi dengan Malaysia.

5) Sepanjang conference dari hari pertama lagi, banyak kali menyebut perihal Malaysia. Malah seorang speaker dari Turkey menegaskan kepada saya secara direct bahawa Turkey bukan contoh kepada Malaysia. Satu isu yang ditegaskan (sampai beliau meninggikan suara) kepada saya adalah isu secularism dalam pemerintahan. Benda ini ramai orang salah faham dan mahu mencontohinya.

Hakikatnya AKP di Turkey sebenarnya terpaksa bermuamalah dengan secularism buat masa ini. Ia bukan matlamat. Malaysia, negara yang tidak pekat pun sekularismnya, bahkan mempunyai perlembagaan yang menjaga hak umat islam, buat apa nak berpatah balik menuju ke belakang mencontohi Turkey meraikan secularism? Kita maklum Turkey sangat pekat secularismnya, hatta sepanjang AKP yang terpaksa bermuamalah dengannya, terdapat 6 kali cubaan coup d'etat . Beliau juga menegaskan perubahan sedikit demi sedikit ke arah lebih baik sedang mereka usahakan. *Berita baik untuk tahun ini, secara rasminya, pembelajaran bahasa arab dapat dimasukkan dalam sistem pendidikan setelah bertahun-tahun disekat.


Sembang-sembang bersama salah seorang speaker dari Turkey (daripada 3 wakil dari Turkey). Beliau dengan penuh yakin dan berkarisma menerangkan tentang ekonomi Turkey. Umurnya baru 21 tahun. Merupakan pemimpin sebuah pertubuhan belia di Turkey.


6) Kita bukan hanya ingin menegakkan human right, good governance, kebebasan bersuara atau lain-lain istilah manis semata-mata. Bukanlah itu menjadi matlamat sebenar, bukanlah juga sebagai 'Tuhan' yang apa-apa hal dipersetujui oleh semua orang tak kira agama atas nama hak asasi manusia semata. Malangnya bila syariah hendak dimplementasi, ditolak ketepi.
Di mana ruang syara' bila manusia bertuhankan humanism? Matlamat kita perlu jelas, seperti mana dalam point no.1. 

7) Sempat juga berborak dengan seorang speaker, Dr Taufiq Muhammad (asal Algeria, menetap lebih kurang 15 tahun di Malaysia). Beliau menyatakan ketidaksetujuan terhadap BERSIH kerana tidak sesuai dengan rakyat Malaysia. Namun baginya Gerakan Islam yang menyokong BERSIH, adalah ijtihad masing². (*Saya tak mahu hurai panjang pasal BERSIH. Anda  lagi arif). Beliau juga memberi nasihat supaya tidak mudah mengecop orang (Liberalis, literalis, simplistik dan lain-lain).

8) Sepanjang conference juga, banyak kali saya dengar soalan-soalan berkaitan 'arab spring', 'revolusi', 'perubahan dengan kekuatan', apa syarat-syaratnya, apa disiplinnya, dan soalan lain yang sewaktu dengannya. Kesimpulan dari jawapan speaker² mengembalikan pandangan kita kepada  konsep asas perubahan.
Perubahan yang kita fahami  bukanlah datang secara drastik dengan cara revolusi kekerasan, tekanan atau sewaktu dengannya.
Ya, mungkin kita boleh buat perkara tersebut seperti demonstrasi atau revolusi. Namun kita perlu ingat, pembinaan dari bawah wajiblah dengan skala yang besar, barulah 'perubahan dari atas' boleh dibuat namun masih perlu terpandu mengikut disiplin² tertentu.

9) Sempat saya bertanya speaker wakil Turkey yang menceritakan tentang sumbangan Fethullah Gulen dalam projek taghyir : "adakah revolusi di Mesir berjaya dalam mentaghyir & islah Mesir?" dan dijawab ringkas : "Sekarang kita tidak boleh nilai. Mungkin 5-10 tahun lagi baru kita dapat lihat" (jawapan lebih kurang)."

10) Bagaimana pemerintah itu ingin mengimplementasi syara' dalam sesebuah negara kalau rakyat sendiri tidak mahukan syara'. Ketuanan syara' dan kemahuan rakyat tidak dapat dipertemukan melainkan rakyat sendiri  terbimbing sepenuhnya dan inginkan syara'.

11) Kita juga perlu bezakan marhalah dan wasilah. AKP memerintah Turkey, An-Nahdhah menerajui Tunisia, Dr. Mursi menjadi Presiden Republik Mesir, bukanlah menandakan mereka kini telah capai pada peringkat Daulah Islamiyyah. Masih jauh lagi perjalanan menuju kemenangan Islam yang hakiki dalam sesebuah negara. Tidak relevan untuk menyatakan mereka telah mencapai daulah islamiyyah sedangkan masyarakat umum masih belum bersedia menerima sistem Islam sepenuhnya.

12) Akhirnya, kita perlu fahami bahawa methodologi perubahan yang diasaskan oleh Rasulullah saw itulah yang tepat, terbukti berjaya dan memberi kejayaan besar buat Islam.
Ia bermula dengan fokus pembentukan pemuda-pemuda sebagai asas yang kuat bagi sesebuah keluarga dan masyarakat seterusnya negara.
Adakah kita di Malaysia sudah melepasi marhalah ini? Ini satu persoalan yang patut perhatikan betul-betul supaya tidak silap pertimbangan dan langkah. Dan kalaulah pun dianggap sudah melepasi, adakah bermakna fokus pembentukan, pendidikan individu boleh ditinggalkan?

Bukanlah maksud saya penafian terhadap usaha-usaha membanteras korupsi dalam kerajaan, memperjuangkan negara yang adil dan sebagainya.
Maksud saya di sini adalah fokus dengan skala yang besar itu adalah pada pembentukan peribadi, jatidiri masyarakat, membimbing mereka memahami Aqidah & Syariah & Akhlaq Islam. Tak lupa juga, wajib bersih dari segala tektik-tektik kotor yang saling jatuh menjatuhkan golongan Islam :)


Wallah A'lam.
Segala kesilapan, dari diri saya sendiri. Akan terus dipelajari dan diperbaiki.

Thursday, 29 March 2012

Ringan atau Berat, Tetap Melangkah !

“Sorry syeikh, minggu ni ana busy sikit”


“Sorry la akhi, ana pening sikit semalam. Tak dapat nak prepare tugasan usrah”


“kau je lah yang buat, aku ada hal sikit”


“Malasnya pergi usrah, baik tengok ceramah kat youtube jek”


“Sori lah, next week ada exam”


“tak pe lah, solat sorang-sorang pun still sah jugak”

Inilah alasan-alasan ‘munasabah’ yang selalu kita dengari. Ya, memang selalu kita dengari kerana kitalah yang sering mengungkapkannya. Bermacam alasan yang tercipta sekreatif mungkin bagi memuaskan hati orang ramai.

Wahai diri yang beribu alasan,
Tidakkah kamu tadabbur Firman Allah swt ini ?

انْفِرُواْ خِفَافاً وَثِقَالاً وَجَاهِدُواْ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan ataupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (At-Taubah : 41)

As-Syahid Syed Qutub dalam Tafsir Fi Zilalnya menghurai ayat di atas : “Hendaklah kamu semua berangkat dalam apa jua keadaanmu. Berjihadlah dengan jiwa raga dan hartamu. Dan jangan mencari-cari alasan dan keuzuran serta jangan sesekali tunduk pada sebarang halangan dan justifikasi.”

Dalam ceramah, wacana, daurah mahupun halaqah usrah, mungkin sudah berulang kali dengari ayat ini. Namun bila hendak diterjemahkan pada amalan nyata, ternyata payah tak terhingga.
Ketika itulah bermacam-macam justifikasi diberi bagi mengundur diri. Apa yang dipelajari selama ini hanya tersemat kemas di hati, kekal sebagai teori.


Hakikat Orang Beriman
Ketahuilah, orang yang benar-benar beriman, adalah meraka yang terus melangkah biarpun rintangan-rintangan menghalang jalannya. Inilah yang diungkapkan Syed Qutub dalam Fi Zilal mengenai tafsir ayat ini :

وأدرك المؤمنون المخلصون هذا الخير , فنفروا والعوائق في طريقهم , والأعذار حاضرة لو أرادوا التمسك بالأعذار
“Orang mukmin yang ikhlas mengetahui bahawa inilah yang terbaik baginya. Maka dia terus melangkah berjuang sekalipun banyak rintangan  sepanjang perjalanannya, sedangkan banyak saja wujud keuzuran yang membolehkan dia mengundurkan diri kalau dia mahu.”

Sungguh, kehidupan ini memang tidak lari dari sebarang permasalahan. Kalau kita hendak mencipta alasan, memang tidak sampai sesaat pun kita boleh menge-list-kan pelbagai alasan. Pilihan terletak pada diri kita, hendak melangkah atau terus tunduk dengan pelbagai alasan.

Lihatlah Abu Bakar As-Siddiq, pagi hari menerima Islam daripada, terus melangkah laju dan pulang di petang hari dengan membawa 6 orang memasuki Islam. Tiada langsung alasan : “Ana masih baru belajar. Quran pun tak hafal lagi.Tak layak lah nak dakwah si dia”.

Lihatlah Sa’ad bin Mu’az, lantas berdakwah kepada kaumnya sebaik sahaja menerima hidayah Allah. Beliau hanya sempat hidup dalam keadaan Islam dan berjuang selama 6 tahun, namun kematiannya membuatkan Arasy Ar-Rahman bergegar !

Lihatlah Abu Ayyub Al Anshary, boleh saja beliau beralasan untuk berehat di rumah kerana umur tuanya melangkau lebih 80 tahun. Namun beliau tetap berjuang bersama tentera-tentera Islam hingga gugur syahid di tembok Kota Konstantinopel.

Penuntut Ilmu Yang Bermain-main
Syukur Alhamdulillah. Kali ini alasannya 'agak' munasabah kerana bukan lagi disebabkan isu-isu mentah seperti malas, berfoya-foya, gaming dan lain-lain.
Kali ini ia beralasan untuk mengenepikan dakwah ‘sebentar’ kerana mahu fokus pada pengajiannya ataupun fokus pada penyucian jiwanya.

Yang medic mungkin beralasan sibuk dengan lecture notenya, yang syariah sibuk dengan talaqqinya. Yang sibuk dengan jiwanya berjam-jam iktikaf di Masjid.
Lalu siapa lagi yang mahu sibuk dengan perjuangan? Siapa lagi yang mahu sibuk dengan menyampaikan islam kepada teman-teman? Siapa lagi mahu sibuk mendidik adik-adik?

Tidakkah kita terkesan dengan kisah Abdullah ibnu Al-Mubarak ?
Beliau berjaya dalam akademiknya, juga bersungguh dalam memperjuangkan islam.
Beliau merupakan ahli hadith yang thiqah lagi masyhur. Terbukti kehebatannya apabila dilihat banyak hadith riwayat beliau termaktub dalam Sahih Al-Bukhari & Muslim dan kitab-kitab sunan serta musnad. Malah beliau juga merupakan seorang pakar Fiqh yang bijaksana. Tidak lupa juga mempunyai harta kekayaan yang banyak dan dibelanjakan untuk membiayai pengajian pelajar-pelajar dan majlis ilmu di semua ibu negara Islam.

Dalam masa yang sama, sepanjang hidupnya beliau sentiasa sibuk dengan perjuangan berjihad di Jalan Allah. Saban tahun beliau berjihad di Rom sehinggakan beliau mempunyai tempat tinggal di Selatan Turki.
Beliau dengan berani menegur sahabatnya Al-Fudhail bin Iyadh yang juga merupakan seorang Ahli Hadith yang masyhur  dan thiqah kerana meninggalkan Jihad untuk beruzlah di Makkah.

Dengan beraninya beliau menyifatkan sahabatnya itu sebagai “Ahli Ibadat yang bermain-main !”. Ibnu Mubarak sama sekali tidak memandang keistimewaan Al-Fudhail sebagai Ahli Ibadat dan zuhud itu sebagai alasan untuk tidak berjihad.

Dengan sifat inilah Ibnu Mubarak diangkat sebagai pemimpin ahli hadith pada zaman itu. Bukan dengan sifat mementingkan diri sendiri. Bukan hanya syok sendiri fokus pada ilmu dan pembinaan diri semata.

Inginkah kita digelar sebagai ahli akademik atau ilmuwan yang bermain-main?

Ganjaran Hebat Menanti 
“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?”

“(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,”

“Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.”
(As-Soff : 10-12)

Wednesday, 4 January 2012

Menghargai Nikmat

Alhamdulillah, hingga kini At-Tawwab memberi peluang kehidupan untuk terus bertaubat. Malam hari bermimpi menghadapi mati, sangat menginsafkan. Memang waktu itu terasa sungguh sunguh sungguh menyesal kerana tidak sempat beramal sebanyaknya di samping segunung dosa yang tak sempat meminta ampunan dari-Nya.

Alhamdulillah kini sudah berada di fasa akhir semester satu tahun 2. Sudah 1 kertas final exam dilalui, kini berbaki 5 lagi yang perlu ditempuhi. Bila saya renungi semula subjek-subjek yang saya ambil sepanjang pengajian di sini, semuanya sesuai dengan situasi dan keperluan semasa. Terasa sangat bersyukur kerana Al-'Alim Al-Hakim telah menyusunnya dengan baik sekali walaupun memang luar perancangan saya.

Contohnya, pada tahun 1 yang lalu, saya terambil subjek Fiqh Jihad bersama doktor yang istiqamah dengan semangat jihadnya. Ia seiring dengan berlakunya peristiwa kebangkitan Arab di rantau ini. Banyak isu dapat difahami dengan jelas bila sudah diterangkan di dalam kuliah dari segi Fiqh-fiqhnya ataupun siyasah syar'iyyah.

Begitu juga dengan semester ini, Subjek Aqidah dan Fiqh Uqubat, keduanya seiring dengan isu panas yang melanda malaysia berkaitan aqidah umat islam dan juga Isu hudud yang sibuk dipolitikkan yang dibangkitkan semula pada akhir tahun 2011.
Banyak persoalan tentang hudud terjawab bila pensyarah menjelaskannya, lebih-lebih lagi beliau sendiri mengikuti juga perkembangan isu hudud di Malaysia.

Wallah A'lam.

Insya Allah, kali ini, tak banyak yang ingin dicoretkan. Hanya introspeksi diri yang sering leka dengan dunia.


+ + +


Cukup lihat pada diri,
Ketika nyenyak melabuh mimpi, adakah kita meminta agar jantung terus berfungsi?
Darah yang mengalir, adakah kita sentiasa berdoa agar terus mengalir ke seluruh badan?
Tulang yang tersusun rapi, adakah kita yang mengarahkan agar ia tumbuh membesar lalu berhenti membesar di sekian-sekian umur?

Begitu juga dengan anggota yang lain. Bukankah ArRahman telah menyempurna dan membolehkan ia berfungsi sebaiknya meskipun kita lupa untuk berdoa ataupun lebih dahsyat lagi, tidak pernah meminta sedemikian. Lihatlah, hingga kini Allah membiarkan kita hidup dengan penuh nikmat yang sempurna walau tak pernah kita perintahkan sedemikian.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" 
( ArRahman : 13)

+ + +

Apabila kita ketahui bahawa Allah swt mengharamkan syurga bagi mereka yang kufur, maka dari situ kita dapat fahami bahawa sebesar-besar nikmat adalah nikmat Islam.

Ya, Islam lah nikmat yang paling agung.  Perhatikan hadith Ar-Rasul saw :
 "من لقي الله لا يشرك به شيئاً دخل الجنة".
Barangsiapa yang menghadap Allah (mati) dalam keadaan tidak menyekutukanNya, nescaya akan masuk ke syurga.
Dengan tidak mensyirikkan Allah (Islam), Syurga tempat kita kembali.

Lihatlah juga Hadith Nabi saw ini : "من يرد الله به خيرًا يفقهه في الدين". Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, Allah akan memberikannya kefahaman terhadap Islam.

+ + +

Entahlah, mungkin ia sudah tepu dalam diri kita sejak lahir sehinggakan kita tidak menghargainya.

Jika para doktor ataupun osteopathist bisa memulihkan tulang yang patah, sedarilah Al-Jabbar pula bisa memulihkan hati yang seringkali patah tatkala dilanda pelbagai ujian.

Bahkan hakikatnya para doktor hanya menempatkan semula tulang di tempat asalnya lalu membalutinya dengan bahan-bahan yang tidak saya ketahui namanya. Lalu siapa lagi yang menyempurnakan pertumbuhan tulang tersebut kalau bukan Al-Jabbar. Maka sedarilah bahawa Dia lah satu-satunya yang bisa memulihkan segalanya, yang zahir mahupun batin.
Sedarilah bahawa Al-Wahhab telah menganugerahkan nikmat teragung ini pada kita, meskipun kita tak pernah mengharapkan sedemikian ketika lahir.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" 
( ArRahman : 13)





"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan 
(dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya." (Ad-Dhuhaa : 11)

*kredit buat akh hilmi atas gambar suasana senja di Hira' yang penuh dengan penghayatan~

Thursday, 29 December 2011

Membina Tiang Kehidupan


Petang kelmarin, Dr. Sa'id masuk ke kelas dengan berwajah muram. Tidak seperti biasa.

"Hari ini kita akan bincangkan tentang kewafatan Nabi SAW"

Sesuai dengan hari terakhir pembelajaran Sirah Nabawiyyah.

Dengan penuh penghayatan, beliau kisahkan dengan terperinci detik pemergian Rasulullah saw.
Lama-kelamaan, kelihatan pelajar sudah berkaca-kaca matanya. Tak kurang juga yang memejamkan mata menahan sebak sambil berzikir selawat ke atas baginda saw.
Saya juga turut 'tertewas'. Pertama kali merasai perasaan yang sukar ditafsirkan bila mendengar Sirah secara terperinci dari Ulama' Sirah, Ph.D lulusan Jami'ah Urduniah ini.

+ + +

Banyak yang dapat difahami dari peristiwa pemergian Nabi Muhammad saw. Cuma di sini hanya satu yang ingin dinukilkan iaitu mengenai wasiat terakhir Baginda. Sudah maklum, wasiatnya yang masyhur adalah sembahyang. Betapa pentingnya perkara ini sampai beberapa kali Nabi menyebut " الصلاة..الصلاة..الصلاة.." sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Namun, ada perkara kedua yang diwasiatkan Nabi yang jarang sekali diketengahkan oleh ustaz-ustaz (setakat yg saya dengari sebelum ini) iaitu "Berwasiatlah (Berpesan-pesanlah) kebaikan kepada para wanita".

Usai, saja kelas. Saya mengambil kesempatan berjumpa Dr. Sa'id di pejabatnya.
Beliau yang sudah maklum akan perkahwinan saya tak lama lagi telah mengkhususkan dan menerangkan lagi kepada saya akan fiqh-fiqh dalam sirah yang berkaitan dengan wanita dan perkahwinan.

+ + +

Beliau menerangkan bahawa tiang agama itu Solat. Maka tiang kehidupan itu adalah wanita.
Betapa pentingnya perhatian terhadap wanita sehinggakan ia disebut-sebut oleh baginda di saat genting  sakaratul-maut baginda saw.

Lihatlah bagaimana Nabi telah mendidik isterinya dengan didikan terbaik. Beliau mendidik bukan hanya dengan lisan, tetapi dengan amal. Segala perbuatan baginda adalah didikan buat isterinya. dari kerja-kerja rumah hinggalah jihad di jalanNya. Semuanya memberi kesan besar kepada ke-solehah-an dan produktifnya mereka.
Lihatlah Aisyah r.a yang berani menyertai perang Uhud, juga telah menjadi wanita yang paling banyak meriwayatkan hadith.

Dr. Sa'id juga berpesan kepada saya berulang kali buat kali terakhir sebelum kami berpisah :
" La taghdhob! " (Jangan marah).

Alam perkahwinan memerlukan kesabaran yang tinggi. Saya agak tersentap kerana beliau bukan orang pertama yang menasihatkan saya tentang kesabaran bila tempuhi alam perkahwinan. Dr. Usamah (pakar bahasa dan usul fiqh) pagi tadi di pejabatnya turut menasihatkan saya supaya banyak bersabar bila berkahwin nanti.

Kenapa? Wallah A'lam. Saya belum tempuhi lagi.

+ + +

Sengaja saya ingin kongsikan perkara ini. Bukan apa, kerana akhir-akhir ini saya lihat beraneka rupa reaksi kenalan-kenalan terhadap isu kahwin.
Ada rakan saya jauh di malaysia meminta saya respon akan perkara ini di blog tapi baru sekarang baru sempat menulis.


Pertunangan

Mungkin ianya heboh bila wujudnya video proposal tunang yang 'sweet sgt' tu. 
Rasa geli hati pula bila ramai yang share video tersebut. Turut kasihan bila melihat kenalan yang sibuk membincangkan dan memberi respon tidak matang terhadap isu remeh sebegitu. Ada yang setuju dan ada tak setuju.
Ada juga dalam kes yang lain, saya dengar ada yang terasa hati bila kawannya menyembunyikan hal pertunangnnya. "Memberi kesan pada ukhuwwah" katanya.

Walhal, isunya simple sahaja. Prinsip orang mukmin, dia hanya buat apa yang perlu sahaja. Orang tak perlu tahu, buat apa nak tahu.
Tak perlu kita sibuk berhujah dari segi hukum sembunyikan pertunangan ataupun tidak, itu semua sudah maklum. Yang perlu dipersoalkan adalah, perlu kah sibuk meng-'sweet sweet'kan diri terhadap tunang dikhalayak ramai (facebook, video dan sebagainya). Pelik juga bila lihat ada hamba Allah yang post gambar dan buat caption "khas untuk tunangku" dan bermacam lagi adegan pelik dan lucu.

Macam-macam. Memang macam-macam. Sedangkan banyak lagi isu di luar sana yang perlu diambil perhatian.


Pemilihan Pasangan Hidup


"Macam mana boleh pilih dia padahal tak kenal dia sebelum ni??" 
"Penat-penat hensem, takkan nak dapat isteri yang tak lawa"

Inilah sebahagian yang saya dengari dari kenalan jauh saya. Memang inilah perkara yang sering dirisaukan oleh kebanyakan anak-anak muda yang belum berkahwin.

Ramai juga yang terkejut dan persoalkan pilihan yang telah saya buat ini. Sudahlah sebelum ini. tak pernah kenal bakal pasangan. Tup tap tup tap, nak kahwin dah.

Jawapannya mungkin sudah saya jawab dalam post lama dahulu kala 

Ya, akhirnya kita perlu mengakui kelemahan diri dan perlu meletakkan kepercayaan pada orang yang kita percayai. (Kepercayaan terhadap Allah memang tak patut dipertikaikan lagi).
Orang tengahlah (ibu bapa, keluarga dll) yang dapat mengenalkan kita dengan lebih mendalam akan seseorang itu.

Sebab apa saya katakan sebegini, kerana mungkin ramai lagi yang lebih layak dan sesuai untuk kita yang  tak diketahui pun kewujudannya sebagai wanita yang solehah, sekufu dengan kita. Yang kita nampak hanyalah perempuan-perempuan yang menonjol yang aktif dalam kelas, persatuan, juga facebook !

Jujurnya, sebelum ini saya langsung tak tahu menahu pun, apatah lagi nak terpikat dengan wanita yang bakal saya kahwini. Namun kini saya syukuri kerana dikurniakan orang yang bisa mengenalkan saya terhadapnya.
Jangan risaulah, Islam tak jumud sampai tak membenarkan secara total mengenali lawan jantina yang bakal dikahwini.


Tanggungjawab Ketua Keluarga

Mungkin ketika ini ramai yang seronok sangat dengan bab kahwin. Dalam seminggu dua ini, tak habis-habis status, notes, gambar mahupun link-link sweet terselit di news feed facebook.

Tetapi adakah kita sedari yang ianya bukan sekadar kemanisan? Malah dibebani tugas dan tanggungjawab yang berat. Seorang suami tak dapat tidak wajib mendirikan tiang kehidupan sebaiknya. Kalaulah tiang itu rapuh, maka rapuhlah generasi-generasinya. Maka rapuhlah kehidupan umat ini.
Sebab itulah Rasulullah masih mengingatkan kita tentang hal ini walaupun beliau tengah sakit menghadapi sakaratul maut.

Subhanallah.

+ + +


*iklan : pada kenalan-kenalan yang inginkan kad tapi belum lagi 
memberikan alamat lengkap rumah kepada saya, sila pm di fb.

Thursday, 15 December 2011

Langkah Bermula : Beyt Muslim

"Selautan emas dan segunung permata bukan tandingan kerana diri wanita solehah itu lebih tinggi nilainya di kaca mata Islam. Perhiasannya tidak akan mengaburi iman sesorang yang memandangnya malah akan terus terpelihara.Menjadi solehah bukan hanya pada diri kita tetapi untuk seluruh umat kerana ia menggambarkan kepada masyarakat umum hakikat peribadi seorang wanita muslim. Mungkin ini adalah usaha kecil dalam menyucikan dan mengangkat nama Islam disamping menolak segala sangkaan yang sebelum ini penuh dengan fitnah.
Qudwah (teladan) adalah salah satu cara dalam dakwah yang paling berkesan tanpa menyakiti mana-mana pihak malah lebih mengesani."

Teman hidup di dunia dan di syurga
”Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rizki yang mulia (surga)” Surah an-Nur ayat 26.
Ini janji Allah dalam menentukan pasangan hidup untuk hamba-hambaNya.
Perkahwinan merupakan satu wadah dalam menyempurnakan separuh daripada agama kita, dan sudah pasti kita mengharapkan pasangan hidup yang membantu dan bersama kita untuk menyempurnakannya sebelum bertemu Allah dan meneruskan kehidupan di syurga kelak. Impian yang besar ini tidak mungkin akan menjadi realiti tanpa apa-apa persediaan."
           -Wan Nabilah. Irbid, Jordan-
+ + +





Firman Allah swt :
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Ar-Rum : 21)

Hadith Ar-Rasul saw:
“Apabila seseorang hamba telah berkeluarga, bererti dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya. Maka takutlah kepada Allah terhadap separuh yang lain.”
(Riwayat At-Tabrani)

+ + +

Saya, Al-Faqir ila Allah, dengan rasa rendah dirinya mengumumkan bahawa saya akan mendirikan Beyt Muslim dengan Ukhti Wan Nabilah binti Wan Jamil, Tahun 3 Perubatan di Jordan University of Science and Technology (JUST).

Insya Allah Majlis akad nikah dan walimah akan berlangsung di Malaysia pada 23/01/12 di Alor Star, Kedah dan pada 28/01/12 di Johor Bahru. Kalian semua dijemput hadir beramai-ramai bagi memberkati lagi majlis.

Doa sahabat-sahabat, pakcik makcik dan guru-guru semua yang saya hormati sekalian amat kami harapkan bagi memudahkan segala urusan sekaligus mendapat keredhaanNya.

Wassalamualaikum wbt.

maklumat lanjut : ahmad3nabilah.blogspot.com

Sunday, 27 November 2011

Menghijrahkan Generasi ini

Pendapat ulama', bukanlah hari kelahiran atau hari kematian merupakan satu tarikh yg sangat penting. Yang penting adalah tarikh perubahan sesuatu / seseorang itu ke arah yang jauh lebih baik. Lihat Saidina Umar. ra, sampaikan permulaan kalendar islampun dibuat dgn bermulanya fasa baru dlm islam iaitu peristiwa hijrah.

Bila terkenang peristiwa Hijrah nabi, terkenang pula peristiwa 'hijrah' pertama diri sendiri.

+ + +

Ketika itu alam sekolah menengah baru dijejaki, penuh jahiliyyah melanda diri.
Ayah sedaya upaya masukkan saya ke kelas tahfiz, malangnya sudah setengah tahun baru capai 7 muka surat al-baqarah, itupun setelah ditegur guru berkali-kali. Akademik pula banyak dapat D.
Habis masa dan duit lari tak kembali. Games, linkin park, bowling, perempuan-perempuan, semuanya menguasai diri.
Tak perlulah saya tuliskan terperinci di sini. Cukuplah rakan-rakan se'perjuangan' saya dahulu menjadi saksi.

Astaghfirullah.

Namun, ketika sedang syok dengan jahiliyyah itulah, ayah dan ibu menghantar saya jauh ke pelusuk kampung Jeram, Kuala Selangor.
Jauh dari rumah, jauh dari bandar, jauh dari peradaban moden, jauh dari arus globalisasi.

Dengan harapan melangit tinggi terhadap anak lelaki terakhirnya ini, mereka berdua sering menziarahi meskipun jarak jauh membatasi. Paling kurang pun 3 bulan sekali. Dan semestinya tak lupa stok makanan mengiringi di samping nasihat-nasihat motivasi.

Di bangunan inilah, saya dimarahi dan ditampar ustaz, ditumbuk, disepak, dibelasah senior.
Tak lain tak bukan untuk merubah saya yang degil & nakal penuh jahiliyyah.

Ingat lagi ketika mana dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru  selepas berakhirnya SPM. Waktu itu, hanya ayah dan saya di dalam kereta. Sampai satu simpang nak ke lebuh raya ke arah Johor Bahru, ayah bersuara :

"Ahmad, tengok tu" kata ayah dengan nada yang lembut sambil menunding jari ke arah pengemis jalanan.

Saya terdiam.

Cukup dengan itu membuatkan saya bersyukur tak terkira. Amat terharu.

+ + +

Subhanallah. kini saya menjadi saksi betapa besarnya pengorbanan mak ayah saya dalam proses menghijrahkan saya selama ini.
Ini baru saya, belum lagi kisah-kisah tragis penuh nostalgia mereka berdua menghijrahkan 10 anaknya yang lain.

Gambar : Ayah dan ibu saya dalam proses meng'hijrahkan' anak pertama.

Ulama' berpendapat bahawa hak pertama si anak adalah bermula dengan pemilihan sang lelaki terhadap wanita yang bakal menjadi ibu untuk si anak tersebut.

Ternyata ayah saya telah menunaikan hak pertama kami dengan sempurna. Pilihannya memilih bakal isterinya sangat tepat. Ikatan pernikahan membina beyt muslim seusia 21 tahun hingga kini (49 tahun) masih kukuh dihiasi dengan kebahagiaan dan kedamaian.



Masya Allah.

Saturday, 15 October 2011

Penghargaan & Inspirasi


Alhamdulillah.
Hampir sebulan kembali menyelami lautan ilmu di Yarmouk. Subjek semester tahun ini boleh dikatakan mencabar tambah memenatkan dek ada kelas yg berderet-deret 6 jam sehari.

Baru-baru ini, sejurus selepas 'kembali segar' sejurus keluar pintu kelas, melihat notification di hp dengan rasa penuh taajub,

Abang ipar saya, Suhail dan sepupu saya, Syamil Esa telah berjaya menamatkan degree mereka dalam bidang syariah di Al-Azhar.

Lebih menakjubkan apabila sepupu saya itu mendapat anugerah Imam Syafie di Majlis Konvo Universiti Al-Azhar Mesir. Anugerah khusus utk pelajar no.1 seluruh warga Malaysia di sana. Beliau telah merangkul 84.97% peratus keseluruhan sepanjang degree di Universiti Al-Azhar.

Masha Allah. Kalau di Uni Yarmouk, tinggal 0.03% lagi utk mendapat mumtaz.
Tahniah diucapkan kepada beliau.

Benarlah kata-kata Allah dalam Surah Muhammad :
"Intansurullah yansurkum"

Jujurnya saya sebagai mahasiswa Univerisiti yarmouk terasa sangat segan dengannya. Orang kata, di universiti Yarmouk lebih mudah untuk score dalam peperiksaan berbanding Al-Azhar. tetapi masih lagi saya tidak cemerlang. Awalnya saya rasa okay saja dengan markah saya yang 1% lagi untuk mendapat mumtaz, tetapi bila melihat sepupu saya di Al-Azhar yang hanya 0.03% sahaja lagi untuk mumtaz , memang saya patut tunduk malu dan tercabar.
Betapa kerdilnya diri ini berbandingnya, graduan Al-Azhar.


+ + +

Kalau kita lihat sejarah tokoh-tokoh pendakwah yang hebat di dunia ini, kesemuanya terdiri daripada sosok yang cemerlang dalam akademiknya.
Imam Hasan Al-Banna dapat hafaz beribu syair dan dapat menjawab soalan kesemua peperiksaannya dengan mudah.
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi mendapat Mumtaz dalam Ph.D nya tentang Fiqh Zakat.
As-Syaheed Dr. Aziz Rantisi juga turut mendapat Mumtaz dalam degree nya bahkah mendapat tempat pertama dalam kelasnya.
Carilah tokoh-tokoh dakwah yang lain, nescaya kita dapati mereka juga cemerlang dalam akademik mereka.

Ya, mereka cemerlang dalam akademik. dan mereka sangat-sangat cemerlang dalam dakwah & tarbiyyah.
Kesibukan meraka tak usah kita pertikaikan lah. Memang terkenal sebagai penggerak utama dakwah di kampus masing-masing.

Subhanallah.

Hina sangat kah dakwah ini sampai boleh terdetik dalam hati kita :
"aku tak lulus subjek ini kerana sibuk dengan program tarbiyah"
"aku baca buku ala kadar sajalah.. Yang penting dakwah aku mantap, mad'u aku semua menjadi "

Hina sangat kah?

+ + +

Moga kejayaan mereka menjadi inspirasi dan aspirasi buat saya dan kalian untuk lebih cemerlang dalam apa jua aspek hidup.

contohilah mereka-mereka yang telah terbukti cemerlang dalam segala perkara kehidupan :

Wednesday, 5 October 2011

Dedikasi buat Abah

Seorang Atuk kepada 4 cucu, seorang bapa kepada 11 orang anak, seorang suami, seorang daie , seorang arkitek. Dan macam-macam lagi peranan terhimpun dalam satu jasad ini.
Beliaulah Khairuddin b. Derwish. Ayah kesayangan saya.
Hari ini, genap ulang tahun kelahirannya yang ke-49.
Moga Abah terus dikurniakan kesihatan dan Limpahan rahmat dari Ar-Rahman..


Sanah Helwah Abah.

Friday, 16 September 2011

Kembali & Kembara

Salam.
Rasanya masih tak terlambat untuk saya ucapkan salam eidul fitri, maaf zahir dan batin
Selamat kembali kepada fitrah. Moga semaian amalan kita sepanjang bulan ramadhan terus subur di bulan-bulan dan kehidupan mendatang.


 kenangan berhari raya bersama keluarga besar tersayang.
tiada dalam gambar : Hasanah, Suhail, khayrat, dan Sayyid. 
Mereka masih berjuang di Bumi Kinanah, Mesir

+ + +

Selamat mengembara ke alam beyt muslim buat sepupu rapat saya, Syamil Esa yang melangsungkan akad nikahnya pada hari ini dengam Ukhti Maryam Bte Mohd Din. Barakallah lakuma wa baraka 'alaikuma wa jama'a bainakum fi khair.. moga ikatan yang suci lagi murni ini menyuburkan lagi keimanan sekaligus menyuburkan dakwah di muka bumi ini.

Banyak yang telah saya pelajari dari beliau sejak bersekolah bersamanya dulu. Daripada isu-isu remeh seperti homesick masa tingkatan satu hinggalah isu besar masalah umat seringkali diambil berat oleh beliau.Beliau lah pemangkin saya dulu kala yang hampir-hampir give up untuk menghafaz al-Quran. Beliau juga antara penyumbang besar kepada keberadaan saya di jordan sekarang ini dalam bidang syariah. 

Ingat lagi dulu-dulu, saya sanggup 'ponteng' sekolah untuk menemaninya bertanding dalam musabaqah hafazan peringkat negeri. Alhmdulillah beliau ketika itu berjaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan.

Masha Allah, entah-entah lepas ni masih ada waktu ke tak untuk kita berbincang2 dan berkongsi masalah~
Sekali lagi, Barakallah lakuma !

+ + +

Sebulan pantas berlalu, kini sudah dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru.
Esok giliran saya pula meninggalkan tanah air tercinta. Kembali berjuang di medan ilmu, bumi anbiya', bumi syam, Jordan.



detik-detik kembara pertama kali ke jordan tahun lepas.

Moga pengembaraan esok jauh lebih baik dari sebelum ini.
Impian menjadi Ulama' Mujtahid masih lagi tersemat di hati, menjadi impian sejak di bangku sekolah lagi..

Doakan.

*maaf kepada sahabat2 yang tak sempat jumpa di malaysia.
Maafkan segala kesalahan sengaja ataupun tak sengaja ya.
wassalamualaikum wbt.

Saturday, 3 September 2011

Mabruk !

ayat biasa, sekejap saja masa berlalu.

Tak sangka pula rakan sepermainan police & thief masa tingkatan satu dahulu, kini sudah melangkah setapak ke gerbang Beyt Muslim.

di Ajloun, syita' 2011
mungkin inilah kali terakhir kita dapat berseronok bersama-sana di Ajloun.

Khas buat sahabatku Ali Zaki dan juga zaujahnya, Nadhirah Sahri :

Barakallah lakuma wa baraka alaikuma wa jamaa bainakuma fi khair!

  © Blogger template 'Portrait' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP